Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, June 16, 2006

Shahidan galak minum kopi pahit
Petikan Berita Harian

KANGAR: Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, meminta penduduk mengamalkan minuman tanpa gula dikenali kopi pahit sebagai kempen mengurangkan pergantungan kepada bahan pemanis itu.

Katanya, walaupun negeri itu tidak menghadapi masalah bekalan berbanding Terengganu dan Lembah Klang, kempen pengurangan gula tetap dilakukan untuk menyedarkan penduduk mengenai kesan bahan itu kepada kesihatan.

"Masyarakat kini menjadikan gula seperti budaya dan kita patut mencuba budaya baru dengan mengambil minuman kopi pahit yang tidak dicampur gula.

"Walaupun peringkat permulaannya agak sukar, lama kelamaan kita akan menyukainya... saya sendiri suka minum kopi pahit," katanya mengulas isu kekurangan gula selepas melawat rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Mengkuang Layar, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, bekalan gula di Perlis mencukupi untuk menampung permintaan penduduk tetapi kerajaan negeri akan meneruskan kempen pengurangan gula di kalangan penduduk.

"Penduduk perlu mencuba mengurangkan pergantungan terhadap gula bermula dengan minuman dan seterusnya dalam pembuatan makanan, termasuk kuih-muih," katanya.

Shahidan juga tidak menolak kemungkinan masalah kekurangan gula berlaku kerana sikap panik penduduk serta tindakan pemborong atau peruncit yang didakwa menyembunyikan bahan itu.