KANGAR, 21 Mei (Hrkh) - Mahkamah Pilihan raya yang bersidang di Kangar hari ini akan memutuskan sama ada menerima bantahan awal untuk mengetepikan petisyen pilihan raya Dun N.14 Simpang Empat pada hari Isnin, 26 Mei 2008 akan datang.
Bantahan awal dikemukakan oleh responden kedua, Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Arau) dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).
Petisyen pilihan raya tersebut telah dfailkan oleh calon Barisan Nasional, Zahari Bakar yang tewas dalam pilihan raya umum yang lalu kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi.
Selain Mohamad Daud dan SPR, Zahari turut menamakan Rus'sele sebagi responden pertama.
Bantahan awal ini didengar di hadapan Hakim Mahkamah Pilihanraya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani.
Mohammad Daud dan SPR diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon dengan dibantu oleh Wan Roslan Wan Ismail. Manakala Rus'sele diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehudin. Sementara itu Zahari pula diwakili peguam Abu Bakar As-Sidek.
Dalam penghujahannya, Rozi antara lainnya menyebut petisyen yang dikemukakan itu mengandungi unsur-unsur yang remeh dan menyusahkan dan tidak wujud isu-isu yang boleh dibicarakan di bawah akta kesalahan pilihan raya serta tidak wujud pelanggaran akta kesalahan pilihan raya.
Selain itu menurutnya lagi, petisyen tersebut merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah yang memprejudiskan responden kedua dan ketiga dari segi masa, tenaga dan kos oleh pihak-pihak yang terbabit.
Setelah mendengar penghujahan yang dibuat, Zainal Adzam kemudiannya memutuskan beliau akan memberikan keputusan berkaitan bantahan awal tersebut pada 26 Mei ini.
Selain itu, beliau juga akan turut mendengar notis usul dari peguam yang mewakili Rus'sele yang akan turut membuat bantahan awal sebelum memutuskan sama ada petisyen ini akan diterima untuk perbicaraan atau menolaknya.
Zulmi yang ditemui kemudiannya menjelaskan pihak beliau juga akan mengemukakan bantahan awal pada 26 Mei ini atas dasar teknikal di mana petisyen yang dikemukakan itu adalah lemah dan tidak sempurna.
No comments:
Post a Comment