Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, January 28, 2006


Jabatan Agama Perlis diminta tidak bersikap pilih kasih
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

BESERI, 26 Jan (Hrkh) - Kerajaan negeri khususnya Jabatan Agama Islam diminta tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu-isu berkaitan agama.Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali membuat seruan tersebut ketika diminta mengulas cadangan mendakwa umat Islam di negeri ini yang gagal menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

"Kita nampak cadangan ini amat baik, namun bagaimana pula sikap mereka dengan isu lain berkaitan agama khususnya di pihak PAS?," soalnya.

Akhbar Harian Metro semalam melaporkan Exco Agama Islam negeri, Dato' Abu Bakar Ismail memberikan kenyataan berkenaan cadangan tersebut.

Dalam perkara ini, Ustaz Ahmad melihat wujudnya sikap "double standard" di pihak kerajaan apabila berhadapan dengan pihak yang tidak sealiran dengan mereka walaupun dalam isu berkaitan agama.

"Apabila PAS Perlis tubuhkan sekolah agama, mereka katakan sekolah itu haram sehinggakan Exco berkenaan seringkali membangkitkannya apabila Dewan Undangan Negeri bersidang. Bila kita minta nak daftar dengan Jabatan Agama, mereka tidak jawab pula," jelasnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan turut mengambil tindakan terhadap sebuah surau yang menjalankan aktiviti agama dengan alasan tidak mendapat kebenaran Jabatan Agama, walhal ianya adalah untuk tujuan kebaikan dan tidak bercanggah dengan hukum.

"Apa yang jelas mereka hanya takut dengan pengaruh pihak yang tidak sealiran dengan mereka yang mahu berbuat kebaikan dengan aktiviti agama yang dijalankan serta diterima umum," katanya.

Ustaz Ahmad melihat cadangan kerajaan yang membawa ke arah kebaikan ini tidak selari dengan sikap mereka terhadap dua isu yang disebutkan di atas.

"Pada satu masa mereka nak buat kebaikan dan waktu lain menentang pula. Sepatutnya Exco Agama kena sokong apa sahaja perkara yang baik berkaitan agama," tambahnya lagi.