Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, September 29, 2005

ISLAM DAN MODENISASI
OLEH : IBNU ZAIN
Kategori : Penulis Jemputan

Pendahuluan.

Islam bukanlah satu agama yang bersifat statik, rigid, kaku dan lesu sebagaimana yang sering dilontarkan oleh Barat. Kemunduran dan kegagalan umat Islam bergerak mengikut hukum masa dan suasana, sering dikaitkan dengan penekanan, halangan dan campur tangan sistem-sistem Islam yang dianggap terlalu mengongkong budaya hidup umat Islam serta medium pemikiran penganutnya. Yang mundur adalah manusia, sedangkan ajaran Islam tetap kukuh dan maju jika segala prinsip dan isi kandungannya benar-benar diikuti dan diadun di dalam ruang minda masyarakat Islam. Ini jelas sebagaimana yang disebut oleh Allah s.w.t dalam firmanNya :

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah diri mereka sendiri”.

Suatu yang perlu dijelaskan adalah pemahaman terhadap maksud sebenar modenisasi ataupun kemajuan mengikut prinsip asas yang sebetulnya. Modenisasi pada pandangan Barat adalah materialistik yang sama sekali bercanggah dengan pemahaman Islam terhadapnya. Ini bukanlah bermaksud Islam menolak materialistik secara total, tetapi melihat kepada perlunya wujud suatu kuasa kawalan kepada dimensi materialistik itu sendiri. Kuasa kawalan inilah yang diistilahkan sebagai sumber pembangunan utama dari segi rohani dan intelek yang akan membawa kepada pembangunan material. Pembangunan material yang terhasil dari gabung jalin rohani dan intelek inilah yang dianggap sebagai kemajuan ataupun modenisasi dalam erti kata yang sebenar.

Modenisasi melalui Tasawur Islam.

Ajaran modernisme dalam Islam boleh disorot melalui beberapa konsep, antaranya:

i. Ijtihad – mengeluarkan pendapat berdasarkan akal yang tepat berpandukan panduan An-Naqli.
ii. Thabat – hukum yang tetap
iii. Murunah – sifat hukum yang berubah kerana konsep lentur ( fleksibel )
iv. Tawazun – hukum yang berimbang
v. Syumul – hukum yang sejagat dan menyeluruh
vi. Waqi’ie – bersifat realiti, dulu, kini dan selamanya

Selain itu konsep modenisme jika ditinjau dari aspek pembangunan negara juga, boleh dilihat dari beberapa perubahan dan penstrukturan semula masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh baginda Nabi s.a.w. Pembentukan negara Islam Madinah contohnya, berdasarkan perjanjian Madinah (Sahifah Madinah ), adalah salah satu dari proses modenisasi yang dialami oleh masyarakat Arab ketika itu. Malah perkataan Madinah itu sendiri telah membentuk orientasi makna yang terkandung dalam falsafah modernisme. Begitu juga dasar pemerintahan negara yang berpandukan sistem syura dan khalifah , secara jelas telah dicedok oleh barat dengan mengenengahkan asas-asas demokrasi dan parlimen. Inilah di antara kekuatan Islam yang berjaya diambil oleh Barat tanpa disedari oleh umat Islam itu sendiri. Banyak modenisasi yang berlaku di kalangan masyarakat arab selepas kemunculan Islam, baik dari segi politik, perundangan, ekonomi, kemasyarakatan dan keilmuan. Modenisasi yang paling ketara ialah perubahan dalam budaya pemikiran yang berubah daripada skop pemikiran Jahiliah kepada keagungan dan kemuliaan.

Modenisasi dalam Islam

Suatu masa dahulu, Islam menolak konsep modenisasi kerana ia dipenuhi dengan unsur-unsur sekularisme. Sebagai contoh, golongan orientalis yang membuka institusi pengajian untuk penuntut-penuntut Islam, telah mencadangkan kepada pelajar Islam, agar meninggalkan ajaran Islam jika benar-benar ingin maju dan moden. Kedudukan inilah yang menyebabkan Islam menolak modenisasi, jika paksi ambilannya adalah sekular.

Namun dalam masa yang sama, Islam menolak konsep ortodoks dan tradisional yang tidak meraikan naluri manusia untuk mengecapi makna modenisasi. Inilah yang dijelaskan bahawa, Islam sebagai agama yang bersifat realiti iaitu: menolak modenisasi yang meminggirkan rohani dan mengiktiraf modenisasi yang meraikan naluri selagi mana ia berlegar di atas paksi u‘budiah. Di antara dasar-dasar penting yang perlu diketahui dalam falsafah modenisasi Islam ialah :

i) Pembangunan berteraskan konsep Tawazun; seimbang di antara material dan spiritual dengan mengutamakan spiritual terlebih dahulu. Firman Allah s.w.t :

“Dan carilah dengan apa yang diberikan Allah kepada kamu (keselamatan) kampung akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagian kamu di dunia ini”.

ii) Pembangunan, pemodenan dan kemajuan di dalam Islam mempunyai falsafahnya tersendiri yang jelas berbeza dengan falsafah modenisasi Barat. Falsafah modenisasi dalam Islam mestilah mencakupi asas-asas berikut :

a. Tauhid – asas yang meletakkan peraturan tentang hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia, dan manusia dengan sumber alam.

b. Rububiah – puncak dalam sistem piramid modenisasi Islam. Segala niat dan amalan kemajuan hendaklah berada dalam lingkungan kalimah Rububiah, supaya tidak melencong kepada asas pragmatik-materialisme.

c. Khalifah – segala perusahaan sumber dan asas modal adalah wasilah atau alat menggerakkan pemodenan, Dari sinilah terbitnya konsep Islam iaitu manusia dianggap sebagai pemegang amanah Allah dalam lapangan akhlak, politik, ekonomi dan prinsip-prinsip masyarakat.

d. Tazkiah – Pemodenan adalah lambang penyucian manusia dalam semua hubungan, sama ada hubungan dengan Allah, manusia, alam sekitar, masyarakat dan negara. Pemodenan tanpa konsep tazkiah adalah bukan pemodenan yang berbaur keimanan sebaliknya dari ajaran Barat.

iii) Modenisasi hanya dapat dicapai melalui pembangunan. Pembangunan pula tercerna dari ilmu pengetahuan. Islam tidak pernah menolak ketiga-tiga unsur tersebut ( pengetahuan – pembangunan – modenisasi ). Dalam ajaran Islam, semua yang berubah disebut baharu. Manakala yang baharu pula diistilahkan sebagai bida’h mengikut istilah Fuqahak. Bida’h dalam urusan dunia dalam soal pembangunan dan modenisasi adalah Bida’h Hasanah yang dituntut dalan ajaran Islam. Sabda Nabi s.a.w :

“Sesiapa yang menunjukkan teladan dalam Islam dengan Sunnah Hasanah, maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya”.

iv) Pembaharuan dan modenisasi mestilah membawa Al-Khair (kebaikan) dan Al-Falah (kejayaan).

Mohd Nasir bin Omar (Dewan Bahasa & Pustaka) menjelaskan bahawa, modenisasi dan perubahan yang dibawa oleh pemodenan Islam mestilah bersifat kuantitatif (Al-Roqamiah) dan kualitatif (Al-Nailah). Al-Roqamiah dalam perubahan-perubahan modenisasi Islam mencakupi lapangan kehidupan manusia dari segi sosial, politik hinggalah ekonomi. Al-Nailah pula mengawal individu Muslim agar tidak lari dari konsep tawazun, dunia dan akhirat.

Hadaf Modenisasi Islam

Beberapa hadaf modenisasi dalam Islam boleh dilihat dari perkara berikut :

a) Pembangunan peribadi dan keupayaan manusia
b) Mengembangkan pengeluaran yang berguna
c) Peningkatan dalam kualiti kehidupan dari sederhana kepada maju
d) Pembangunan yang seimbang
e) Kewujudan teknologi baru
f) Mengurangkan pergantungan kepada dunia luar dan intergrasi yang lebih di kalangan umat Islam
g) Mengelakkan Al-Lagha (sia-sia) dan Al-Khusran (rugi)

Kesemua hadaf yang terangkum dalam perkara di atas adalah terlalu penting demi mengelakkan pergantungan yang terlampau kepada negara Barat yang sering menekan ekonomi umat Islam. Integrasi yang lebih di kalangan negara umat Islam perlu digerakkan semaksimum mungkin, supaya dasar ketamadunan dan modenisasi berlaku serentak di kalangan negara Islam. Perkara tersebut boleh dilihat dari kesan-kesan sejarah umat Islam yang lampau, bermula dari pembentukkan negara Islam Madinah sehinggalah kepada runtuhnya Empayar Islam pada tahun 1945. Ianya berpunca daripada dasar-dasar sekular yang diadaptasikan dari Barat yang dipelopori oleh Mustafa Kamal At-Tartuk.

Konklusi……..

Islam sama sekali tidak pernah menolak modenisasi. Tetapi apa yang tidak menepati ajaran Islam ialah mengenai konsep modenisme yang dipengaruhi oleh isme-isme yang ada di dalamnya sehingga menyebabkan berlakunya penolakan terhadap konsep agama dan kepercayaan tauhid sebagaimana yang dibawa oleh modenisme Barat.

Selagi mana aliran modenisasi membawa pembaharuan dan kemajuan terhadap agama dan umat Islam, maka selagi itulah Islam menerima konsep tersebut. Umat Islam juga ingin hidup maju untuk bersaing dengan agama dan bangsa lain dalam konsep survival di mana konsep pemodenan tersebut disesuaikan dengan ajaran Islam. Modenisme tunduk di bawah Islam dan bukannya Islam yang menurut atau tunduk di bawah kawalan modenisme. Jelasnya umat Islam perlu mempunyai suatu fikrah yang terangkum di dalam kata-kata :

“kita bukanlah orang yang hanyut dibawa arus ataupun berusaha meminggirkan arus, sebaliknya berusaha untuk memimpin arus tersebut”. dan “Kita tidak akan faham bila tidak diberitahu, dan tidak akan tahu jika tidak mengambil tahu”.

Sekiranya kedua-dua perkara di atas dihayati dan diteliti dengan makna yang mendalam, sudah pasti modenisasi yang dihayati dan diimpikan akan mampu terlaksana. Kekuatan inilah yang perlu dimanipulasi sepenuhnya dalam ruang lingkup pemikiran masyarakat Muslim. Mudah-mudahan sumbangan kecil ini mampu membuka dimensi baru dalam menyusun takhtit yang terancang untuk menatijahkan dunia modenisasi Islam yang sebenarnya.

Allhu a’lamu bi haqiqatil hal…

1 comment:

insidewinme said...

Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.