Sebuah artikel dari The Malaysian Insider
JUN 22 — Sekiranya anda mempunyai lesen memandu kemungkinan besar anda mengenali atau pernah terserempak dengan Mat. Bukan Mat Cool ais krim jenama Nestle akan tetapi Mat yang sering menunggang motor 2 lejang seperti Yamaha 125Z atau RXZ. Kadang-kadang Mat juga ada menunggang motor 4 lejang seperti Honda EX5 atau Kriss Modenas namun biasanya ianya telah diubahsuai untuk berbunyi mengalahkan Harley Davidson untuk menandakan ketibaan Mat yang berbatu jauhnya. Mungkin anda terserempak dengan Mat sedang dia sibuk menyelinap dengan cekap di celah-celah kereta, bas dan lori tanah ketika anda melalui kesesakan pagi hendak ke pejabat ataupun ketika lewat malam minggu Mat menyusur dengan pantasnya bagai pelesit di Jalan Raja Laut.
Apa pun yang pasti Mat pernah satu ketika dahulu cuba diubah menjadi Mat Cemerlang kini lebih dikenali sebagai samseng jalanan. Pastinya kalau anda tinggal di Kuala Lumpur dengan mudah anda boleh terserempak dengan Mat terutama di Dataran Merdeka malam minggu. Namun jangan salah sangka yang Mat hanya menjalankan riadahnya di bandar besar, di kawasan kampung dan felda-felda juga Mat cukup dikenali. Cuma tidak seperti di bandar, Mat sering melepak di tepi longkang bersama gitar kapok sambil menyanyikan lagu scoin sebelum memulakan aktiviti merempitnya.
Begitulah kisahnya nasib Mat, di kala kita memaki hamun dan memarahi Mat pernahkah kita terfikir mengapa Mat merempit? Adakah Mat tidak mempunyai aktiviti lain? Adakah dengan merempit itu membuatkan Mat lebih popular dengan gadis-gadis? Sedih dikatakan apabila kebelakangan ini ahli politik kita kurang berminat dalam memikirkan atau menulis mengenai hal-hal sosial dan kemasyarakatan. Nampaknya mereka lebih berminat atau sibuk dengan pilihanraya kecil, adengan-adengan drama dan menjalankan sesi ceramah mengutuk orang di kawasan terbuka. Bagi saya adalah amat penting untuk kita cuba menyelesaikan masaalah kemasyarakatan seperti Mat Rempit ini kerana ianya banyak melibatkan orang muda yang kita ketahui akan menjadi tunggak negara di masa hadapan. Oleh itu hari ini saya mengajak para pembaca sekelian untuk membuka minda anda sebentar dan cuba memahami mengapa Mat Merempit.
Untuk memahami mengapa Mat Merempit mula-mula kita perlu tahu latar belakang Mat. Biasanya Mat hanya mempunyai kenderaan lain selain motor, itulah satu-satunya pengangkutan untuk dia pergi ke kerja dan tempat lain. Jarang sekali kita melihat Mat Rempit yang mempunyai kereta. Mat biasanya kerja di tempt-tempat seperti kedai serbaguna 24 jam, kilang-kilang tertentu ataupun di restoran makanan segera. Banyak juga yang menjadi “Mat Despatch” atau penghantar pizza yang mana mereka mempraktikan segala ilmu-ilmu merempit mereka dalam kerja harian.
Boleh dikatakan secara umum mereka ini biasanya terdiri dari golongan muda belia (17-25 tahun) baru lepasan sekolah atau berpendapatan rendah. Gaji mereka biasanya dalam lingkungan RM700 ke RM1,200, anda boleh semak di 7-Eleven berdekatan anda. Mari kita cuba buat perkiraan sedikit, katakanlah gaji Mat adalah RM950 sebulan dan tinggal di Kuala Lumpur. Setelah ditolak KWSP, Socso dan sebagainya Mat sepatunya mempunyai baki lebih kurang RM900. Yang pasti Mat perlu membayar bulanan untuk motornya kerana itu satu-satunya cara untuk dia pergi kerja tiada pilihan, jadi kita tolak RM200 dari situ. Mat menyewa di flat bersama kawan-kawan perlu membayar sewa termasuk bil eletrik dan air, katakan dalam RM150. Itu keperluan asas Mat untuk hidup di Kuala Lumpur. Mat yang berdarah muda dan mempunyai telefon bimbit pastinya mahu bercengkerama dengan awek-awek (gadis-gadis) dengan ayat-ayat padu, kita tolak lagi untuk bil prabayar, katakan RM100, lagipun sekarang telefon bimbit wajib. Kita kena tolak duit minyak Mat untuk pergi ke kerja dan sebagainya, RM4 lebih Mat boleh mengisi penuh, kita anggar RM50 duit minyak Mat dalam sebulan. Setelah ditolak semua ini kini gaji Mat hanya tinggal RM400 untuk satu bulan, belum tolak lagi belanja Mat hendak makan. Biasanya Mat ni kurus, jadi katakanlah Mat hanya belanja RM5 sehari (sangat sikit tu) untuk makan didarap dengan sebulan lebih kurang RM150. Kini baki Mat hanyalah RM250. Mat ada RM250 untuk dibelanjakan pada dirinya dalam masa sebulan.
Dalam RM250 inilah akan Mat gunakan untuk beli baju baru (sebab tu bundle laku) kasut baru, pakai untuk baikpulih motor kalau rosak, beli sabun mandi, shampoo dan macam-macamlah. Mat mampu tonton wayang pada hujung minggu, satu tiket RM10, kalau nak tengok mesti pergi dengan awek (gadis) itu dah jadi RM20. Bolehlah, Mat mampu tapi tak boleh lah tiap-tiap minggu kan. Mat nak main Futsal, satu sesi di Ampang Sports Planet dalam RM120 sejam, kongsi 12 orang RM10 sejam. Mana puas hati main sejam, kurang-kurang kenalah habis RM20 sekali main Futsal. Mat mampu nak main Futsal tapi tidaklah dua kali seminggu, sekali-sekala bolehlah. Mat nak main Paintball? Mahal, satu kepala RM85, itu dah kira murah lah tu, Mat nak pergi karaoke lagilah sakit, nak main badminton tak bukak pulak dewan badminton malam minggu nak kata pergi “clubbing” lagilah jangan harap. Jadi Mat yang darah muda banyak tenaga berlebihan dengan jiwa membara hendak pergi ke mana? Sekali isi minyak motor penuh hanyalah RM 5 dan Mat boleh berlumba sepanjang malam di Kuala Lumpur. Murah, meriah dan bahaya. Mana nak cari aktiviti hujung minggu di Kuala Lumpur yang kurang dari RM10 dan bertahan 3-4 jam, suka tak suka motor memang Mat dah ada dan kena ada. Kalau Mat kerja jadi juruteknik yang gajinya mungkinlah mahal sikit RM1,400, bakinya pun berapa kerat sangat, ada lah dalam RM400-500 kot sebulan.
Kesimpulanya faktor mengapa Mat merempit dan antara sebab yang utamanya adalah ekonomi dan ketiadaan alternatif lain. Mungkin dengan cara meningkatkan kualiti hidup golongan ini dapat kita mengurangkan gejala ini.
Kita janganlah mengharapkan kerajaan semata-mata, masyarakat juga mempunyai peranan dalam menyelesaikan isu ini. Bagus kalau kita dapat menyediakan alternatif yang seronok, sihat dan yang paling penting sekali kos yang tidak tinggi untuk mereka melepaskan tenaga berlebihan dengan cara yang positif. Contoh seperti gelanggang futsal awam atau kugiran terbuka (concert) Tapi masaalahnya kita ni nak konkong sentiasa, marah pengaruh barat genjala sosial nak mengamuk kemudian jerit takbir. Itu yang saya tak faham tu, buat konsert marah bila tanya alternatif tak tahu.
Memang bagus kalau kita dapat mendekatkan mereka ini dengan masjid, binalah gelangang takraw ke badminton dan sebagainya. Namun saya agak hampa apabila melihat sesetengah “ustaz-ustaz” kita ni. Ceramah bukan main cekap, cakap bukan main lebat tapi bila mintak penyelesaian senyap-sunyi. Berpolitik bukan main hebat turun padang setahun sekali. Alahai, kita ni ada masaalah besar dengan anak-anak muda tapi sibuk dengan ceramah-ceramah-ceramah. Kalau kelakar macam Akhil Hayy takpe jugak.
Sudahlah, hal yang itu saya simpan untuk lain kali.
Jadi itulah dia, bukan saya hendak mempertahankan kegiatan Mat Rempit ini akan tetapi saya harap dari penaakulan saya ini dapatlah kita sama-sama memahami mengapa ini terjadi dan dari situ mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
No comments:
Post a Comment