Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, November 15, 2005


JPS Perlis Digesa Tingkatkan Kualiti Keselamatan Di Tempat Awam
Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar 14hb Nov : Pemuda PAS Arau hari ini mencadangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis supaya membuat pemeriksaan secara berkala dengan lebih kerap untuk mengelakkan kejadian pelajar sekolah yang mati dalam kolam air pancutan di Taman Rekreasi JPS di Belakang Istana Arau Jumaat lalu berulang lagi.Cadangan itu dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Arau saudara Zulmi Haji Sabri.

Beliau juga menyatakan perasaan kesalnya dengan apa yang beliau sifatkan sebagai kecuaian yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak JPS Perlis dalam mengendalikan penyelenggaraan tempat-tempat sebegitu.

Dalam kejadian Jumaat lalu seorang pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tengku Budriah Arau Mohd Adib Osmi 11 mati ketika mencuci tangan di dalam kolam pancutan air di taman tersebut yang dikatakan mengalami kerosakan kotak suis elektrik dan menyebabkan arus elektrik mengalir di dalam kolam itu.
Mayat pelajar berkenaan dibiarkan hampir sejam di dalam kolam itu kerana orang ramai takut untuk mengeluarkannya disebabkan air kolam itu masih ada arus elektrik.Mayat adik Mohd Adib hanya dapat dikeluarkan selepas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan bekalan elektrik di taman berkenaan.

“Apa yang telah berlaku itu jelas menunjukkan JPS Perlis gagal dalam memastikan keselamatan kawasan rekreasi tersebut,”kata beliau

“JPS sepatutnya melakukan pemeriksaan rapi selepas penyerahan taman itu oleh kontraktor yang menyiapkannya sebelum membukanya kepada orang ramai,”tambah beliau lagi.

Sambil mengucapkan takziah dan rasa sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga Osmi Ismail itu,beliau yang juga seorang peguam sivil dan syariah turut menyatakan kesediaan beliau untuk membantu keluarga Osmi sekiranya ahli keluarga mereka ingin mengambil tindakan undang-undang keatas pihak yang terbabit.

Beliau juga meminta kepada Suruhanjaya Tenaga iaitu pihak yang menjalankan siasatan ini supaya mengumumkan dengan segera hasil siasatan mereka kepada umum.