Tutup Pusat Hiburan Yang Melekakan - DPP Perlis
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita
Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil ketika dihubungi berkata, moral segelintir ahli politik dan kakitangan kerajaan terbukti teruk apabila laporan akhbar menyatakan mereka suka membuang masa berhibur di pusat-pusat karaoke.
Laporan itu juga menyatakan bahawa golongan ini dikesan suka berhibur di pusat karaoke sehinggakan tiada masa ke masjid meskipun pada bulan Ramadhan lalu.
Justeru itu, atas idea Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim, satu program menunaikan umrah secara percuma tajaan korporat diadakan untuk 'memulihkan' golongan ini.
Menurut Ustaz Adnan, langkah ini adalah baik tetapi walaupun ada yang sudah sedar dan sudah mahu ke masjid, namun soalnya apakah semuanya sudah dipulihkan dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.
"Bagi yang sudah ada kefahaman dan kesedaran tak apalah , tapi bagaimana dengan yang belum faham? Mereka mungkin akan meneruskan perangai lama dan bagaimana pula mahu menyedarkan orang ramai?," soalnya.
DPPPs juga mahu kerajaan memantau semua pusat yang menyediakan hiburan seperti karaoke yang mana turut juga terdapat di kedai-kedai makan umpamanya.
"Kita mahu kerajaan menutup semua pusat hiburan yang melekakan kerana bukan sahaja ahli politik atau kakitangan kerajaan yang terlibat bahkan ianya turut melibatkan masyarakat umum khususnya golongan muda".
"Jadi , bukannya dibetulkan segelintir sahaja pengunjung pusat hiburan, tetapi kita perlu betulkan semua orang. Cara yang lebih praktikal ialah dengan membasmi tempat-tempat seperti ini," katanya.