Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, May 29, 2008

Petisyen Dun Sanglang: Peguam SPR akui berlaku kesilapan

Harakahdaily
KANGAR, 29 Mei (Hrkh) - Timbalan Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara, Dato' Kamaluddin Md Said yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau) mengakui bahawa SPR membuat kesilapan semasa mengumumkan keputusan pilihan raya 8 Mac lalu.
Beliau berkata demikian ketika membuat ulasan ke atas bantahan awal yang dikemukakan calon BN, Abdullah Hassan ke atas petisyen pilihan raya Dun N.15 Sanglang yang dikemukakan oleh calon PAS, Ustaz Hashim Jasin di mahkamah pilihan raya yang bersidang di sini semalam.

"Kami mengakui bahawa berlakunya kesilapan. Berdasarkan Akta Peraturan dan Perjalanan Pilihan raya, sepatutnya calon yang memperolehi undi yang lebih diisytiharkan menang.
Sebaliknya yang memperolehi undi yang kurang diisytiharkan menang," katanya ketika diminta oleh hakim pilihan raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani untuk memberikan komen berkaitan bantahan awal tersebut.

Kamaluddin turut menyatakan bahawa pihak responden pertama (SPR) dan responden kedua (Mohammad Daud) tidak pernah mengarahkan peguam yang mewakili responden ketiga untuk mengetepikan mereka daripada petisyen tersebut.

Peguam yang mewakili responden ketiga, Jega Karuppiah semasa penghujahannya telah menyebut bahawa pihak pempetisyen tidak boleh meletakkan SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebagai responden dalam petisyen tersebut.

Dalam petisyen ini, responden pertama dan kedua tidak mengemukakan sebarang bantahan.
"Saya berpendapat bahawa kes ini perlu dibicarakan," kata Kamaluddin.

Terdahulu, Zainal Adzam menolak bantahan yang dikemukakan Ustaz Hashim ke atas bantahan awal Abdullah.

Jega kemudiannya mengemukakan penghujahan panjang ke atas bantahan awal tersebut disusuli Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Ustaz Hashim.

Mohamed Hanipa antara lainnya menyebut bantahan awal yang dikemukakan itu bersifat teknikal dan mengguna pakai peraturan lama yang telah dibuat pindaan serta memohon agar kes tersebut dibicarakan.

Zainal Adzam kemudiannya menangguhkan persidangan mahkamah dengan memutuskan tarikh 4 Jun ini untuk beliau memberikan keputusan sama ada menerima bantahan awal tersebut atau meneruskan dengan perbicaraan.

Selain Mohamed Hanipa, Ustaz Hashim turut diwakili oleh Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehuddin.

Kamaluddin pula dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon dan Wan Roslan Wan Ismail manakala Jega pula dibantu oleh A. Albert Antonie.

Petisyen ini difailkan oleh oleh Ustaz Hashim untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang dalam PRU pada 8 Mac lalu.

Beliau yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut diisytiharkan kalah kepada Abdullah dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

No comments: