Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, November 19, 2005

PAS Perlis Kesal Perjudian Berleluasa
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 18 Nov (Hrkh)- Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) merasa kesal kerana kerajaan negeri dan pihak berkuasa membiarkan wujudnya pusat perjudian tanpa lesen di negeri ini.Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil ketika dihubungi Harakahdaily melahirkan rasa kecewa dengan laporan kes serbuan dan tangkapan polis ke atas 47 orang di sebuah rumah yang dijadikan premis perjudian di Taman Mutiara, Kangar baru-baru ini.

"Sepatutnya sebagai sebuah negeri yang mengaku mengikut Sunnah wal Jamaah tidak berlaku perkara sedemikian. Tambahan pula Menteri Besarnya sering menonjolkan diri sebagai orang yang kuat beragama," katanya.

Baginya, perkara sedemikian boleh menjejaskan imej kerajaan negeri Perlis sendiri selain kredibiliti pihak berkuasa terutamanya pasukan polis.

Harakahdaily difahamkan bahawa operasi tersebut dijalankan oleh pasukan polis dari Bukit Aman yang telah lama mengintip pergerakan sindiket perjudian tersebut.Sumber yang diperolehi juga menyatakan bahawa sindiket ini tidak kekal lama di sesebuah premis dan sering berpindah tempat untuk mengelakkan ianya dikesan.

Selain itu, Ustaz Adnan juga melahirkan rasa terkejut kerana baginya mustahil pihak berkuasa tidak mengetahui operasi yang pada hematnya sudah lama beroperasi.Ini berikutan laporan akhbar yang menyatakan bahawa mereka yang ditangkap ada yang datang dari luar seperti negeri Kedah dan negeri-negeri lain.

"Ini membuktikan tempat serta sindiket ini sudah diketahui ramai dan sudah lama berioperasi di negeri ini. Sejumlah 47 orang yang ditangkap semasa serbuan itu juga adalah satu jumlah yang ramai," tambahnya lagi.
Beliau turut menyeru kerajaan dan pihak berkuasa bertegas dengan perkara seperti ini dan seboleh-boleh menghapuskan terus perjudian yang menjadi satu penyakit masyarakat.

"Tidak kira sama ada ianya berlesen atau tidak, judi adalah satu wabak yang boleh menghancurkan keharmonian rumah tangga dan masyarakat. Bukan sahaja Islam malahan ajaran agama lain juga menegah perjudian," katanya