Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, January 06, 2006


Banjir di Perlis: Ramai Adun BN didakwa tidak turun padang
OLEH : BASHIR ISHAK
Kategori : Berita


PADANG BESAR, 6 Jan (Hrkh) - Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Perlis terutamanya wakil rakyat mereka tidak berwibawa sehinggakan ditegur oleh Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Adbidin berkata demikian ketika mengulas amaran Shahidan yang mahu menyingkir Exco kerajaan Perlis yang tidak turun padang untuk membantu mangsa banjir di Perlis baru-baru ini.

Menurutnya, amaran ini jelas menunjukkan sikap dan komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Exco kerajaan negeri tidak bersungguh-sungguh mahu membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

"Kewibawaan kepimpinan Umno/BN Perlis boleh dipertikaikan kerana tidak prihatin dengan masalah masyarakat ketika ditimpa bencana," katanya.

Baru-baru ini Shahidan menegur sesetengah Exco dan wakil rakyat yang tidak turun padang membantu penduduk yang menjadi mangsa banjir. Malah, ada juga Exco yang bercuti di ibu kota dan hanya pulang selepas banjir surut.

Ustaz Zolkharnain yang pernah menjadi Adun Santan (1999-2004) melihat perkara ini juga berpunca dari sikap mereka yang mahu menunggu peruntukan diberikan, barulah mereka mahu turun padang.

"Mereka sepatutnya mempunyai inisiatif sendiri untuk turun membantu masyarakat walaupun tanpa peruntukan khusus," katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan PAS Perlis tidak memberikan perhatian kepada mangsa banjir di Perlis baru-baru ini.

"Buktinya jelas, semasa Pemuda Pusat bersama Pemuda Perlis turun menyampaikan sumbangan mangsa banjir, kami terserempak dengan Shahidan sendiri di satu kampung dan kita turut sampaikan bantuan kepada Wanita Umno di cawangan itu," jelasnya.

Selain itu, Ustaz Zolkharnain turut menyelar sikap sesetengah pihak yang cuba menipu untuk menuntut gantirugi kerosakan tanaman padi mereka.

Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (Mada) mengesan ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada banjir besar untuk mendaftar sebagai petani yang kerugian ekoran tanaman padi ditenggelami air.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan ketika bancian dibuat Mada Daerah Kangar yang menerima laporan kerosakan padi lebih 1,800 hektar sedangkan kawasan Mada di daerah itu hanya 1,785 hektar.

"Perbuatan ini sungguh tidak bermoral. Sepatutnya mereka perlu sedar bahawa banyak lagi mangsa banjir yang perlu dibantu selain mereka yang mengusahakan sawah padi," katanya.