SHAH ALAM: Seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini memfailkan saman terhadap seorang pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) bagi menuntut ganti rugi RM1 juta berhubung isu fahaman 'Wahhabi' yang diterbitkan dalam sebuah blog yang didakwa memfitnahnya.
Dr Azwira Abdul Aziz, 41, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian AlQuran dan AsSunnah, UKM, memfailkan saman itu melalui peguamnya, Adnan Seman di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan plaintif menamakan Zamihan Mat Zin, penolong pengarah Pusat AlQuran dan Ilmu Teras, ILIM, yang juga pemilik blog alghari.blogspot.com sebagai defendan.
Azwira, yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000, ganti rugi pengajaran sebanyak RM500,000, faedah, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Azwira berkata Zamihan telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk "Kisah Lama dari UKM" di blog berkenaan pada 6 Mac tahun lepas, yang mengandungi kenyataan mengaitkan beliau dengan fahaman Wahhabi yang didakwa tidak benar dan berunsur fitnah.
Katanya perkataan-perkataan dalam artikel terbabit antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang bermetodologi Salafi Al Wahhabi dan amat taksub terhadap fahaman Wahhabi serta seorang yang membawa ajaran yang sesat.
Azwira berkata penerbitan artikel itu telah menjatuhkan maruahnya di sisi umum khususnya kepada masyarakat beragama Islam.
Katanya beliau sebelum ini, melalui surat peguam caranya bertarikh 11 Mei lepas, menuntut defendan membuat satu kenyataan memohon maaf secara bertulis dan ganti rugi sebanyak RM500,000, namun defendan telah gagai, cuai dan/atau enggan berbuat demikian. BERNAMA
No comments:
Post a Comment