Oleh Wartawan Harakah
ARAU, 24 Jun - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) melahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku semasa pertandingan memancing di Sungai Baru baru-baru ini.
Ini berikutan adanya pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan cuba memperdaya orang ramai dengan pelbagai bentuk hadiah atau cabutan bertuah yang tidak wujud.
Ketua DPPPs, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil melihat kejadian ini sebagai satu kegagalan pihak berkuasa untuk memantau satu program yang besar seperti ini sehinggakan terjadinya kekecohan.
"Ini membuktikan mereka gagal membuat pemantauan sedangkan ia turut diiklan di radio dan dilaporkan disertai tiga ribu orang peserta," katanya.
Dalam kejadian tersebut, para peserta yang berasa terperdaya oleh pihak penganjur yang gagal menyediakan hadiah cabutan bertuah seperti kereta Proton GEN 2 telah mengamuk dan bertindak membelasah dua orang penganjur.
Sebuah kereta penganjur juga turut dihumbankan ke dalam laut.
Dua orang lelaki yang terbabit menganjurkan pertandingan tersebut kini ditahan polis untuk siasatan.
Sehubungan dengan itu juga, Ustaz Ahmad Adnan menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terperdaya dengan apa jua bentuk penganjuran yang menjanjikan hadiah yang lumayan.
"Jangan jadikan budaya masuk sesuatu pertandingan itu semata-mata untuk mengejar hadiah yang lumayan. Sebaliknya jadikanlah sesuatu pertandingan sukan dan sebagainya untuk memupuk silaturrahim dan semangat setia kawan di kalangan masyarakat," katanya lagi.
Katanya lagi, kerajaan Perlis perlu memantau sebarang pertandingan sukan atau yang lainnya yang bakal dianjurkan bagi mengelak berlaku lagi kejadian seperti ini.
"Kita juga tidak mahu rakyat dibudayakan memasuki sesuatu perandingan semata-mata mengejar hadiah atau cabutan bertuah. Saranan MB Perlis agar diharamkan cabutan bertuah adalah satu yang baik," tambahnya
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment