Oleh Wartawan Harakah
KANGAR, 24 Jun - Golongan artis di negara ini diminta jangan mejadi alat kepada Umno untuk menjalankan agenda politik mereka walaupun dikatakan parti itu mampu membela nasib mereka.
Exco Dewan pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin membuat seruan demikian apabila diminta mengulas saranan Timbalan Menteri Pelancongan, Dato' Zahid Hamidi yang mahu golongan artis menyertai politik, seperti yang dilaporkan Berita TV1 baru-baru ini.
Zahid berkata demikian dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh seorang artis, Aziz Singah yang kini menjadi Bendahari Umno bahagian Puchong.
Dalam temuramah media, Aziz menyeru agar golongan artis supaya menyertai Umno yang dakwanya boleh membela nasib mereka.
Dalam laporan Harian Metro Edisi Utara berberapa hari lalu pula, artis veteran, Senator Dato' Jins Shamsudin menyatakan tentang usaha untuk menubuhkan sebuah cawangan Umno yang disertai oleh para artis.
"Bukan semua artis mahu sokong Umno," kata Ustaz Zolkharnain ringkas.
Menurutnya, keterlibatan artis dalam politik khususnya dalam Umno dilihatnya sebagai mahu dijadikan sebagai alat untuk kepentingan politik mereka.
"Lihat sahaja pelbagai contoh di mana artis dipergunakan untuk memeriahkan program Umno yang mana tujuan utamanya adalah untuk menarik orang ramai. Dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir baru-baru ini, Mawi sendiri telah diarak kesana-kemari," katanya.
Katanya lagi, sepatutnya Umno mendekati golongan artis untuk memberikan bimbingan kepada mereka supaya menjadi "role model" kepada masyarakat.
"Artis perlu difahamkan tentang Islam. Tanpanya mereka akan hanyut dalam dunia glamor dan sebahagiannya pula tebabit dalam gejala maksiat, dadah dan pelbagai lagi," tambahnya.
Selain itu, Ustaz Zolkharnain mempersoalkan mengapa baru kini wujudnya suara agar artis menyertai politik khususnya dalam Umno sendiri.
"Adakah mereka gerun dengan kecenderungan beberapa orang artis atau bekas artis kepada parti pembangkang malahan ada pula yang kini mulai dekat dengan Islam dan menceburi bidang dakwah," soalnya.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment