Petikan Berita Harian
KANGAR: Bintang One In A Million, Faizal Tahir yang baru 14 hari mengecapi kebebasan selepas tiga bulan digantung kemunculan di kaca televisyen, sekali lagi berdepan masalah apabila kehadirannya melalui Konsert Jom Heboh 2008 di Perlis ditentang Mufti negeri itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Walaupun turut mempertikai Konsert Jom Heboh 2008 anjuran TV3 itu di Perlis, Dr Asri secara peribadi menyebut nama Faizal antara artis yang tidak patut dibenarkan membuat persembahan di Perlis, selain artis aliran rock dan dangdut.
Dr Asri berkata, kemunculan artis aliran sedemikian terutama dengan imej rambut panjang dan tingkah laku yang sering meraung serta melompat-lompat menunjukkan imej yang tidak matang dan tidak sesuai sekali untuk dipertontonkan kepada rakyat Perlis.
Mengenai Faizal, katanya, beliau sendiri sudah mengajukan surat kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, meminta penganjur Jom Heboh 2008 menilai semula atau menghalang artis terbabit ke negeri ini, yang dianggap tidak sesuai dengan imej Perlis selain mampu membawa pengaruh buruk kepada rakyat.
"Saya tidak anti-manusia bernama Faizal Tahir, tetapi keperibadian dan tingkah laku liar serta tidak matang artis itu setiap kali melakukan persembahan, jelas membayangkan imej kebudak-budakan.
"Bagi saya, perbuatan seperti melompat-lompat dan meraung seperti yang sering dipertontonkan artis itu, terutama insiden membuka baju ketika melakukan persembahan tidak boleh diterima di Perlis. "Paling teruk, dia (Faizal) dilihat masih berada pada tahap krisis identiti kerana tidak tahu hala tuju sendiri. Malah, dia sendiri tidak tahu siapa dirinya yang sebenar kerana kejap mahu jadi manusia, kejap mahu jadi Superman," katanya di sini, semalam.
Faizal yang baru memenangi anugerah Artis Lelaki Paling Popular dan Artis Baru Lelaki Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik 2008, digantung persembahannya di kaca televisyen sebelum ini, berikutan tindakannya membuka baju ketika melakukan persembahan sempena ulang tahun ke-4 8TV, Januari lalu.
Sementara itu, mengenai Jom Heboh ke negeri ini, Dr Asri berkata Jabatan Mufti Perlis tidak pernah mengeluarkan fatwa mengharamkannya, tetapi dukacita dengan nilai negatif yang terselit bersama program terbabit.
"Saya sudah mengajukan surat kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Ahmad Bakri Ali, minggu lalu meminta kerajaan negeri menetapkan garis panduan, sesuai dengan negeri ini sekiranya Jom Heboh 2008 dibenarkan dibawa masuk ke Perlis.
"Jom Heboh tanpa konsert adalah satu keutamaan jika dibenarkan di Perlis. Bagaimanapun jika disertai konsert, ia haruslah terkawal dan berdisiplin," katanya.
"Ini termasuk menghormati sensitiviti orang Islam seperti tidak menguatkan bunyi pada waktu solat, selain mengelak sebarang unsur khurafat dan tahyul seperti penampilan kepercayaan misteri dan karut, serta penjualan barangan berunsur sedemikian. "Islam tidak pernah menghalang hiburan atau menghadkannya kepada nasyid semata-mata, tetapi ia perlu berada dalam garis panduan yang ditetapkan.
"Kenapa kita mahu bawa artis yang tidak membangun minda rakyat, sedangkan ramai lagi yang berimej bersih terutama artis berunsur puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip, Suhaimi Mior Hassan dan M Nasir," katanya.
Perlis menjadi destinasi kedua Jom Heboh 2008 yang kini masuk edisi keenam, pada 3 dan 4 Mei ini. Kemuncak program itu adalah konsert membabitkan artis seperti Faizal Tahir, Jay Jay, The Lima, Fazli Zainal, Ramlah Ram, Farawahida, Mila dan Ayu OIAM
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment