Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 26 Mei - Mahkamah Pilihan raya hari ini akan memutuskan menerima bantahan awal oleh responden kedua dan ketiga terhadap petisyen pilihanraya Dun Simpang Empat yang dikemukakan calon BN Zahari Bakar.
Bantahan awal dikemukakan pada 21 Mei lalu oleh responden kedua, Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Arau) dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).
Petisyen pilihan raya tersebut telah difailkan oleh Zahari yang tewas dalam pilihan raya umum yang lalu kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi.
Selain Mohamad Daud dan SPR, Zahari turut menamakan Rus'sele sebagi responden pertama. Hakim Mahkamah Pilihanraya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani semasa membaca penghakimannya menegaskan bahawa petisyen tersebut tidak membangkitkan apa-apa perkara yang boleh menyentuh keputusan pilihanraya.
Antara perkara yang dihujahkan ialah tentang kekeliruan yang melibatkan Borang 14 di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Behor dan terdapat kertas undi yang mempunyai nombor siri yang sama di Sekolah Kebangsaan Sungai Berembang.
"Berkaitan borang 14, selepas diisi dan ditandatangani kesemua pihak, maka dengan sendirinya hak memohon untuk pengiraan semula terbatal. Begitu juga di semua saluran majoriti undi yang diperolehi calon adalh melebihi empat peratus, maka tidak perlu kiraan semula.
"Bagi kes kertas undi yag mempunyai nombor siri yang sama, hanya satu sahaja kes yang berkenaan yang tidakpun menjejaskan jumlah majoriti yang dimenangi," ujarnya.
Selain itu menurut Zainal Adzam lagi, beliau menerima hujah peguam responden kedua dan ketiga bahawa petisyen tersebut adalah remeh dan menyusahkan serta melibatkan mereka mengambil masa dan tenaga.
"Dengan ini petisyen bagi responden kedua dan ketiga dibatalkan," katanya.
Dalam pada itu terdapat satu lagi bantahan awal dari pihak responden pertama yang dikemukakan ke atas petisyen yang membangkitkan tentang poster pilihanraya.
Bagaimanapun bantahan tersebut akan didengar esok sama ada untuk diteruskan atau pihak pempetisyen akan menarik diri.
Responden kedua dan ketiga diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon dengan dibantu oleh Wan Roslan Wan Ismail.
Manakala Rus'sele sebagai responden pertama diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehudin.
Dalam perkembangan yang lain, mahkamah pilihnraya akan mula mendengar petisyen pilihanraya bagi Dun Sanglang mulai 28 Mei ini. Petisyen telah difailkan oleh calon PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.
No comments:
Post a Comment