WARTAWAN KUTUK POK DAN KITA ?
Kiriman : Dukun Siber Bukit Keteri
Kategori : Surat Pembaca
Fikir dahulu sebelum cakap:
SELEPAS lama ‘menyepi’, suara Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kedengaran semula dengan idea kontroversinya apabila mencadangkan kerajaan menghalalkan penggunaan dadah sebagai satu cara mengatasi penyalahgunaannya. Kata Shahidan, cara itu mampu mengurangkan jumlah penagih dadah seperti dilaksanakan di China, apabila kerajaan negara itu membenarkan candu dijual kepada orang ramai.“Kerajaan China membenarkan candu dijual kepada orang ramai, tetapi dengan syarat hanya dijual di balai polis. Setiap hari penagih candu berbaris panjang untuk membeli candu.“Setiap hari juga orang ramai melihat pesta membeli candu dan dapat melihat siapa penagih dadah. Lama kelamaan jumlah penagih di negara itu berkurangan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Perlis ke-11, Selasa lalu.
Katanya, cadangan itu pernah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat di Dewan Rakyat ketika menjadi Ahli Parlimen Arau, tetapi tidak mendapat reaksi.Itu yang menghairankan Tabib. Shahidan tahu cadangannya tidak mendapat reaksi Kerajaan Pusat. Bagi Tabib, tidak mendapat reaksi maknanya tidak diterima atau ditolak.Oleh itu, kenapa Sahidan masih mengulanginya. Sepatutnya jika satu cadangan kita tidak diterima, kita bagi pula cadangan baru dan bukan berulangkali mengulangi cadangan sama.Tabib bukan hendak mengkritik membabi buta dan Tabib sedar Shahidan garang orangnya, tetapi terus terang Tabib tidak nampak sebab lain kenapa Shahidan berbuat demikian, melainkan sekadar inginkan publisiti murahan.
Sebelum ini, memang banyak idea dan cadangan Shahidan menjadi kontroversi. Antaranya, melonggarkan syarat berpoligami dan mengajak lelaki yang ingin berpoligami ke Perlis serta melaksanakan perintah berkurung selepas jam 10 malam untuk remaja di bawah umur 16 tahun.Namun bagi Tabib, cadangan Shahidan kali ini supaya penggunaan dadah dihalalkan, benar-benar sukar diterima akal untuk dilaksanakan di Malaysia dan ia paling kontroversi berbanding cadangannya sebelum ini.Nyata bukan Tabib bersendirian menentang cadangan Shahidan kerana beberapa pihak yang diminta maklum balas mereka mengenainya turut menyuarakan rasa tidak setuju.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Idris Ibrahim, berkata Shahidan seharusnya membuat kajian mengenai penagihan dadah di negara ini sebelum mengeluarkan cadangan sedemikian.“Saya sedih kerana cadangan itu dikeluarkan seorang pemimpin Umno. Beliau seharusnya tahu dasar negara mengenai dadah dan tidak membabi buta mengeluarkan cadangan tanpa membuat kajian,” katanya.Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Norizan Sharif, pula berkata tidak semua langkah dilakukan negara luar mampu dilaksanakan di negara ini.“Sesuatu langkah yang diambil perlu melihat nilai dan budaya masyarakat. Tidak semestinya langkah itu berjaya di negara lain, bermakna ia turut berjaya di negara ini,” katanya.
Tabib tidak tahu adakah akan ada kenyataan lain daripada Shahidan selepas ini untuk memanjangkan isu ini atau ia akan senyap begitu saja.Cuma, Tabib berharap pada masa depan Shahidan akan berhati-hati dan berfikir lebih panjang sebelum mengeluarkan kenyataan.Bercakap memang senang, tetapi melaksanakan apa dicakapkan itu bukan mudah. Jika sekadar bercakap tetapi tiada pelaksanaan atau penguatkuasaan, lebih baik diam saja.Sebelum ini, Shahidan mewajibkan semua sekolah di Perlis menggunakan Bahasa Inggeris ketika berucap dalam perhimpunan pagi. Walaupun mendapat bantahan pecinta bahasa dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Shahidan tetap dengan pendiriannya.Tabib tidak kata arahan Shahidan tidak bagus, namun hasil risikan Tabib dengan rakan di Perlis, hanya beberapa kerat sekolah mempraktikkan arahan Shahidan kerana ramai murid ‘terlopong’ tak faham apabila guru mereka berucap menggunakan Bahasa Inggeris.
Ketika jerebu melanda Lembah Klang awal bulan lalu, Shahidan pantas mengeluarkan arahan supaya semua harga bilik hotel milik kerajaan negeri dikurangkan 10 peratus untuk memberi peluang warga kota ‘melarikan diri’ ke Perlis buat seketika.“Kami bukan mahu mengambil kesempatan atau meraih keuntungan, tetapi kasihan dan simpati dengan warga kota dan penduduk tempat lain yang terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa kerana jerebu. Datanglah beramai-ramai ke Perlis kerana kami menawarkan suasana nyaman, udara bersih dan sewa hotel murah,” kata Shahidan.Malangnya, hanya 24 jam selepas Shahidan mengeluarkan kenyataan itu, tiupan angin bertukar arah membawa jerebu ke utara, termasuk Perlis. Jadi, apa berlaku? Arahan tinggal arahan dan pelaksanaan entah ke mana. Itulah hasilnya jika tidak berfikir panjang sebelum bercakap.
(artikel ini dipetik dari ruangan tabib siber di harian metro)
Terima kasih kepada pengirim.
No comments:
Post a Comment