Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, September 24, 2005

Menteri Besar Perlis yang baru Oktober ini?
Oleh Umno (lama) Perlis
Kategori : Penulis Jemputan


Maklumat yang diperolehi daripada seorang pemimpin yang amat rapat dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memberitahu saya bahawa Oktober ini akan berlaku satu rombakan kabinet yang melibatkan masa depan beberapa orang menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran kerajaan Pak Lah termasuk kedudukan beberapa orang menteri besar yang akan digugurkan. Saya tidak berminat untuk mendedahkan nama menteri dan timbalan menteri yang terlibat dalam rombakan ini kerana saya cuma ingin memfokuskan tentang rombakan yang melibatkan perhubungan negeri saya.Untuk makluman semua pembaca khususnya penduduk Perlis, kita bakal mendapat seorang menteri besar yang baru pada Oktober ini. Menteri besar sekarang, Datuk Seri Shahidan Kassim akan diberikan jawatan baru sebagai satu peralihan bagi orang politik yang akan bersara. Ini membawa erti Shahidan tidak akan sempat menduduki pejabat barunya di Mini Putrajaya Perlis (yang menempatkan kompleks pentadbiran kerajaan Perlis) kawasan yang berdekatan dengan Gua Cenderawasih disebabkan projek pembinaannya baru sahaja dimulakan dan beliau pula akan melepaskan jawatan MB.

Exco kanan kerajaan Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin telah lama melobi Pak Lah supaya melantiknya sebagai MB. Zahidi dikenali sebagai “anak emas” Pak Lah (kerana masih tetap menyokong Pak Lah walaupun Pak Lah pernah menjadi naib presiden tanpa memegang jawatan kabinet) sehinggalah kemunculan naib ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaludin yang telah merenggangkan hubungan rapat di antara Zahidi dan Pak Lah. Sehubungan dengan itu, Zahidi amat memusuhi dan berdendam dengan Khairy. Manakala Shahidan pula mengambil kesempatan permusuhan mereka berdua ini dengan merapatkan hubungannya dengan Khairy. Harapannya moga-moga hubungan strategik ini mampu mengekalkannya sebagai MB demi menjaga kepentingannya dalam Bintong Construction Sdn Bhd, Azhar Construction Sdn Bhd dan beberapa syarikat lagi yang merupakan syarikat nominee beliau bagi membolot keseluruhan projek pembangunan di negeri Perlis.

Sementara itu, hubungan Shahidan dan Zahidi masih keroh sehingga ke hari ini kerana Shahidan sentiasa dalam keadaan mencurigai Zahidi yang beliau rasakan menikamnya dari belakang. Zahidi pada peringkat awalnya tidak ada dalam senarai rombakan Exco kerajaan Perlis yang berlaku dalam tahun ini, tetapi akhirnya Shahidan terpaksa menyenaraikan namanya juga di atas arahan daripada Kuala Lumpur.Bagi penduduk Perlis, ramai sekarang sedang beranggapan bahawa Pak Lah akan melantik Zahidi bagi menggantikan Shahidan sebagai MB.

Walaubagaimanapun, menurut sumber saya yang amat rapat dengan Pak Lah, sebenarnya Pak Lah akan melantik Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan bukannya Zahidi.Sumber tersebut yang mahu dirahsiakan identitinya memberitahu saya bahawa alasan perlantikan Radzi adalah kerana Pak Lah amat mempercayai Radzi berbanding dengan yang lain. Saya turut diberitahu bahawa Pak Lah sebenarnya paling rapat dengan dua orang pemimpin Umno. Orangnya ialah Radzi sendiri dan Datuk Seri Adnan Yaakub di atas faktor Team B 1987. Dengan perkembangan ini, maka besar kemungkinan akan berlaku pilihan raya kecil di Perlis yang melibatkan Parlimen Kangar dan DUN Kayang. Ianya bagi membolehkan Radzi menjadi ADUN Kayang dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai MB Perlis yang baru.

Perlantikan Radzi dipercayai mampu mempertahankan pengaruh Pak Lah di kalangan ahli di peringkat akar umbi di Perlis. Sudah menjadi rahsia umum tentang perebutan pengaruh di antara Pak Lah dengan Datuk Seri Najib Razak (di belakangnya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Hishamudin Hussein, Ku Li, Tan Sri Ananda Krishnan, dan Tan Sri Vincent Tan serta ramai lagi). Justeru, Pak Lah yang mahu membasmi rasuah memang sewajarnya meletakkan orang harapannya di Perlis. Selamat bertugas, Datuk Radzi!

No comments: