Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, March 21, 2006

MB jamin pelajar terjun bangunan jadi jururawat
Petikan : Berita Harian

KANGAR: Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, memberi jaminan memastikan cita-cita pelajar perempuan yang nekad terjun bangunan sekolah selepas kecewa dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), untuk menjadi jururawat dicapai.

Shahidan menyatakan komitmen itu kepada bapa mangsa, Moogon Menon, 45, selepas melawat pelajar itu, M Valsala Menon, 18, di Wad Kecemasan, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

"Kita akan membantu mangsa mengikuti kursus sebagai jururawat selepas dia sembuh kelak. Kegagalan dalam peperiksaan bukannya pengukur untuk menghalang dia mencapai cita-citanya," katanya.

Beliau menyifatkan kejadian yang menimpa pelajar itu takdir dan bukannya disebabkan sistem pendidikan.

"Kita mementingkan konsep keceriaan di sekolah...semua pelajar ‘enjoy' di sini tanpa berasa sebarang tekanan ketika mengikuti pelajaran," katanya.

Sementara itu, Valsala yang mengalami kecederaan di bahagian dalaman, selamat menjalani pembedahan selama sejam membuang darah beku di bahagian badannya, jam 3 petang kelmarin.

Pakar Bedah Am HTF, Dr Jaya Prakas Rao, berkata mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan susulan untuk membetulkan beberapa tulang yang patah.

Katanya, selain patah kedua-dua tangan, kaki dan paha, lidah pelajar itu turut cedera.

Bagaimanapun, beliau boleh bercakap seperti biasa apabila sembuh nanti.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi kelmarin, Valsala, bekas pelajar Sekolah Menengah Perlis (SMPs), cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga sekolah itu selepas kecewa dengan keputusan SPM yang diperolehnya.