Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, April 20, 2010

PAS: Hentikan rancangan 18SX, 18SG

Petikan Malaysiakini

Bagi membendung peningkatan kes jenayah seks, PAS mendesak kerajaan menghentikan penayangan rancangan televisyen dan filem yang berunsur seks (18SX) dan ganas (18SG) dihentikan.

"PAS tegas agar rancangan (yang dikategorikan sebagai) 18SX dan 18SG tidak lagi dibenarkan penayanganya dalam sebarang media di negara ini.

"Ini semua penting sebagai langkah pencegahan di peringkat awal, di samping memberikan didikan dan pemahaman kepada rakyat tentang seriusnya peningkatan jenayah seks ini," kata ketua penerangannya Idris Ahmad.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat begitu banyak rancangan dalam kategori kategori tersebut dipaparkan di kaca televisyen.

Idris membuat gesaan itu sebagai respons kepada jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memberitahu parlimen, terdapat peningkatan 50 peratus jenayah seks di negara ini sejak 2005-2009.

Dalam satu kenyataan hari ini, Idris juga berkata, Kerajaan perlu mengakui bahawa sistem pencegahan jenayak seks yang diamalkan selama ini "mempunyai masalah".

"Walaupun banyak kempen dilakukan, namun itu semua dilihat seolah-olah tidak mendatangkan kesan. Pihak Kerajaan, termasuk kerajaan negeri perlu mencari jalan bagi mengatasi masalah ini secara bersama," katanya.

Idris menambah, teknologi semasa - seperti penyebaran klip video melalui MMS, VCD dan DVD lucah - yang disifatkannya sebagai "rangkaian media lucah" - yang terlalu banyak dalam pasaran turut menyumbang kepada peningkatan gejala negatif itu.

"Di sudut yang lain, PAS tetap melihat (hukum) hudud sebagai undang-undang terbaik yang perlu dimasukkan dalam enakmen syariah di semua negeri bagi memastikan wujudnya undang-undang yang lebih tegas, sesuai dengan kehendak Allah yang telah memberikan cara terbaik bagi manusia mengatasi jenayah tegar sebegini.

"PAS berharap kerajaan persekutuan melihat keperluan undang-undang ini dan memberikan sokongan kepada negeri-negeri di negara ini bagi menguatkuasakan undang-undang ini," katanya.

No comments: