Oleh Wartawan Harakahdaily
KANGAR, 24 Jun (Hrkh) - Setelah hilang sabar dengan karenah penganjur umrah, berberapa orang peserta yang merasakan tertipu telah membuat aduan polis apabila penganjur gagal memulangkan wang dan pasport mereka. Tiga laporan polis telah dibuat ke atas Mansurah Travel & Tours yang beralamat di Alor Setar, Kedah oleh peserta pakej Umrah dan Ziarah Musim Cuti Sekolah Mei 2006 baru-baru ini.
Seramai 22 orang telah mendaftarkan diri untuk pakej tersebut yang dijangka berlepas ke tanah Suci Mekah pada 26 Mei dan pulang pada 10 Jun. Sejumlah RM81,190.00 telah diserahkan kepada syarikat tersebut.
Namun selepas pembayaran dibuat dan pasport diserahkan, pengajur mengatakan penerbangan pada 26 Mei terpaksa ditunda ke 4 Jun kerana masalah tiket. Hampir dengan tarikh berlepas, ianya ditunda pula ke 6 Jun dan kemudiannya ke 7 Jun dengan alasan tiket dan visa pula.
Para peserta kemudiannya sepakat untuk membatalkan pemergian mereka berikutan masa cuti sekolah yang sudah hampir tamat sedangkan asalnya pakej tersebut adalah untuk musim cuti sekolah.
Oleh itu, mereka telah mengadakan pertemuan dengan pemilik syarikat tersebut pada7 Jun dan beliau telah berjanji dengan hitam-putih untuk menyerahkan semula wang dan pasport dalam masa seminggu (15 Jun).
Namun selepas tarikh tersebut beliau mungkir janji untuk memulangkan wang dan pasport peserta dengan pelbagai alasan yag diberikan. Pihak polis sendiri menasihatkan agar peserta menunggu lima hari lagi sebelum membuat laporan kerana mereka akan cuba membantu menghubungi pemilik syarikat tersebut.
Selepas lima hari, pada 20 Jun lepas tiga orang peserta pakej umrah tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Kangar.
Ketika dihubungi Harakah, salah seorang peserta Abu Bakar Ali menegaskan bahawa pendendahan ini perlu dibuat utuk menyedarkan orang ramai akan kejadian ini.
"Kita dengar sudah ada orang lain yang terkena, jadi kita tidak mahu lagi pekara seperti ini berulang lagi," dakwanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Syed Kamal Bharin memerlukan segera wang dan pasport yang dipegang oleh syarikat tersebut. Ini kerana selain pasportnya, turut sama ialah tiga pasport ahli keluarganya.
"Anak saya akan ke Australia Julai ini untuk sambung belajar. Kami sekeluarga juga akan menghantarnya, jadi kami sangat perlukan pasport tersebut," katanya.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment