Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, November 23, 2005

Umat Islam Kini Dilanda Krisis Taqwa
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 22 Nov (Hrkh)- Kelemahan dan kemunduran umat Islam zaman ini bukan kerana mereka dilanda krisis politik atau ekonomi tetapi sebaliknya dilanda satu krisis yang lebih besar iaitu krisis taqwa demikian jelas pendakwah, Dr Badrul Amin Baharom. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat itu berkata demikian ketika menyampaikan kuliah maghrib di Surau Titi Midin, Repoh di sini malam tadi.

Menurut beliau, perkara demikian terjadi kerana umat Islam tidak lagi takut kepada Allah, dosa, siksa kubur dan neraka.

"Krisis taqwa semakin serius menyebabkan keyakinan terhadap Allah sudah hilang. Al-Quran pula hanya menjadi alat untuk bersumpah dan manusia sudah merubah hukum Allah," katanya.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu menjelaskan, akibat daripada hilangnya takut akan Allah, manusia sudah lari dari landasan Islam dengan wujudnya pelbagai penyelewengan, maksiat dan munkar.
"Penindasan terhadap golongan yang lemah, rasuah dan penyelewengan harta rakyat adalah berpunca daripda hilangnya taqwa di kalangan umat," katanya lagi.

Beliau juga melihat kepincangan ekonomi juga adalah akibat daripada krisis taqwa di kalangan pemimpin sesebuah negara. Baginya, jika golongan yang mentadbir sesebuah negara itu tidak takut kepada Allah, pelbagai bentuk penyelewengan boleh berlaku.

"Kekayaan negara tidak diagih dengan rata akibat wujudnya fahaman kapitalis yang menindas golongan miskin. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah melarat," jelasnya.

Beliau memberikan contoh yang jelas di mana adanya orang di negara ini yang berpendapatan melebihi 100 ribu sebulan sedangkan ada para guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang hanya memperolehi RM200.00 sebulan.

"Inikah 'standard' mereka yang mahu mengajar anak-anak untuk belajar agama dan kitab Allah?," soalnya.
Selain itu, Dr Badrul Amin mempersoalkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang gagal menangani permasalahan umat Islam di seluruh dunia.

"Umat Islam dihina dan lemah kerana hilangnya taqwa. Sebagai Pengerusi OIC apakah yang telah dibuat kepada Palestin dan Iraq? Kini umat Islam di Selatan Thai pula bermasalah," katanya lagi.

Golongan cerdik pandai agama juga megalami krisis taqwa sekiranya mereka mengkhianati ilmu yang dimiliki, demikian tegas Dr Badrul Amin lagi.

Beliau memberikan contoh bagaimana ramai sahabatnya yang berpendidikan tinggi agama yang sudah mengkhianati ilmu mereka apabila mempunyai kedudukan tinggi di dalam kerajaan atau parti pemerintah.

"Orang yang berilmu akan dilaknati ilmu sekiranya mereka khianat dengan ilmu yang ada. Mereka boleh jadi lebih teruk dari orang jahil".

"Tuntutan amnah ilmu itu berat. Ilmu yang tidak disampaikan, itulah khianat. Amal tanpa menyampaikan juga khianat. Sampaikan ilmu tanpa amal juga khianat. Lebih-lebih lagi jika kita menipu tentang ilmu," tegasnya.