Petikan Harakahdaily
KUALA PERLIS, 14 Mei (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Rus'sele Eizan menyeru pihak kerajaan negeri Perlis menimbangkan pemberian rumah kepada keluarga Hatib Leman, buruh yang mati dibunuh di Kampung Belakang Kilang Ais dekat sini minggu lalu.
Selepas kematian Hatib, keluarganya kini hilang tempat bergantung di samping tinggal di sebuah rumah yang terlalu daif dengan sewa sebanyak RM80.00 sebulan.
Isteri mangsa, Fazilah Muhammad, 31, kini tinggal di rumah tersebut bersama-sama lima orang anaknya yang berusia antara dua bulan hingga 17 tahun.
Akibat kesempitan hidup, mereka sekeluarga telah beberapa kali berpindah rumah sejak beberapa tahun lalu.
Fazilah yang kini masih di dalam pantang hanya bergantung hidup kepada dua orang anaknya, Hayati, 17 yang bekerja di sebuah restoran dan anak kedua, Mohd Asri, 16, yang bekerja sebagai seorang nelayan.
Rus'sele yang menziarahi mangsa baru-baru ini menggesa pihak kerajaan negeri memberikan perhatian serius terhadap nasib yang menimpa keluarga ini.
"Keadaan mereka sekeluarga amat daif dan menyedihkan serta tidak sesuai lagi untuk tinggal di rumah sedemikian. Kerajaan perlu menimbangkan untuk memberi rumah PPRT kepada keluarga ini.
"Begitu juga saya berharap agar kerajaan melihat nasib anak-anaknya yang keciciran daripada mendapat pendidikan," ujarnya. - mns
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment