Oleh Zukri Aksah
KUANTAN, Julai 3 - Dewan Pemuda PAS Pusat di bawah teraju Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi telah secara terbuka menjemput Pemuda Umno untuk berwacana secara ilmiah bagi melihat lurus-bengkok perjuangan Umno selama ini di sisi syariat Islam.
Bahkan satu sidang akhbar telah diadakan secara bersama oleh Nasrudin dan Razali Ibrahim, Naib Ketua Pemuda Umno di lobi Parlimen pada Rabu lalu.
Cadangan wacana ini muncul ketika politik negara masih belum reda dengan kehangatan isu kerajaan perpaduan, dan tindakan Dewan Pemuda PAS ini bagi sesetengah orang seperti mahu mengapikan semula isu tersebut.
Namun seperti ditegaskan Nasrudin, wacana ini adalah wacana terbuka, dan melibatkan hanya perbincangan ilmiah, tidak ada sebarang kerjasama dalam apa bentuk sekalipun.
Menariknya, usul wacana ilmiah ini juga terbit pada waktu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menolak mentah-mentah pelawaan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS untuk berdebat.
Nik Aziz membuat pelawaan tersebut setelah beliau dikritik hebat oleh kalangan pemimpin Umno kerana menuduh Umno sebagai sesat.
Walaupun belum menerima apa-apa jawapan rasmi dari Pemuda Umno, tetapi bagi Nasrudin, kesediaan Pemuda Umno seperti yang disuarakan Khairy merupakan satu tamparan hebat kepada Najib.
Seperti diulas Nasrudin, keberanian yang ditunjukkan Khairy untuk berwacana secara ilmiah dengan Dewan Pemuda PAS semacam satu sindiran tajam kepada Najib dan kalangan pemimpin Umno lain, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap debat dengan PAS adalah kerja sia-sia.
Nasrudin pernah dikritik oleh penyokong PAS dan Pakatan Rakyat sendiri kerana didakwa sebagai antara pemimpin PAS yang menyokong ide kerajaan perpaduan dan usul wacana ilmiah ini pula dilihat sebagai cubaan menyambung kembali jambatan ide tersebut yang telah patah.
Namun beliau yang tetap dengan pendiriannya menegaskan bahawa wacana ilmiah adalah medan hujah, dan hujah senantiasa bersama dengan kebenaran.
Kejayaan Nasrudin bersama Dewan Pemuda PAS memukul “anak Umno” sehingga terpaksa turut bersuara dilihat bakal menempelak banyak pihak yang meraguinya.
Soalnya tempelak ini akan menjadi sindiran untuk siapa? Pemimpin Umno, sebahagian pemimpin PAS, atau rakan-rakan pimpinan dalam PKR dan DAP? - The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment