ORANG MALAYSIA...APA NAK JADI?
Oleh : Mr Opposition
KATEGORI : PENULIS JEMPUTAN
Ramai pihak terutama daripada pihak berkuasa yang berkaitan dengan pembangunan padi negara telah mengesahkan tentang harga padi bakal menjunam ke suatu tahap yang akan membebankan lagi nasib beratus-ratus ribu keluarga pesawah padi di seluruh negara. Bahkan dikatakan kerajaan “mesra rakyat” akan mengumumkan penurunan harga padi tersebut dalam ucapan pembentangan bajet tahunan yang dijangka pada bulan September ini.
Selepas ini hujah dan alasan yang akan diserap ke pelusuk minda pesawah padi ialah keperluan kerajaan bagi menurunkan harga padi kerana menuruti perjanjian kawasan perdagangan bebas ASEAN (AFTA).Sebelum meraih hadiah besar daripada kerajaan dengan penurunan harga padi ini, pesawah padi telah dihadiahkan dengan kenaikan kos bagi racun rumpai dan baja tambahan serta barang keperluan harian yang tinggi.
Bayangkan betapa mesranya kerajaan yang ada pada hari ini yang sanggup menurunkan harga padi di saat semua harga barang keperluan naik mencanak termasuk petrol dan diesel. Ada lelucon yang popular yang mengaitkan BN sebagai “barang naik”.
Walaubagaimanapun, kerajaan ‘mesra rakyat’ yang ada sekarang tidak perlu berasa gusar dan resah tentang sebarang kemungkinan seperti rakyat Malaysia akan marah dan membantah sebarang usaha kenaikan harga barang dan penurunan harga padi kerana rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan terhadap kerajaan yang memerintah mereka lantaran kejayaan dasar ‘politics of fear’ ciptaan kerajaan yang ditanam sehingga begitu sebati di dalam minda majoriti rakyat Malaysia.
Kenapa “politics of fear” berjaya diterapkan di Malaysia? Ianya adalah disebabkan faktor sejarah purba negara yang berkarat di kalangan orang Malaysia khususnya Melayu. Budaya angguk-angguk, geleng-geleng, tunduk-tunduk, ikut tunjuk (meminjam lirik sebuah lagu popular sekarang) telah menjadikan Melayu menurut segala perintah . Sekarang budaya tesebut telah diambil alih oleh Melayu moden untuk menyembah pemimpin Umno yang korup dan zalim.
Lihatlah walau teruk mana sekalipun kehidupan mereka, walau harga barang melambung setinggi mana pun, namun Umno tetap menjadi pujaan mereka seolah-olah Melayu merupakan satu-satunya bangsa di dunia ini yang hidup dalam keadaan dirasuk oleh jampi serapah dan khurafat bahawa hanya Umno sahaja yang sentiasa menyenangkan hidup rakyat.
Bagaimana boleh dikatakan rakyat hidup senang sedangkan harga barang naik, biasiswa pengajian semakin pupus, pinjaman pengajian semakin dihadkan, beribu-ribu orang graduan saban tahun berjaya mendapatkan segulung ijazah kebanggaan keluarga tetapi terus menjadi bebanan keluarga akibat tiada peluang pekerjaan. Harga petrol yang baru sahaja naik akan naik lagi sebanyak 20 sen se liter. Manakala subsidi bagi diesel besar kemungkinan akan dihapuskan.
Keadaan negara amat parah kerana kadar pendapatan tidak berubah sedangkan kuasa beli rakyat semakin menurun akibat kenaikan harga barang. Strategi ekonomi kerajaan mesra rakyat untuk menggalakkan rakyat berbelanja akan terbantut disebabkan penurunan kuasa beli ini. Berapakah kadar inflansi sebenar sekarang? Adakah kadar empat peratus yang merupakan kadar rasmi semasa kerajaan ‘mesra rakyat’ itu boleh melambangkan sesuatu kadar yang realistik?
Kita berbalik semula kepada isu harga padi yang akan diturunkan oleh kerajaan mesra rakyat. Penulis ingin membawa para pembaca meneliti dengan serius senario tragis yang bakal dihadapi oleh beratus-ratus ribu keluarga pesawah padi di seluruh negara akibat penurunan harga padi yang menjadi lubuk rezeki mereka. Harga padi akan diturunkan melalui pengurangan subsidi padi oleh kerajaan mesra rakyat.
Dianggarkan kerajaan ‘mesra rakyat’ akan mengurangkan subsidi padi sebanyak RM 250 bagi setiap tan pengeluaran padi. Harga semasa bagi setan padi ialah RM 550 manakala subsidi padi adalah sebanyak RM 250 bagi setan padi yang menjadikan jumlahnya sebanyak RM 800. Jumlah ini bukan merupakan jumlah yang mutlak kerana ianya belum dipotong kadar padi basah dan hampas padi. Biasanya para pesawah padi akan memperolehi sebanyak RM 760 bagi setan padi.
Hasil pengeluaran padi yang biasa diraih oleh pesawah padi bagi 1 ekar sawah padi ialah sebanyak 4 tan padi. Jadi, bagi seorang pesawah padi yang mempunyai 1 ekar sawah padi akan mendapat hasil pendapatan sebanyak RM 3240 untuk enam bulan (kebanyakan sawah padi diusahakan dua kali setahun). Jumlah sebanyak itu hanyalah merupakan pendapatan kasar pesawah padi kerana kos mesin padi, traktor membajak, racun rumpai dan baja tambahan masih belum lagi ditolak.
Kebiasaannya, kos pelbagai itu adalah sebanyak RM 1300. Justeru, pendapatan bersih bagi seorang pesawah padi hanyalah sebanyak RM 1900 bagi menanggung kehidupan keluarganya selama enam bulan (RM 330 sebulan).Apa yang hendak dinyatakan di sini, bayangkan jika kerajaan mesra rakyat terus bertegas untuk menarik balik subsidi padi sebanyak RM 250 bagi setiap tan. Berapakah jumlah pendapatan yang bakal hilang dari saku poket pesawah padi? Hampir RM 1000!
Sekiranya keadaan sebegini berlaku, maka jalan pintas untuk pesawah padi hanyalah dengan memajakkan sawahnya kepada orang lain ataupun menjual tanah sawahnya dan kemudiannya membawa diri ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai jaga di bank. Betapa mesranya kerajaan kita!
Nah! Kepada siapa rakyat mahu menaruh harapan sekarang? Nak harapkan kerajaan mesra rakyat jauh sekali kerana mereka adalah penyebab perkara ini berlaku. Mereka boleh diibaratkan sebagai “harapkan pagar, pagar makan padi”.
Orang Malaysia...Apa nak jadi?
Orang Malaysia...Apa nak jadi?
No comments:
Post a Comment