Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, January 31, 2006


LAPORAN POLIS UGUTAN BUNUH
Kategori : Petikan Akhbar

ALOR STAR 28 Jan. - Timbalan Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohd. Azmi Abdul Hamid mendakwa menerima ugutan bunuh daripada seseorang yang tidak dikenali yang dipercayai mempunyai kaitan dengan projek kuari batu di Gunung Jerai, Yan.

Menurut beliau, ugutan itu diterima melalui telefon oleh isterinya di rumah, Rabu lalu yang turut mengancam untuk menculik anak-anaknya.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Merbok kelmarin bagi menjamin keselamatan diri dan keluarganya.

Beliau percaya ugutan tersebut mempunyai kaitan dengan isu kuari berkenaan selepas kenyataannya disiarkan dalam akhbar berhubung perkara itu Rabu lalu.

``Lelaki itu mengugut isteri saya dengan berkata `awak sudah bikin saya susah. Sekarang saya mau bikin awak susah. Mau angkat cikgu dan anak-anak cikgu mau kasi mati.

``Orang itu beritahu lagi, kalau dia tidak dapat saya dalam dua tiga hari, dia akan ambil anak saya,'' katanya kepada pemberita di rumahnya di Merbok, hari ini.

Selasa lalu, 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang jika kerajaan negeri terus berdiam diri berhubung isu kuari berkenaan.
Mohd Azmi berkata, pihaknya memberi tempoh selama sebulan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya memberi maklum balas terhadap bantahan yang dikemukakan oleh penduduk kampung dan NGO berhubung isu itu.