Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, January 06, 2006

Dr Rosli jawab keluhan penganjur konsert 'Black Metal'Friday,
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

PADANG BESAR, 6 Jan (Hrkh) - Sekumpulan peminat muzik 'metal' yang telah ditangkap kerana didakwa menganjurkan konsert Black Metal di Seremban awal Disember lalu mahu PAS mengkaji dan memahami apa yang didefinisikan sebagai muzik metal untuk memperjelaskan kekeliruan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob mendedahkan tentang e-mail yang diterimanya dari seorang penganjur konsert tersebut yang mendakwa mereka telah menjadi mangsa pihak polis serta propogannda media tentang Black Metal.

Dr Rosli yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mendedahkan kepada Harakahdaily selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, penulis e-mail tersebut mengaku menganjurkan konsert 'metal' yang telah diberikan permit oleh Majlis Perbandaran Seremban dengan sokongan pihak polis.

Namun dakwanya, mereka telah menjadi mangsa fitnah polis yang membuat tuduhan bahawa mereka telah melakukan ritual pembakaran al-Quran dan pengorbanan wanita.

Mereka juga mendakwa pihak media sengaja memomokkan mereka sebagai penganjur Black Metal sedangkan mereka tidak pun mengikuti konsert tersebut dan hanya datang bersama pihak polis yang membuat serbuan.
Selain itu, mereka turut mendakwa konsert itu bebas daripada unsur dadah, alkohol, seks dan keganasan.

"Mengapa luluskan permit kalau pasti kami buat benda salah dan haram pada pandangan polis?" soalnya.

Dr Rosli memberitahu bahawa beliau menjawab e-mail tersebut dengan cara yang baik dan memberikan nasihat yang berguna kepada pengirimnya.

"Dalam apa jua yang kita lakukan perlulah atas dasar mencari keredhaan Allah," jawabnya.

Selain itu beliau turut memberikan contoh bahawa dirinya juga pernah menjadi mangsa tuduhan palsu polis apabila didakwa mengadakan ceramah haram, walhal ianya diadakan di dalam premis yang tidak menyalahi undang-undang.

"Bersabarlah. Apa yang dialami itu adalah secebis ujian yang mana pejuang zaman silam menghadapi ujian yang lebih getir," katanya kepada pengirim e-mail tersebut.

Walaupun Dr Rosli mengakui kurang mengetahui tentang Black Metal, tetapi beliau mahu mengetahui dengan lebih jelas. Beliau melihat cara bertemu dan bermuzakarah dengan mereka sebagai jalan terbaik.

"Kita bersedia mendekati golongan ini dan sedia memberikan pertolongan selaras dengan tuntutan Islam mengikut apa yang disebut dalam Surah Al-Asr, berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran," katanya.

Pengirim e-mail tersebut juga mahu kajian teliti dibuat tentang Black Metal kerana menurutnya kajian yang telah dibuat dan dan pendedahan pihak media sebelum ini adalah pincang dan berat sebelah.