Oleh BASHIR ISHAK
KANGAR, - "Saya mahu masuk mesyuarat JKKK pun takut, tetapi kalau tidak hadir orang kata wakil rakyat tak masuk kampung," demikian keluh seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.
Loh Yoon Foo (BN-Titi Tinggi) mendedahkan sifat sesetengah kontraktor terutamanya dari kelas F yang cuba mengugutnya untuk memperolehi projek.Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan Tuanku Pemangku Raja di dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Kedua DUN Perlis kali ke-11.
Di dalam ucapannya, Loh melihat kesan pemberian lesen kontraktor terutamanya kelas F di negeri Perlis yang terlalu banyak menyebabkan ramai dari kalangan mereka berebut untuk mendapat pelbagai projek.
"Kebanyakan dari golongan ini datangnya daripada kalangan mereka yang ada kaitan dengan politik. Mereka jumpa saya ajak pergi jumpa Menteri Besar utnuk sesuatu projek," katanya.Menurutnya lagi, kontraktor-kontraktor ini sangat berharap kepada projek yang disalurkan melalui wakil rakyat. Apabila tiada projek yang dapat diberikan, ada sesetengahnya memberikan ugutan kepadanya.
"Sudah empat penggal saya jadi wakil rakyat, tetapi kali ini baru wujudnya budaya sebegini hinggakan sayapun kena ugut," jelasnya.Beliau turut menyarankan agar pemberian sebarang projek kerajaan perlu dikembalikan kepada sistem lama iaitu secara undian untuk memberikan keadilan kepada kontraktor-kontraktor yang memasuki sesuatu tender.
No comments:
Post a Comment