Alamat Baru Kami
Friday, June 02, 2006
Kaji balik kebenaran iklan arak di media massa
Oleh: Wartawan Harakah
KANGAR, 1 Jun - Dewan Pemuda PAS Perlis menggesa Kerajaan Islam Hadhari yang diterajui Perdana Menteri, Dato'Seri Abdullah Ahmad Badawi mengkaji balik kebenaran iklan minuman keras dalam di media cetak.
Ini berikutan laporan penyiaran iklan arak yang dimuatkan bersebelahan dengan muka Abdullah sendiri dalam akhbar New Straits Times (NST) seperti yang dilaporkan oleh laman web Agendadaily baru-baru ini amat memalukan dan mendapat bantahan dari kalangan orang-orang Umno sendiri.
Dalam laporan tersebut, Kelab Senator yang terdiri dari kalangan pemimpin Umno peringkat Bahagian, kesal dengan tindakan NST menyiarkan iklan sedemikian.
Pelbagai pihak tampil memberikan respon termasuk PM yang melahirkan rasa terkejut beliau.
Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil berkata, isu iklan yang diletakkan di sebelah gambar Abdullah sebenarnya lebih kecil berbanding penguatkuasaan yang amat longgar apabila gejala meminum arak dari kalangan umat Islam sendiri berleluasa.
"Banyak perkara lain berkaitan arak yang perlu di pandang serius oleh kerajaan.
"Itu bukan pertama kali iklan tersebut disiarkan. Dah berapa lama NST menyiarkannya. Mungkin Kelab Senator tidak perasan atau buat-buat tak perasan. Bila dah diletak sebelah gambar 'bos' barulah nak bising," katanya.
Dengan sikap pemimpin Umno yang double-standard, beliau berkata, ia membuktikan Islam Hadhari masih lagi bercelaru dan boleh dianggap sebagai 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja.
Katanya lagi, Kelab Senator sepatutnya lebih prihatin terhadap masalah hukum halal-haram arak, lebih-lebih lagi disiarkan oleh akhbar yang dikaitkan dengan kepentingan Umno di dalamnya.
"Bagaimana masa tidak ada gambar Abdullah di sebelahnya (iklan), kenapa tidak bising-bising? Apakah orang Umno masih meneruskan tradisi memuja pemimpin?," soalnya.
Sehubungan itu Pemuda PAS Perlis katanya, menggesa kerajaan mengkaji balik penyiaran iklan arak khususnya di dalam akhbar arus perdana.
"Selain menghina Islam Hadhari, kita perlu prihatin dengan sumber haram yang diperolehi daripada pengiklanan arak yang sekaligus akan melibatkan ramai orang Islam," tegasnya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment