Petikan dari lamanweb drmaza.com
Apabila kita membaca al-Quran dan al-Sunnah, kita dapati Maha Adil adilnya Allah s.w.t. yang tiada suatu pun untuk dibandingkan. Adapun, dunia ini kelihatan tidak adil adalah hasil kerja buat manusia yang memusnah sistem yang indah dan cantik yang telah diletakkan oleh Allah untuk kehidupan.
Sama seperti mana manusia memusnah ekosistem alam ini, manusia juga dalam banyak hal memusnahkan sistem keadilan dalam kehidupan sesama manusia. Seperti rosaknya alam; sungai, ozon, laut, bukit-bukau dan pelbagai lagi sehingga dunia ini rosak lalu memberi mudarat kepada kehidupan manusia, demikian juga manusia memusnah keadilan, kedamaian hidup, simpati dan rahmat yang akhirnya memusnah ketenteraman hidup sesama manusia. Lalu manusia bertanya:
“Di manakah keadilan Tuhan?” Mereka lupa berkata: “Inilah hasil kezaliman kita”.
Allah Maha Adil Lagi Maha Bijaksana. Sekalipun Dia Maha Tahu tentang dosa-dosa manusia, tetapi di akhirat kelak manusia tetap akan dibicarakan di mahkamah agung Allah yang bertempat di Padang Mahsyar. Setiap manusia akan ditimbang dosa dan pahalanya sebelum dihukum.
Seperti firman Allah: (maksudnya) Maka Sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan Sesungguhnya Kami akan menyoal juga rasul-rasul itu. Kemudian Sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (para rasul dan umat mereka), dengan ilmu (berdasarkan pengetahuan yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami (Allah) tidak sekali-kali ghaib (maksudnya sentiasa mengetahui akan hal ehwal mereka).
Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya). (Surah al-‘Araf ayat 6-9).
Jelas, Allah Maha Mengetahui segala perbuatan manusia, pun begitu diwujudkan sistem yang menunjukkan keadilan-Nya dengan ditimbang amalan manusia; baik dan buruk barulah dijatuhkan hukuman syurga atau neraka. Padahal jika Allah tidak membuat timbangan sekalipun, keputusan Allah tidak mungkin akan silap, kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Ilmu Allah meliputi segalanya, namun demi menunjukkan keadilan, agar hamba-hamba-Nya tidak mempunyai sebarang alasan atau tidak puas hati apabila dihukum, diwujud sistem keadilan perbicaraan dan timbangan dosa.
Firman Allah: (maksudnya) “Pada hari lidah, tangan serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Benar (Maha adil), lagi Nyata (keadilanNya)”. (Surah al-Nur: ayat 24-25).
Jika Allah tidak mewujudkan mahkamah perbicaraan di Hari Kiamat, adakah sesiapa yang boleh membantah Allah? Adakah sesiapa yang boleh menyatakan Allah tersilap dalam hukuman-Nya? Adakah sesiapa boleh menggugat kuasa Allah, seperti manusia menggugat kuasa pemerintah di dunia menerusi pemberontakan atau pilihan raya? Sama sekali tidak! Maha Suci Allah, tiada siapa yang dapat mencabar kebesaran kerajaan-Nya. Pun begitu diwujudkan sistem perbicaraan yang maha adil di mahkamah-Nya. Jika demikianlah Allah, apakah boleh di dunia ini manusia dihukum tanpa dibicara secara adil dan saksama?
Apakah wajar mana-mana peruntukan akta yang membenarkan seseorang dihukum dengan suatu hukuman tanpa diberi peluang membela diri? Mungkin seseorang boleh dikurung untuk sementara waktu siasatan, tetapi keadilan menyatakan dia wajib dibicarakan sebelum dihukum agar dia memahami apakah dosanya.
Jika manusia dihukum tanpa diberi peluang membela diri, maka jadilah macam peristiwa pembunuhan di Kuala Perlis baru-baru ini. Apabila mangsa dituduh mengintip seorang gadis, lalu diheret keluar dari rumahnya, dipukul beramai-ramai sehingga mati. Isterinya yang masih dalam pantang juga dipukul. Khabarnya, kemudian mereka sedar bahawa mereka tersilap orang.
Mangsa telah mati, dihukum tanpa dia mengetahui apakah dosanya. Jika pun itu dosanya, apakah berhak dia dibunuh? Justeru, agama memusuhi perbuatan menghukum manusia tanpa bukti yang sah dan perbicaraan yang benar. Maka perbuatan seperti ini adalah amat terkutuk.
Jika ada peruntukan undang-undang atau akta yang membolehkan manusia dihukum tanpa dibicara, maka ia adalah akta atau perundangan yang jelek. Sabda Nabi s.a.w “Bukti wajib (diberikan) oleh yang mendakwa, dan sumpah pula bagi yang membantah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Jika ada peruntukan undang-undang atau akta yang membolehkan manusia dihukum tanpa dibicara, maka ia adalah akta atau perundangan yang jelek. Sabda Nabi s.a.w “Bukti wajib (diberikan) oleh yang mendakwa, dan sumpah pula bagi yang membantah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Justeru, jika ada akta dan undang-undang yang seperti ini, maka Majlis Fatwa patutlah bersidang dan membincangkan pandangan Islam mengenainya; secara adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Itulah peranan fatwa yang berkongsi dengan keperluan rakyat. Jika tidak, kita akan terpinggir dari arus masyarakat yang mahu kejujuran dan ketulusan dalam pandangan agama.
Dalam dunia terbuka pula, manusia akan dihukum disebabkan tuduhan yang tidak berasaskan bukti. Seseorang akan ditohmah, atau ditempelkan label yang buruk hanya kerana tuduhan tanpa perbicaraan atau alasan. Mungkin tidak dipenjara atau dibunuh, tetapi akan dihukum dalam masyarakat terbuka atas tuduhan yang dibuat oleh orang lain kepadanya.
Mungkin ada yang akan pandang sinis, atau menolaknya, atau mempertikaikannya. Kadang-kala kesan hukuman masyarakat itu lebih perit dari sebatan atau penjara. Dalam dunia Internet, ramai yang menjadi mangsa tuduhan tanpa bukti atau ruang membela diri. Dalam politik juga demikian. Pelbagai label akan dilekatkan. Dalam dunia agama pun lebih kurang sama, bahkan kadang kala ‘lebih kuat syaitan berperanan menghasut’.
Sejak dahulu, jika ada pihak yang cuba membuat pembaharuan dalam memajukan pemikiran golongan agama dan umat Islam, pelbagai tohmahan dilontarkan. Mereka dituduh ‘kaum muda’. Maka menjadi mangsa ketika itu Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir Jalaludin, Burhanudin al-Helmi, Za‘ba, Mustafa ‘Abdul Rahman dan lain-lain lagi. Sehingga tokoh besar seperti Buya Hamka dari Indonesia dilarang masuk ke Johor atas tuduhan yang sama. Hanya kerana ada kelompok yang hasad dan ingin menjaga kepentingan diri.
Hari ini jika anda berbicara tentang keterbukaan pemikiran, keluasan menerima pendapat, kembali kepada nas-nas Islam yang asal maka anda sekali lagi akan dituduh kaum muda, atau Wahabi atau liberal. Walaupun anda tidak tahu apa itu Wahabi atau liberal dan apa itu kaum muda. Tuduhan itu tidak memerlukan bukti atau alasan, cukuplah untuk dijadikan tuduhan kerana hanya pendapat anda berbeza. Tuduhan tanpa bukti atau peluang pembelaan diri adalah kezaliman. Ia selalu dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepentingan.
Maka agama ini memusuhi tuduhan kosong tanpa alasan yang berteraskan dalil dan bukti yang ilmiah. Firman Allah: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Surah al-Hujurat ayat 11).
Perangai suka menuduh secara rambang adalah lambang manusia kehabisan alasan. Saya dukacita apabila ada pihak menuduh keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dan peguambela Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani adalah menggalakkan orang murtad. Bahkan ada yang melempar tuduhan lebih berat kepada beliau kononnya membela untuk orang menjadi murtad.
Jika pembaca masih ingat, tahun lepas semasa awal-awal saya menulis di ruangan ini, saya menulis “Murtad: Antara Emosi dan Realiti”. Antaranya saya menyebut: “Di samping sesuatu yang perlu kita tahu bahawa seseorang itu menjadi murtad apabila dia melanggar batasan akidah Islam secara sedar, faham dan tidak dipaksa. Sama ada perlanggaran itu dalam bentuk perkataan, atau perbuatan, atau keyakinan.
Apabila perlanggaran itu dilakukan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, atau mengisytiharkan diri keluar atau ingin keluar dari Islam maka dia menjadi murtad. Kemurtadan ini tetap berlaku sama ada disahkan atau tidak oleh mana-mana pihak. Penyataan agama dalam kad pengenalan bukanlah penentu sebenar hakikat akidah. Ia hanya untuk urusan kemasyarakatan atau pentadbiran.
Ini bererti sekiranya kita berjaya menahan seribu orang yang mengisytihar diri keluar dari Islam agar tidak dapat menukar agama kad pengenalannya, kita sebenarnya menyimpan seribu orang murtad yang akan bertopeng dalam masyarakat muslim. Apa jadi, jika kad pengenalan itu dijadikan ukuran oleh beberapa pihak lalu berkahwinlah golongan murtad ini dengan orang-orang Islam yang sebenar?
Mereka juga mungkin menguasai institusi-institusi agama atas kebijaksanaan dalam bidang tertentu, sedangkan mereka murtad. Akhirnya kita menyimpan barah yang amat merbahaya dalam tubuh umat. Maka sekadar pertahankan perubahan agama pada kad pengenalan semata, bukan satu kejayaan. Bahkan mungkin menjadi musibah jika berleluasa. Kejayaan yang sebenar adalah mengembalikan mereka kepangkuan Islam secara reda dan menghilangkan kekeliruan mereka mengenai agama ini”.
Maka, keputusan mahkamah tersebut dan tindakan peguam bela berkenaan sebenarnya berusaha membuang barah dari umat Islam. Tanyalah akal yang matang; adakah seseorang murtad kerana ada ruang murtad di mahkamah? Atau seseorang menjadi murtad kerana hilang keyakinan terhadap Islam yang dianuti? Sudah pastilah jawapannya kerana hilang keyakinan terhadap Islam yang dianuti.
Jika demikian jawapannya, ubat kepada penyakit ini apakah dengan cara menghalang penukaran kad pengenalannya sedangkan dia hilang keyakinan terhadap Islam, atau meningkatkan dakwah dan kesedaran penerangan yang matang kepadanya? Tentulah dengan dakwah dan penerangan yang matang. Maka orang murtad bukan kerana keputusan mahkamah, tetapi kerana dakwah yang lebih, sedangkan peruntukan melimpah.
Juga boleh melunakkan hati golongan mualaf yang sudah menganut Islam dan keluarga mereka yang belum menganut Islam menerusi wang zakat. Mana perginya wang zakat yang ratusan juta dikutip saban tahun? Janganlah kita sempitkan konsep mualaf setakat yang baru menganut Islam sahaja. Luaskan kejumudan kita kepada nas-nas Islam yang lebih luas.
Juga boleh melunakkan hati golongan mualaf yang sudah menganut Islam dan keluarga mereka yang belum menganut Islam menerusi wang zakat. Mana perginya wang zakat yang ratusan juta dikutip saban tahun? Janganlah kita sempitkan konsep mualaf setakat yang baru menganut Islam sahaja. Luaskan kejumudan kita kepada nas-nas Islam yang lebih luas.
Mualaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak. Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat menjinakkan hati mereka kepada Islam. Janganlah ketika mualaf hidup susah bersama keluarganya kita tinggalkan, apabila meninggal kita merebut pula mayatnya. Masa hidup kita biar, masa mati kita tuntut, apakah itu keindahan Islam?
Dahulu saya mencadangkan masjid Cina. Ada yang buat tuduhan rambang kononnya nanti habis al-Quran dalam masjid tersebut akan dibaca dalam bahasa Cina. Solat pun dalam bahasa Cina. Inilah orang kita, kuat menuduh bukan kuat berfikir. Sehingga ada yang mengaku penasihat agama pun lebih kurang sama. Apakah di masjid Melayu dan India al-Quran dibaca dalam bahasa Melayu dan India?
Tujuan masjid yang saya cadangkan adalah agar masyarakat Muslim Cina dapat berinteraksi sesama mereka. Mereka lebih memahami antara satu sama lain. Dengan itu banyak masalah dapat diselesaikan sesama mereka, kerana mereka mempunyai latar masalah yang berbeza dengan masyarakat Melayu yang kesemuanya dikatakan Islam.
Maka di masjid Cina, orang Cina lebih faham pengajiannya, lebih mudah berbicara dengan imam dan jawatan kuasanya dan seumpamanya. Maka kalau ada yang ingin keluar Islam atau nak masuk Islam, mereka boleh cari pendekatan terbaik sesama mereka. Mereka lebih faham. Tapi, ada yang membantah dan menuduh. Hari ini lihatlah betapa kita memerlukannya, tetapi kewujudan dihalang.
Eloklah kita berhenti memusuhi tanpa bukti dan faham, tetapi cuba gunakan neraca keadilan dan akal yang matang
No comments:
Post a Comment