Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, September 30, 2005

Kereta rasmi Exco Perlis akan guna NGV
(Petikan Dari Utusan Malaysia)
KATEGORI : BERITA
ARAU 18 Sept. - Selepas Johor, Kerajaan Perlis turut mengambil langkah penjimatan ekoran kenaikan harga minyak apabila semua kenderaan rasmi anggota Exco kerajaan negeri termasuk Menteri Besar akan menggunakan gas asli (NGV) tidak lama lagi.

Malah, anggota Exco Kerajaan Perlis mungkin dapat menggunakan kereta rasmi menggunakan NGV lebih awal daripada Johor, setelah pesanan untuk kereta tersebut dibuat sejak dua bulan lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerajaan negeri memesan lapan kereta baru jenis Proton Perdana V6 yang menggunakan NGV.

``Anggota Exco kerajaan negeri termasuk saya akan menggunakan kenderaan yang menggunakan NGV pada bila-bila masa jika pesanan itu tiba,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 1,600 golongan tidak bernasib baik di Sekolah Kebangsaan Tambung Tulang, di sini hari ini.

Isnin lalu, Kerajaan Johor mengambil langkah berjimat cermat berikutan peningkatan harga petrol dan diesel dengan memastikan semua kenderaan milik kerajaan negeri menggunakan NGV tidak lama lagi.
Menteri Besarnya, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sebagai permulaan, semua kenderaan rasmi milik 10 anggota Exco akan menggunakan bahan bakar itu mulai akhir tahun ini.
Ulasan :
Alhamdulillah kerajaan negeri kita tahu untuk berjimat cermat.Kerajaan negeri begitu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan program penjimatan sehingga kereta NGV telahpun ditempah mendahului Johor.Kehebatan Perlis,orang baru sebut, kita dah tempah.Sama juga macam plat kereta.Orang beli kereta dengan harga RM116 ribu tapi kita, buat beli plat saja.
Kami juga kurang pasti di mana agaknya stesen untuk mengisi NGV itu tapi tak mengapa kerana itu bukan masalahnya.Yang menjadi masalah kereta EXCO yang sedia ada biasanya akan dijual dengan harga yang sangat murah.Jadi mana penjimatannya?Atau ada orang yang nakkan kereta baru?kemudian direka bermacam-macam alasan yang manis untuk mendapatkannya.Wallahua'lam

Thursday, September 29, 2005

ISLAM DAN MODENISASI
OLEH : IBNU ZAIN
Kategori : Penulis Jemputan

Pendahuluan.

Islam bukanlah satu agama yang bersifat statik, rigid, kaku dan lesu sebagaimana yang sering dilontarkan oleh Barat. Kemunduran dan kegagalan umat Islam bergerak mengikut hukum masa dan suasana, sering dikaitkan dengan penekanan, halangan dan campur tangan sistem-sistem Islam yang dianggap terlalu mengongkong budaya hidup umat Islam serta medium pemikiran penganutnya. Yang mundur adalah manusia, sedangkan ajaran Islam tetap kukuh dan maju jika segala prinsip dan isi kandungannya benar-benar diikuti dan diadun di dalam ruang minda masyarakat Islam. Ini jelas sebagaimana yang disebut oleh Allah s.w.t dalam firmanNya :

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah diri mereka sendiri”.

Suatu yang perlu dijelaskan adalah pemahaman terhadap maksud sebenar modenisasi ataupun kemajuan mengikut prinsip asas yang sebetulnya. Modenisasi pada pandangan Barat adalah materialistik yang sama sekali bercanggah dengan pemahaman Islam terhadapnya. Ini bukanlah bermaksud Islam menolak materialistik secara total, tetapi melihat kepada perlunya wujud suatu kuasa kawalan kepada dimensi materialistik itu sendiri. Kuasa kawalan inilah yang diistilahkan sebagai sumber pembangunan utama dari segi rohani dan intelek yang akan membawa kepada pembangunan material. Pembangunan material yang terhasil dari gabung jalin rohani dan intelek inilah yang dianggap sebagai kemajuan ataupun modenisasi dalam erti kata yang sebenar.

Modenisasi melalui Tasawur Islam.

Ajaran modernisme dalam Islam boleh disorot melalui beberapa konsep, antaranya:

i. Ijtihad – mengeluarkan pendapat berdasarkan akal yang tepat berpandukan panduan An-Naqli.
ii. Thabat – hukum yang tetap
iii. Murunah – sifat hukum yang berubah kerana konsep lentur ( fleksibel )
iv. Tawazun – hukum yang berimbang
v. Syumul – hukum yang sejagat dan menyeluruh
vi. Waqi’ie – bersifat realiti, dulu, kini dan selamanya

Selain itu konsep modenisme jika ditinjau dari aspek pembangunan negara juga, boleh dilihat dari beberapa perubahan dan penstrukturan semula masyarakat sebagaimana yang dilakukan oleh baginda Nabi s.a.w. Pembentukan negara Islam Madinah contohnya, berdasarkan perjanjian Madinah (Sahifah Madinah ), adalah salah satu dari proses modenisasi yang dialami oleh masyarakat Arab ketika itu. Malah perkataan Madinah itu sendiri telah membentuk orientasi makna yang terkandung dalam falsafah modernisme. Begitu juga dasar pemerintahan negara yang berpandukan sistem syura dan khalifah , secara jelas telah dicedok oleh barat dengan mengenengahkan asas-asas demokrasi dan parlimen. Inilah di antara kekuatan Islam yang berjaya diambil oleh Barat tanpa disedari oleh umat Islam itu sendiri. Banyak modenisasi yang berlaku di kalangan masyarakat arab selepas kemunculan Islam, baik dari segi politik, perundangan, ekonomi, kemasyarakatan dan keilmuan. Modenisasi yang paling ketara ialah perubahan dalam budaya pemikiran yang berubah daripada skop pemikiran Jahiliah kepada keagungan dan kemuliaan.

Modenisasi dalam Islam

Suatu masa dahulu, Islam menolak konsep modenisasi kerana ia dipenuhi dengan unsur-unsur sekularisme. Sebagai contoh, golongan orientalis yang membuka institusi pengajian untuk penuntut-penuntut Islam, telah mencadangkan kepada pelajar Islam, agar meninggalkan ajaran Islam jika benar-benar ingin maju dan moden. Kedudukan inilah yang menyebabkan Islam menolak modenisasi, jika paksi ambilannya adalah sekular.

Namun dalam masa yang sama, Islam menolak konsep ortodoks dan tradisional yang tidak meraikan naluri manusia untuk mengecapi makna modenisasi. Inilah yang dijelaskan bahawa, Islam sebagai agama yang bersifat realiti iaitu: menolak modenisasi yang meminggirkan rohani dan mengiktiraf modenisasi yang meraikan naluri selagi mana ia berlegar di atas paksi u‘budiah. Di antara dasar-dasar penting yang perlu diketahui dalam falsafah modenisasi Islam ialah :

i) Pembangunan berteraskan konsep Tawazun; seimbang di antara material dan spiritual dengan mengutamakan spiritual terlebih dahulu. Firman Allah s.w.t :

“Dan carilah dengan apa yang diberikan Allah kepada kamu (keselamatan) kampung akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagian kamu di dunia ini”.

ii) Pembangunan, pemodenan dan kemajuan di dalam Islam mempunyai falsafahnya tersendiri yang jelas berbeza dengan falsafah modenisasi Barat. Falsafah modenisasi dalam Islam mestilah mencakupi asas-asas berikut :

a. Tauhid – asas yang meletakkan peraturan tentang hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia, dan manusia dengan sumber alam.

b. Rububiah – puncak dalam sistem piramid modenisasi Islam. Segala niat dan amalan kemajuan hendaklah berada dalam lingkungan kalimah Rububiah, supaya tidak melencong kepada asas pragmatik-materialisme.

c. Khalifah – segala perusahaan sumber dan asas modal adalah wasilah atau alat menggerakkan pemodenan, Dari sinilah terbitnya konsep Islam iaitu manusia dianggap sebagai pemegang amanah Allah dalam lapangan akhlak, politik, ekonomi dan prinsip-prinsip masyarakat.

d. Tazkiah – Pemodenan adalah lambang penyucian manusia dalam semua hubungan, sama ada hubungan dengan Allah, manusia, alam sekitar, masyarakat dan negara. Pemodenan tanpa konsep tazkiah adalah bukan pemodenan yang berbaur keimanan sebaliknya dari ajaran Barat.

iii) Modenisasi hanya dapat dicapai melalui pembangunan. Pembangunan pula tercerna dari ilmu pengetahuan. Islam tidak pernah menolak ketiga-tiga unsur tersebut ( pengetahuan – pembangunan – modenisasi ). Dalam ajaran Islam, semua yang berubah disebut baharu. Manakala yang baharu pula diistilahkan sebagai bida’h mengikut istilah Fuqahak. Bida’h dalam urusan dunia dalam soal pembangunan dan modenisasi adalah Bida’h Hasanah yang dituntut dalan ajaran Islam. Sabda Nabi s.a.w :

“Sesiapa yang menunjukkan teladan dalam Islam dengan Sunnah Hasanah, maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya”.

iv) Pembaharuan dan modenisasi mestilah membawa Al-Khair (kebaikan) dan Al-Falah (kejayaan).

Mohd Nasir bin Omar (Dewan Bahasa & Pustaka) menjelaskan bahawa, modenisasi dan perubahan yang dibawa oleh pemodenan Islam mestilah bersifat kuantitatif (Al-Roqamiah) dan kualitatif (Al-Nailah). Al-Roqamiah dalam perubahan-perubahan modenisasi Islam mencakupi lapangan kehidupan manusia dari segi sosial, politik hinggalah ekonomi. Al-Nailah pula mengawal individu Muslim agar tidak lari dari konsep tawazun, dunia dan akhirat.

Hadaf Modenisasi Islam

Beberapa hadaf modenisasi dalam Islam boleh dilihat dari perkara berikut :

a) Pembangunan peribadi dan keupayaan manusia
b) Mengembangkan pengeluaran yang berguna
c) Peningkatan dalam kualiti kehidupan dari sederhana kepada maju
d) Pembangunan yang seimbang
e) Kewujudan teknologi baru
f) Mengurangkan pergantungan kepada dunia luar dan intergrasi yang lebih di kalangan umat Islam
g) Mengelakkan Al-Lagha (sia-sia) dan Al-Khusran (rugi)

Kesemua hadaf yang terangkum dalam perkara di atas adalah terlalu penting demi mengelakkan pergantungan yang terlampau kepada negara Barat yang sering menekan ekonomi umat Islam. Integrasi yang lebih di kalangan negara umat Islam perlu digerakkan semaksimum mungkin, supaya dasar ketamadunan dan modenisasi berlaku serentak di kalangan negara Islam. Perkara tersebut boleh dilihat dari kesan-kesan sejarah umat Islam yang lampau, bermula dari pembentukkan negara Islam Madinah sehinggalah kepada runtuhnya Empayar Islam pada tahun 1945. Ianya berpunca daripada dasar-dasar sekular yang diadaptasikan dari Barat yang dipelopori oleh Mustafa Kamal At-Tartuk.

Konklusi……..

Islam sama sekali tidak pernah menolak modenisasi. Tetapi apa yang tidak menepati ajaran Islam ialah mengenai konsep modenisme yang dipengaruhi oleh isme-isme yang ada di dalamnya sehingga menyebabkan berlakunya penolakan terhadap konsep agama dan kepercayaan tauhid sebagaimana yang dibawa oleh modenisme Barat.

Selagi mana aliran modenisasi membawa pembaharuan dan kemajuan terhadap agama dan umat Islam, maka selagi itulah Islam menerima konsep tersebut. Umat Islam juga ingin hidup maju untuk bersaing dengan agama dan bangsa lain dalam konsep survival di mana konsep pemodenan tersebut disesuaikan dengan ajaran Islam. Modenisme tunduk di bawah Islam dan bukannya Islam yang menurut atau tunduk di bawah kawalan modenisme. Jelasnya umat Islam perlu mempunyai suatu fikrah yang terangkum di dalam kata-kata :

“kita bukanlah orang yang hanyut dibawa arus ataupun berusaha meminggirkan arus, sebaliknya berusaha untuk memimpin arus tersebut”. dan “Kita tidak akan faham bila tidak diberitahu, dan tidak akan tahu jika tidak mengambil tahu”.

Sekiranya kedua-dua perkara di atas dihayati dan diteliti dengan makna yang mendalam, sudah pasti modenisasi yang dihayati dan diimpikan akan mampu terlaksana. Kekuatan inilah yang perlu dimanipulasi sepenuhnya dalam ruang lingkup pemikiran masyarakat Muslim. Mudah-mudahan sumbangan kecil ini mampu membuka dimensi baru dalam menyusun takhtit yang terancang untuk menatijahkan dunia modenisasi Islam yang sebenarnya.

Allhu a’lamu bi haqiqatil hal…

Wednesday, September 28, 2005

NALURI MANUSIA TIDAK MUNGKIN BERBOHONG
OLEH : Mat Teropong
Kategori : Berita

Kangar : Naluri manusia tidak akan dapat lari daripada kehendak roh iaitu kebenaran.Demikian yang dijelaskan oleh Ustaz Taib Azzamuddin kepada Peghelih La ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang dalam Utusan Malaysia keluaran 26hb September yang menggalakkan ibubapa supaya menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama.Menurut Timbalan Menteri itu lagi,walaupun sekolah kebangsaan turut mengajar subjek agama tetapi ianya tidak cukup dan tidak sama seperti sekolah agama.Datuk Seri Mohd Shariff berkata demikian dalam majlis perasmian sebuah sekolah agama di Tasik Gelugor , Pulau Pinang.

“Terima kasih kepada Datuk Seri atas kenyataan itu”,kata Ustaz Taib.Beliau menambah sepatutnya peminpin UMNO mengeluarkan lebih banyak lagi kenyataan seperti itu.

“Mereka tidak perlu berasa malu kerana memang naluri manusia akan balik kepada agama.Sampai bila mereka hendak menipu diri sendiri ?”,ujar beliau lagi.

Beliau yang ditemui selepas kuliah bulanan di sebuah surau di Kangar juga meminta penyokong PAS untuk mengambil kesempatan ini untuk terus mempertahankan sekolah agama rakyat yang mana semua telah sedia maklum yang ianya menjadi tempat kelahiran manusia-manusia yang berakhlak dan beriman kepada Allah.

Monday, September 26, 2005

SIDANG DUN PERLIS DIPENDEKKAN KERANA PIALA MALAYSIA
OLEH : BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam mencatatkan sejarah apabila bersidang sehingga ke pukul 2.00 pagi.Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Kedua DUN Perlis kali ke-11 itu sepatutnya bersidang daripada 6 September hingga 7 September tetapi dipendekkan menjadi dua sesi semalam.

Sidang DUN kali ini bermula dengan perasmian oleh DYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis pada waktu pagi dan disusuli dengan persidangan sesi pertama bemula pada pukul 3.00 petang.Menjelang akhir sesi pada pukul 6.00, Speaker DUN, Che Sulaiman Shapie mengumumkan penagguhan dewan dan satu usul dibawa oleh Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim agar sidang dewan disambung pada pukul 9.00 malam. Semua bersetuju sebulat suara.

Semasa sidang ditangguhkan pada sesi pertama, Ahli DUN dari PAS, Ustaz Hashim Jasin sedang berucap membahaskan usul menjunjug kasih ke atas titah ucapan Tuanku Pemangku Raja .Harakahdaily difahamkan sebab utama sidang diadakan selama sehari suntuk ialah Shahidan perlu mengiringi DYMM Tuanku Pemangku Raja ke Kuantan pada keesokan ke Kuantan pada keesokan harinya untuk menyaksikan perlawanan bolasepak suku akhir Piala Malaysia antara Perlis dan Pahang.

Mengulas perkara ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Haji Abdul Karim Mat Rejab menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku walaupun DUn Perlis hanya mempunyai 15 orang ahli.
"Sidang DUN adalah tempat untuk membincangkan masalah rakyat. Banyak perkara yang perlu disebut dan sidang yang pendek seperti ini tidak cukup masanya untuk berbuat demikian," katanya.

Sunday, September 25, 2005

ISA : Mahathir Lupa Akan Hakikat Sejarah
Oleh : Bashir Ishak
Kategori : Berita

Kangar : Tun Dr.Mahathir Mohammad telah lupa hakikat sejarah yang menjadi saksi akan kezaliman yang telah beliau hasilkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.Demikian yang dinyatakan oleh Ustaz Sidek Noor ketika diminta mengulas berkenaan ucapan beliau ketika dijemput SUHAKAM menjadi tetamu dalam majlis yang dianjurkan oleh SUHAKAM baru-baru ini.Beliau ditemui selepas kuliah bulanan di Perlis.

Beliau yang juga bekas tahanan ISA ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir juga memberitahu bahawa walaupun bersetuju dengan beberapa perkara didalam ucapan Tun Mahathir tetapi rekodnya sebagai pemimpin tidak melayakkan dia bercakap tentang hak asasi manusia.

Mungkin atas alasan ini beberapa orang diplomat asing keluar sebagai tanda protes ketika Tun Dr. Mahathir sedang memberikan ucapan.

“Saya sendiri ditahan selama empat tahun dibawah ISA tanpa perbicaraan.”,ujar beliau dengan nada kesal.Menurutnya lagi,ibunya meninggal ketika beliau masih dalam tahanan ISA

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Perak menasihatkan keluarga mangsa ISA supaya bersabar dan tidak merasa goyah dengan ujian yang mereka sedang hadapi ini.Beliau mengingatkan ahli keluarga tahanan ISA bahawa ketika ini adalah masa yang kritikal bagi mereka dan jangan berharap dengan apa yang Special Branch (SB) khabarkan kerana takut mereka akan kecewa.Menurut beliau berdasarkan pengalamannya antara tugas SB ialah memberikan harapan kepada tahanan dan mengecewakan mereka.

“Itu yang berlaku kepada saya”,katanya.

Beliau juga menyeru supaya kerajaan segera membebaskan kesemua tahanan ISA ataupun menghadapkan mereka semua ke mahkamah terbuka untuk diadili.
ADUN TITI TINGGI CUBA DIUGUT KERANA PROJEK
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, - "Saya mahu masuk mesyuarat JKKK pun takut, tetapi kalau tidak hadir orang kata wakil rakyat tak masuk kampung," demikian keluh seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.

Loh Yoon Foo (BN-Titi Tinggi) mendedahkan sifat sesetengah kontraktor terutamanya dari kelas F yang cuba mengugutnya untuk memperolehi projek.Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan Tuanku Pemangku Raja di dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Kedua DUN Perlis kali ke-11.

Di dalam ucapannya, Loh melihat kesan pemberian lesen kontraktor terutamanya kelas F di negeri Perlis yang terlalu banyak menyebabkan ramai dari kalangan mereka berebut untuk mendapat pelbagai projek.

"Kebanyakan dari golongan ini datangnya daripada kalangan mereka yang ada kaitan dengan politik. Mereka jumpa saya ajak pergi jumpa Menteri Besar utnuk sesuatu projek," katanya.Menurutnya lagi, kontraktor-kontraktor ini sangat berharap kepada projek yang disalurkan melalui wakil rakyat. Apabila tiada projek yang dapat diberikan, ada sesetengahnya memberikan ugutan kepadanya.

"Sudah empat penggal saya jadi wakil rakyat, tetapi kali ini baru wujudnya budaya sebegini hinggakan sayapun kena ugut," jelasnya.Beliau turut menyarankan agar pemberian sebarang projek kerajaan perlu dikembalikan kepada sistem lama iaitu secara undian untuk memberikan keadilan kepada kontraktor-kontraktor yang memasuki sesuatu tender.

Saturday, September 24, 2005

WARTAWAN KUTUK POK DAN KITA ?
Kiriman : Dukun Siber Bukit Keteri
Kategori : Surat Pembaca

Fikir dahulu sebelum cakap:

SELEPAS lama ‘menyepi’, suara Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kedengaran semula dengan idea kontroversinya apabila mencadangkan kerajaan menghalalkan penggunaan dadah sebagai satu cara mengatasi penyalahgunaannya. Kata Shahidan, cara itu mampu mengurangkan jumlah penagih dadah seperti dilaksanakan di China, apabila kerajaan negara itu membenarkan candu dijual kepada orang ramai.“Kerajaan China membenarkan candu dijual kepada orang ramai, tetapi dengan syarat hanya dijual di balai polis. Setiap hari penagih candu berbaris panjang untuk membeli candu.“Setiap hari juga orang ramai melihat pesta membeli candu dan dapat melihat siapa penagih dadah. Lama kelamaan jumlah penagih di negara itu berkurangan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri Perlis ke-11, Selasa lalu.

Katanya, cadangan itu pernah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat di Dewan Rakyat ketika menjadi Ahli Parlimen Arau, tetapi tidak mendapat reaksi.Itu yang menghairankan Tabib. Shahidan tahu cadangannya tidak mendapat reaksi Kerajaan Pusat. Bagi Tabib, tidak mendapat reaksi maknanya tidak diterima atau ditolak.Oleh itu, kenapa Sahidan masih mengulanginya. Sepatutnya jika satu cadangan kita tidak diterima, kita bagi pula cadangan baru dan bukan berulangkali mengulangi cadangan sama.Tabib bukan hendak mengkritik membabi buta dan Tabib sedar Shahidan garang orangnya, tetapi terus terang Tabib tidak nampak sebab lain kenapa Shahidan berbuat demikian, melainkan sekadar inginkan publisiti murahan.

Sebelum ini, memang banyak idea dan cadangan Shahidan menjadi kontroversi. Antaranya, melonggarkan syarat berpoligami dan mengajak lelaki yang ingin berpoligami ke Perlis serta melaksanakan perintah berkurung selepas jam 10 malam untuk remaja di bawah umur 16 tahun.Namun bagi Tabib, cadangan Shahidan kali ini supaya penggunaan dadah dihalalkan, benar-benar sukar diterima akal untuk dilaksanakan di Malaysia dan ia paling kontroversi berbanding cadangannya sebelum ini.Nyata bukan Tabib bersendirian menentang cadangan Shahidan kerana beberapa pihak yang diminta maklum balas mereka mengenainya turut menyuarakan rasa tidak setuju.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Idris Ibrahim, berkata Shahidan seharusnya membuat kajian mengenai penagihan dadah di negara ini sebelum mengeluarkan cadangan sedemikian.“Saya sedih kerana cadangan itu dikeluarkan seorang pemimpin Umno. Beliau seharusnya tahu dasar negara mengenai dadah dan tidak membabi buta mengeluarkan cadangan tanpa membuat kajian,” katanya.Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Norizan Sharif, pula berkata tidak semua langkah dilakukan negara luar mampu dilaksanakan di negara ini.“Sesuatu langkah yang diambil perlu melihat nilai dan budaya masyarakat. Tidak semestinya langkah itu berjaya di negara lain, bermakna ia turut berjaya di negara ini,” katanya.

Tabib tidak tahu adakah akan ada kenyataan lain daripada Shahidan selepas ini untuk memanjangkan isu ini atau ia akan senyap begitu saja.Cuma, Tabib berharap pada masa depan Shahidan akan berhati-hati dan berfikir lebih panjang sebelum mengeluarkan kenyataan.Bercakap memang senang, tetapi melaksanakan apa dicakapkan itu bukan mudah. Jika sekadar bercakap tetapi tiada pelaksanaan atau penguatkuasaan, lebih baik diam saja.Sebelum ini, Shahidan mewajibkan semua sekolah di Perlis menggunakan Bahasa Inggeris ketika berucap dalam perhimpunan pagi. Walaupun mendapat bantahan pecinta bahasa dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Shahidan tetap dengan pendiriannya.Tabib tidak kata arahan Shahidan tidak bagus, namun hasil risikan Tabib dengan rakan di Perlis, hanya beberapa kerat sekolah mempraktikkan arahan Shahidan kerana ramai murid ‘terlopong’ tak faham apabila guru mereka berucap menggunakan Bahasa Inggeris.

Ketika jerebu melanda Lembah Klang awal bulan lalu, Shahidan pantas mengeluarkan arahan supaya semua harga bilik hotel milik kerajaan negeri dikurangkan 10 peratus untuk memberi peluang warga kota ‘melarikan diri’ ke Perlis buat seketika.“Kami bukan mahu mengambil kesempatan atau meraih keuntungan, tetapi kasihan dan simpati dengan warga kota dan penduduk tempat lain yang terpaksa hidup dalam keadaan tidak selesa kerana jerebu. Datanglah beramai-ramai ke Perlis kerana kami menawarkan suasana nyaman, udara bersih dan sewa hotel murah,” kata Shahidan.Malangnya, hanya 24 jam selepas Shahidan mengeluarkan kenyataan itu, tiupan angin bertukar arah membawa jerebu ke utara, termasuk Perlis. Jadi, apa berlaku? Arahan tinggal arahan dan pelaksanaan entah ke mana. Itulah hasilnya jika tidak berfikir panjang sebelum bercakap.

(artikel ini dipetik dari ruangan tabib siber di harian metro)


Terima kasih kepada pengirim.

Menteri Besar Perlis yang baru Oktober ini?
Oleh Umno (lama) Perlis
Kategori : Penulis Jemputan


Maklumat yang diperolehi daripada seorang pemimpin yang amat rapat dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memberitahu saya bahawa Oktober ini akan berlaku satu rombakan kabinet yang melibatkan masa depan beberapa orang menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran kerajaan Pak Lah termasuk kedudukan beberapa orang menteri besar yang akan digugurkan. Saya tidak berminat untuk mendedahkan nama menteri dan timbalan menteri yang terlibat dalam rombakan ini kerana saya cuma ingin memfokuskan tentang rombakan yang melibatkan perhubungan negeri saya.Untuk makluman semua pembaca khususnya penduduk Perlis, kita bakal mendapat seorang menteri besar yang baru pada Oktober ini. Menteri besar sekarang, Datuk Seri Shahidan Kassim akan diberikan jawatan baru sebagai satu peralihan bagi orang politik yang akan bersara. Ini membawa erti Shahidan tidak akan sempat menduduki pejabat barunya di Mini Putrajaya Perlis (yang menempatkan kompleks pentadbiran kerajaan Perlis) kawasan yang berdekatan dengan Gua Cenderawasih disebabkan projek pembinaannya baru sahaja dimulakan dan beliau pula akan melepaskan jawatan MB.

Exco kanan kerajaan Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin telah lama melobi Pak Lah supaya melantiknya sebagai MB. Zahidi dikenali sebagai “anak emas” Pak Lah (kerana masih tetap menyokong Pak Lah walaupun Pak Lah pernah menjadi naib presiden tanpa memegang jawatan kabinet) sehinggalah kemunculan naib ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaludin yang telah merenggangkan hubungan rapat di antara Zahidi dan Pak Lah. Sehubungan dengan itu, Zahidi amat memusuhi dan berdendam dengan Khairy. Manakala Shahidan pula mengambil kesempatan permusuhan mereka berdua ini dengan merapatkan hubungannya dengan Khairy. Harapannya moga-moga hubungan strategik ini mampu mengekalkannya sebagai MB demi menjaga kepentingannya dalam Bintong Construction Sdn Bhd, Azhar Construction Sdn Bhd dan beberapa syarikat lagi yang merupakan syarikat nominee beliau bagi membolot keseluruhan projek pembangunan di negeri Perlis.

Sementara itu, hubungan Shahidan dan Zahidi masih keroh sehingga ke hari ini kerana Shahidan sentiasa dalam keadaan mencurigai Zahidi yang beliau rasakan menikamnya dari belakang. Zahidi pada peringkat awalnya tidak ada dalam senarai rombakan Exco kerajaan Perlis yang berlaku dalam tahun ini, tetapi akhirnya Shahidan terpaksa menyenaraikan namanya juga di atas arahan daripada Kuala Lumpur.Bagi penduduk Perlis, ramai sekarang sedang beranggapan bahawa Pak Lah akan melantik Zahidi bagi menggantikan Shahidan sebagai MB.

Walaubagaimanapun, menurut sumber saya yang amat rapat dengan Pak Lah, sebenarnya Pak Lah akan melantik Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan bukannya Zahidi.Sumber tersebut yang mahu dirahsiakan identitinya memberitahu saya bahawa alasan perlantikan Radzi adalah kerana Pak Lah amat mempercayai Radzi berbanding dengan yang lain. Saya turut diberitahu bahawa Pak Lah sebenarnya paling rapat dengan dua orang pemimpin Umno. Orangnya ialah Radzi sendiri dan Datuk Seri Adnan Yaakub di atas faktor Team B 1987. Dengan perkembangan ini, maka besar kemungkinan akan berlaku pilihan raya kecil di Perlis yang melibatkan Parlimen Kangar dan DUN Kayang. Ianya bagi membolehkan Radzi menjadi ADUN Kayang dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai MB Perlis yang baru.

Perlantikan Radzi dipercayai mampu mempertahankan pengaruh Pak Lah di kalangan ahli di peringkat akar umbi di Perlis. Sudah menjadi rahsia umum tentang perebutan pengaruh di antara Pak Lah dengan Datuk Seri Najib Razak (di belakangnya adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Hishamudin Hussein, Ku Li, Tan Sri Ananda Krishnan, dan Tan Sri Vincent Tan serta ramai lagi). Justeru, Pak Lah yang mahu membasmi rasuah memang sewajarnya meletakkan orang harapannya di Perlis. Selamat bertugas, Datuk Radzi!
ORANG MALAYSIA...APA NAK JADI?
Oleh : Mr Opposition
KATEGORI : PENULIS JEMPUTAN


Ramai pihak terutama daripada pihak berkuasa yang berkaitan dengan pembangunan padi negara telah mengesahkan tentang harga padi bakal menjunam ke suatu tahap yang akan membebankan lagi nasib beratus-ratus ribu keluarga pesawah padi di seluruh negara. Bahkan dikatakan kerajaan “mesra rakyat” akan mengumumkan penurunan harga padi tersebut dalam ucapan pembentangan bajet tahunan yang dijangka pada bulan September ini.

Selepas ini hujah dan alasan yang akan diserap ke pelusuk minda pesawah padi ialah keperluan kerajaan bagi menurunkan harga padi kerana menuruti perjanjian kawasan perdagangan bebas ASEAN (AFTA).Sebelum meraih hadiah besar daripada kerajaan dengan penurunan harga padi ini, pesawah padi telah dihadiahkan dengan kenaikan kos bagi racun rumpai dan baja tambahan serta barang keperluan harian yang tinggi.

Bayangkan betapa mesranya kerajaan yang ada pada hari ini yang sanggup menurunkan harga padi di saat semua harga barang keperluan naik mencanak termasuk petrol dan diesel. Ada lelucon yang popular yang mengaitkan BN sebagai “barang naik”.

Walaubagaimanapun, kerajaan ‘mesra rakyat’ yang ada sekarang tidak perlu berasa gusar dan resah tentang sebarang kemungkinan seperti rakyat Malaysia akan marah dan membantah sebarang usaha kenaikan harga barang dan penurunan harga padi kerana rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan terhadap kerajaan yang memerintah mereka lantaran kejayaan dasar ‘politics of fear’ ciptaan kerajaan yang ditanam sehingga begitu sebati di dalam minda majoriti rakyat Malaysia.

Kenapa “politics of fear” berjaya diterapkan di Malaysia? Ianya adalah disebabkan faktor sejarah purba negara yang berkarat di kalangan orang Malaysia khususnya Melayu. Budaya angguk-angguk, geleng-geleng, tunduk-tunduk, ikut tunjuk (meminjam lirik sebuah lagu popular sekarang) telah menjadikan Melayu menurut segala perintah . Sekarang budaya tesebut telah diambil alih oleh Melayu moden untuk menyembah pemimpin Umno yang korup dan zalim.

Lihatlah walau teruk mana sekalipun kehidupan mereka, walau harga barang melambung setinggi mana pun, namun Umno tetap menjadi pujaan mereka seolah-olah Melayu merupakan satu-satunya bangsa di dunia ini yang hidup dalam keadaan dirasuk oleh jampi serapah dan khurafat bahawa hanya Umno sahaja yang sentiasa menyenangkan hidup rakyat.

Bagaimana boleh dikatakan rakyat hidup senang sedangkan harga barang naik, biasiswa pengajian semakin pupus, pinjaman pengajian semakin dihadkan, beribu-ribu orang graduan saban tahun berjaya mendapatkan segulung ijazah kebanggaan keluarga tetapi terus menjadi bebanan keluarga akibat tiada peluang pekerjaan. Harga petrol yang baru sahaja naik akan naik lagi sebanyak 20 sen se liter. Manakala subsidi bagi diesel besar kemungkinan akan dihapuskan.

Keadaan negara amat parah kerana kadar pendapatan tidak berubah sedangkan kuasa beli rakyat semakin menurun akibat kenaikan harga barang. Strategi ekonomi kerajaan mesra rakyat untuk menggalakkan rakyat berbelanja akan terbantut disebabkan penurunan kuasa beli ini. Berapakah kadar inflansi sebenar sekarang? Adakah kadar empat peratus yang merupakan kadar rasmi semasa kerajaan ‘mesra rakyat’ itu boleh melambangkan sesuatu kadar yang realistik?

Kita berbalik semula kepada isu harga padi yang akan diturunkan oleh kerajaan mesra rakyat. Penulis ingin membawa para pembaca meneliti dengan serius senario tragis yang bakal dihadapi oleh beratus-ratus ribu keluarga pesawah padi di seluruh negara akibat penurunan harga padi yang menjadi lubuk rezeki mereka. Harga padi akan diturunkan melalui pengurangan subsidi padi oleh kerajaan mesra rakyat.

Dianggarkan kerajaan ‘mesra rakyat’ akan mengurangkan subsidi padi sebanyak RM 250 bagi setiap tan pengeluaran padi. Harga semasa bagi setan padi ialah RM 550 manakala subsidi padi adalah sebanyak RM 250 bagi setan padi yang menjadikan jumlahnya sebanyak RM 800. Jumlah ini bukan merupakan jumlah yang mutlak kerana ianya belum dipotong kadar padi basah dan hampas padi. Biasanya para pesawah padi akan memperolehi sebanyak RM 760 bagi setan padi.

Hasil pengeluaran padi yang biasa diraih oleh pesawah padi bagi 1 ekar sawah padi ialah sebanyak 4 tan padi. Jadi, bagi seorang pesawah padi yang mempunyai 1 ekar sawah padi akan mendapat hasil pendapatan sebanyak RM 3240 untuk enam bulan (kebanyakan sawah padi diusahakan dua kali setahun). Jumlah sebanyak itu hanyalah merupakan pendapatan kasar pesawah padi kerana kos mesin padi, traktor membajak, racun rumpai dan baja tambahan masih belum lagi ditolak.

Kebiasaannya, kos pelbagai itu adalah sebanyak RM 1300. Justeru, pendapatan bersih bagi seorang pesawah padi hanyalah sebanyak RM 1900 bagi menanggung kehidupan keluarganya selama enam bulan (RM 330 sebulan).Apa yang hendak dinyatakan di sini, bayangkan jika kerajaan mesra rakyat terus bertegas untuk menarik balik subsidi padi sebanyak RM 250 bagi setiap tan. Berapakah jumlah pendapatan yang bakal hilang dari saku poket pesawah padi? Hampir RM 1000!

Sekiranya keadaan sebegini berlaku, maka jalan pintas untuk pesawah padi hanyalah dengan memajakkan sawahnya kepada orang lain ataupun menjual tanah sawahnya dan kemudiannya membawa diri ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai jaga di bank. Betapa mesranya kerajaan kita!
Nah! Kepada siapa rakyat mahu menaruh harapan sekarang? Nak harapkan kerajaan mesra rakyat jauh sekali kerana mereka adalah penyebab perkara ini berlaku. Mereka boleh diibaratkan sebagai “harapkan pagar, pagar makan padi”.

Orang Malaysia...Apa nak jadi?
Satu Lagi Tapak Perjuangan Islam Dirasmikan Kangar:
Oleh Bashir Ishak
KATEGORI : BERITA

PAS kawasan Kangar telah berjaya mengembangkan sayapnya dengan penubuhan Markaz Tarbiyyah Cawangan Bintong Barat,Behor Janggus baru-baru ini.Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Hashim Jasin.Markaz yang didirikan dengan usaha penduduk kampung itu diharap akan menjadi tempat untuk membentuk sahsiah dan jatidiri ahli-ahli PAS di cawangan tersebut. Ustaz Hashim dalam kuliah maghribnya sempena majlis perasmian itu telah menyatakan rasa bangga beliau dengan usaha bersungguh-sungguh ahli-ahli PAS cawangan Bintong Barat dalam melakukan kebajikan.
Beliau juga menegaskan bukanlah kebajikan itu dikira atas dasar cantiknya ataupun besarnya sesebuah bangunan tetapi yang paling penting pengisiannya.Beliau memberikan contoh Masjid Quba yang telah didirikan oleh rasulullah ketika mula-mula sampai ke Madinah.Masjid itu bukanlah sebuah masjid yang cantik dan indah tetapi apabila ianya dibina atas dasar taqwa kepada Allah maka Allah akan memberkatinya.Tetapi realiti masyarakat sekarang ialah melihat sesuatu hanya kerana cantik,indah,mahal dan sebagainya dan bukan kerana Allah.
Akhirnya Ustaz Hashim juga mengingatkan ahli-ahli supaya tidak menyesal diatas apa yang telah mereka sumbangkan kepada perjuangan Islam kerana semuanya itu akan ditanya oleh Allah diakhirat nanti.Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan keranaNya.PAS Cawangan Bintong Barat diketuai oleh EncikIshar Saad yang juga bekas calon PAS untuk parlimen Kangar pada pilihanraya lepas.
MEMAHAMI MENTALITI ORANG YANG TAK MEMAHAMI
Oleh : Sang Lebah
Kategori : Penulis Jemputan

“Assalamualaikum warahmatullah,assalamualaikum warahmatullah”,.Alhamdulillah selesai saya menjalankan tanggungjawab saya dengan menyempurnakan sembahyang asar berjemaah.Pesan Tok Guru,malaikat yang mencatat amalan manusia akan bertukar “syif” pada waktu asar dan subuh setiap hari.Mereka akan mencatakan apa yang telah dilakukan oleh manusia pada waktu siang dan malam.Jadi pesan Tok Guru lagi pastikan jangan kita tertinggal sembahyang asar dan subuh berjemaah.

Selesai berdoa kamipun duduk sambil berbual-bual isu semasa.Seorang pakcik yang dikenali dengan ke"abid"annya telah memulakan bicara berkenaan Rafidah Aziz yang katanya teruk diserang kerana isu AP.Dengan penuh bersemangat dia menceritakan perkara itu kepada jemaah yang ada.”Wah teruk betul Rafidah kena serang pasal isu AP”,,katanya degan wajah yang tersenyum puas.Harapan dia untuk mendengar balasan yang positif hampa apabila saya mencelah”Itu depa saja nak kalih isu tu bukannya apa sangat tu”,Saya nampak mukanya sudah berubah.Frust agaknya.Saya menambah lagi”Pakcik tau pasal harga barang yang naik kerana harga minyak naik?Pasal masjid kat Terengganu kena roboh?”,dia diam lagi tapi kali ni dia menggeleng.

“Itulah,lain kali kena tengok dulu apa isu sebalik tu”,saya menyakat dia lagi.Sayapun menerangkan kepada dia pasal harga barang yang naik mendadak sekarang ini.Itulah isu nasional yang menghentam seluruh rakyat Malaysia bukan isu AP.Kalaulah AP itu dibahagikan kepada orang lain adakah ianya mempunyai perbezaan?Pastinya tidak kerana apabila Nasimuddin tak dapat maka orang lain yang sewaktu dengannya pula yang dapat jadi apa bezanya?Tidak akan terjadi MITI akan memberikan AP itu kepada setiap rakyat bawahan sebagai salah satu usaha untuk membanteras kemiskinan.Kalau ya pun MITI hendak membahagikannya ianya tidak akan cukup kerana jumlah AP tak sampai berjuta-juta.Hanya puluhan ribu sahaja.Saya teruskan agenda menyakat saya kepada pakcik tersebut.Saya Tanya lagi dia berapa AP yang dia akan dapat sekiranya AP itu tak diberikan kepada Nasimuddin.Dia senyap.

Saya meminta diri sejurus selepas itu kerana ada hal lain.Tidak berapa lama kemudian selepas menyelesaikan hal saya,saya berjumpa dengan seorang dari jemaah surau yang turut serta dalam diskusi sebentar tadi.Dia memberitahu saya yang pakcik tu tidak berhenti setakat itu sahaja.Selepas saya balik pakcik itu mengeluarkan hujahnya dengan mengatakan bahawa kemiskinan yang melanda kita adalah kerana iman kita lemah.Tambahnya lagi dia boleh membeli ketam dengan harga murah dan banyak.Aduh begitu konklusinya?Saya kurang faham apa maksud sebenar dia berkata demikian.Mungkin nak beritahu orang yang dia kuat iman jadi sebab tu dia tak miskin...Wallahua'lam.Terus saya terlintas tentang saidina Ali.Kesian Saidina Ali sebab mungkin iman baginda lemah maka baginda jadi miskin?Begitu juga dengan Abu Hurairah,Abu Dzar dan ahli suffah yang lain sebab kelemahan iman masing-masing kot maka hidup mereka jadi miskin dan susah?Sakitnya hati mendengarkannya apatah lagi ianya keluar dari mulut seorang yang sentiasa mengajak orang untuk sembahyang dan berbuat baik.
Memang begitulah sifat orang yang hanya tahu duduk beribadat sahaja (jadi abid) tanpa ada rasa keinginan untuk memerhatikan politik sekeliling.Banyaknya ibadat tidak ada makna kalau tidak disertakan dengan ilmu.Itu yang pasti!!!Dan saya pun mendapat satu penjelasan tentang satu perkara.Iaitu UMNO dan BN memang gembira dengan kehadiran orang sebegini di dalam Perlis ini.Senang dan menyenangkan untuk mereka terus memanipulasikan rakyat.
89 orang sertai PAS di DUN Kayang Perlis
Oleh BASHIR ISHAK
Kategori : Berita

KANGAR, 20 Ogos (Hrkh) - Sambutan dan sokongan terhadap PAS makin diterima apabila seramai 89 orang telah beramai-ramai menyertai PAS di cawangan Kota Kayang, di dalam DUN Kayang di sini baru-baru ini.Ketua PAS cawangannya, Ismail Kassim mewakili mereka dengan menyerahkan borang keahlian kepada Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dalam satu majlis ringkas sempena majlis ceramah penerangan bertempat di markas PAS cawangan tersebut.

Dalam ucapannya, Ustaz Hashim menyeru ahli-ahli PAS agar melihat kepentingan menjaga agama itu dipentingkan berbanding yang lain dan kerja yang dibuat hari ini adalah untuk kepentingan di akhirat.
"Kita perlu meletakkan agama di tempat tertinggi melebihi kepentingan yang lain dan inilah yang sedang kita perjuangkan di dalam PAS. Bagi orang yang masuk PAS kita tidak menjanjikan apa-apa ganjaran harta, " katanya.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Kangar, Hairy Hashim pula melihat senario ini sebagai satu kesedaran baru yang sedang berlaku di dalam negara ini khususnya di Perlis.
"Kita berharap satu gelombang perubahan akan berlaku khususnya di dalam DUN Kayang ini dan di Kawasan Kangar amnya, " jelasnya.

Turut berceramah dalam majlis yang sama ialah Setiausaha Penerangan Parti KeADILan Rakyat, Saifudin Nasution Ismail selaku penceramah utama.

Friday, September 23, 2005

UMNO BUKAN TEMPAT BAGI ORANG YANG MENGHARAPKAN KEBAIKAN
OLEH:NIKON
Kategori : Berita

UMNO bukan tempat bagi orang yang mengharapkan perubahan kepada kebaikan.Demikian ditegaskan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato’Seri Anwar Ibrahim didalam ceramah beliau di MADI baru-baru ini.Beliau juga menyeru kepada ahli-ahli UMNO supaya memperbaiki kesalahan lalu dengan menggantikan UMNO dengan BA.Ini adalah ceramah pertama beliau selepas beliau dibebaskan dari penjara.Dianggarkan kira-kira 8 ribu orang menghadiri ceramah ini.

Beliau memberikan perhimpunan agung UMNO baru-baru ini sebagai contoh tentang bagaimana UMNO tidak suka kepada kebaikan.Pada perhimpunan itu mereka hanya berbalah tentang AP,projek dan juga persoalan siapa yang patut dibodek supaya menyenangkan mereka dikemudian hari.Manakala persoalan tentang permasalahan rakyat dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa ada perbincangan yang serius.Inilah dasar UMNO dari dahulu.

Apa yang mereka berikan kepada rakyat tidak setimpal dengan apa yang diambil oleh mereka.Mereka menyediakan jalanraya tetapi rakyat kena membayar tol dan tol itu pula meningkat naik dari masa ke masa.Tetapi itulah yang selalu dilaungkan oleh mereka tentang pembangunan yang pada hakikatnya terpaksa dibayar dua kali oleh rakyat iaitu cukai untuk kerajaan dan kos kepada perkhidmatan yang disediakan.

Kenaikan harga barang kesan daripada kenaikan harga minyak contohnya adalah membebankan rakyat ditambah pula dengan kenaikan gaji yang sedikit dan ini memberikan ketidakseimbangan dalam ekonomi.Dan rakyat bawahanlah yang terpaksa menanggung akibat ini.Beliau menegaskan betapa pentingnya untuk rakyat mengundi B.A dalam pilihanraya akan datang supaya rakyat dapat menikmati pemerintahan dibawah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada mereka.
UMNO Gagal Dalam Menyelamatkan Ekonomi Melayu di Malaysia
OLEH:NIKON
Kategori : Berita

Kegagalan DEB ciptaan UMNO sepatutnya menjadi satu bench mark kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa UMNO telah gagal dalam menaik taraf ekonomi orang melayu.Demikian seperti yang telah dinyatakan oleh saudara Saifuddin Nasution dalam ceramah beliau sempena dengan majlis penerimaan seramai 89 orang ahli UMNO kedalam PAS di DUN Kayang baru-baru ini.Turut sama berceramah ialah pesuruhjaya PAS negeri Ustaz Hashim Jasin bersama Timbalan pesuruhjaya PAS negeri yang juga YDP kawasan Kangar saudara Hairy Hashim

Beliau mengukuhkan lagi dakwaan itu dengan mengutarakan permintaan UMNO untuk DEB diberi tempoh sehingga 15 tahun lagi.Dimanakah janji UMNO untuk menaikkan taraf ekonomi melayu melaui DEB mereka itu?Menurut beliau lagi DEB tidak akan berjaya selagi pengagihan kekayaan negara dilakukan secara tidak betul.

Beliau mengibaratkan UMNO sekarang seperti tuan sawah yang mempunyai kerbau dan kucing parsi yang mana kerbau (diibaratkan rakyat) itu diguna secara maksimum untuk membajak dan apabila padi mulai masak kerbau itu akan dipukul sekiranya ia cuba memakan padi itu.Manakala kucing parsi (diibaratkan kroni) yang hanya mempunyai bulu yang cantik tanpa membuat kerja adalah antara yang pertama dapat makan nasi dari beras atau padi tersebut.

Beliau juga menyentuh berkenaan sistem pendidikan sekarang yang tidak lagi menyediakan biasiswa kepada pelajar sedangkan dalam masa yang sama penagih dan pesakit AIDS mendapat subsidi dalam bentuk jarum dan kondom percuma yang berjumlah 150juta.Rakyat diminta jangan terlalu bergantung dengan subsisdi tetapi menteri-menteri hidup penuh dengan subsidi dari rakyat.

Dan akhirnya beliau mengajak rakyat sama-sama memikirkan tentang kenyataan ketua hakim negara yang menyatakan bahawa sistem perundangan Malaysia sedang menuju kearah penyatuan antara undang-undang syariah dan sivil dan undang-undang syariah akan berada dibawah undang-undang sivil.
Kenaikan harga Petrol Dan Diesel Igauan Untuk Semua
Oleh:Mat Teropong
Kategori : Berita

Padang Kota (Kangar):Kenaikan harga bahan bakar seperti yang diumumkan semalam oleh PM pastinya memberikan impak yang besar kepada rakyat bawahan.Demikian menurut Naib Ketua Pemuda PAS Pusat saudara Mazlan Aliman ketika menyampaikan ceramah berkenaan isu-isu semasa di sini semalam.Beliau memberitahu orang ramai yang hadir dalam ceramah tersebut bahawa kerajaan apabila menguar-uarkan tentang betapa mereka terpaksa menanggung subsidi berjumlah 1 bilion sebenarnya mendapat untung sebanyak 120 bilion kerana kenaikan harga minyak mentah dipasaran dunia.Inilah yang kerajaan tidak dedahkan kepada umum.

Menurutnya lagi,kerajaan juga tidak pernah menunjukkan akaun PETRONAS.Kemewahan sedang dikecapi oleh pemimpin manakala rakyat tertindas.Satu lagi perbandingan yang sengaja dicanangkan oleh pemerintah ialah mengenai perbandingan harga petrol di Malaysia dan negara-negara ASEAN lain sedangkan negara ASEAN lain bukanlah negara pengeluar minyak (kecuali Brunei).Begitulah rakyat diperkotak katikkan oleh kerajaan yang kononnya cemerlang,gemilang dan gemilang.Beliau juga kesal dengan sikap kerajaan yang pada masa mereka bercakap tentang perlunya menjimatkan tenaga kerana kenaikan harga bahan bakar ini,RTM pula dengan bangganya telah mengumumkan program TV 24jam yang difahamkan berjumlah RM30juta untuk perlaksanaannya sedangkan negara seperti Thailand apabila menghadapi krisis seperti ini kerajaannya telah mengurangkan jumlah siaran di negara mereka.Mengapa ini tidak dijadikan perbandingan oleh kerajaan kita?

Exco di Selangor telah diberikan kenaikan elaun sebanyak 10% sedangkan setinggan yang sentiasa menyokong BN telah dihalau dari kediaman mereka.Kesan dari semua ini akan membawa rakyat bawahan kepada masalah yang lebih menjerut.Kenaikan gaji (kalau ada) tak seberapa tetapi terpaksa bersaing pula dengan kenaikan harga barang keperluan yang melampau.Apabila sudah terpaksa bebelanja lebih untuk keperluan,maka tabungan akan berkurang ataupun tiada maka bagaimana rakyat akan mampu untuk menghantar anak-anak ke pusat-pusat pengajian tinggi.Inilah yang menyebabkan 120 ribu pelajar gagal untuk meneruskan pengajian mereka.Ini adalah petanda besar bahawa kerajaan sebenarnya tidak ada wang.

"Kerajaan Islam Hadhari di Indonesia oleh Suharto melalui Pancasilanya telah gagal" ujar beliau.Hinggakan di Indonesia ada perkampungan pelacur.Kerajaan Islam Hadhari di Malaysia menurutnya juga akan menemui kegagalan kerana kuasa yang ada pada Umno tidak digunakan untuk menghalang kerosakan moral muda-mudi.Ianya berbeza dengan kerajaan Kelantan yang memang benar-benar dan bersungguh-sungguh dalam menghalang maksiat dengan kuasa yang mereka miliki.
GEMPAR!!! PELAJAR CUBA BUNUH DIRI
OLEH : NIKON
Kategori : Berita

Kangar:Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini telah terjun dari tingkat dua bangunan sekolah dalam percubaannya untuk membunuh diri.Kejadian tersebut dikatakan berlaku ketika beberapa kumpulan pelajar sedang berehat-rehat di luar kelas.
Menurut sumber beliau dikatakan telah bertanya kepada kawan-kawannya tetang cara untuk membunuh diri.Kawan-kawan mereka secara berseloroh mencadangkan supaya dia terjun dari tingkat dimana mereka berada iaitu tingkat dua

Tanpa disangka-sangka pelajar tersebut telah naik ke atas benteng koridor dan menghulurkan kakinya keluar.Dia kemudiannya terjun ke bawah dan bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan yang tidak terlalu serius.
Pelajar berkenaan yang kemudiannya ditanya mengapa dia berbuat demikian menjelaskan bahawa dia mengalami tekanan perasaan.Dia juga memberitahu yang dia telah mengambil ubat ayahnya untuk mengatasi tekanan itu tetapi gagal.

Friday, September 16, 2005

PELIHARALAH ISLAM ……demi kejayaan hidup
(Oleh: Us. Ahmad Adnan Fadzil)
Kategori : Fikrah Pimpinan

Setiap dari kita menginginkan kejayaan dalam hidup. Kita amat bimbang jika kita ditakdirkan gagal oleh Allah. Namun harus kita sedari bahawa kejayaan mempunyai faktor-faktor yang menjurus kearahnya. Apakah faktor kejayaan yang paling utama dalam kehidupan manusia?

Sebagai seorang muslim, kita harus meyakini bahawa faktor asas kejayaan ialah agama iaitu Islam. Apabila seseorang itu menganut Islam dan berpegang-teguh dengannya, maka ia memiliki asas paling utama untuk berjaya. Kejayaan yang kita impikan bukanlah kejayaan setakat di dunia ini sahaja, tetapi juga kejayaan di alam akhirat yang kekal abadi. Lantaran pentingnya Islam inilah maka Allah mengutuskan para Rasul di mana mereka tidak datang melainkan dengan membawa agama yang satu iaitu Islam.

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah untuk menjadi pegangan dan tatacara kehidupan manusia. Agama yang lain dari Islam jika dianuti manusia, nescaya ia tidak akan mencapai keredhaan Allah dan kehidupannya di dunia dan di akhirat akan berada di dalam kancah kerugian dan kemusnahan.
“Sesungguhnya ad-Deen (yakni agama yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam“. (Ali-Imran:19)“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”.

Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. meletakkan factor kejayaan manusia kepada tiga perkara;

1.Islam
2.Rezki yang mencukupi (yang boleh difahami sebagai kemajuan material/kebendaan)
3.Sifat qana’ah (redha dengan pemberian Allah kepadanya)

Hadis yang kita maksudkan itu berbunyi;

قد أفلح من أسلم و رزق كفافا و قنعه الله بما آتاه
“Sesungguhnya berjayalah orang yang Islam dan dikurniakan rezki yang cukup serta diberikan sifat qana’ah oleh Allah dengan apa yang dikurniakan kepadanya”. (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. tidak menafikan peranan material atau harta-benda (yang diungkapkan dengan kalimah rezki) sebagai salah satu factor kejayaan dan kebahagiaan manusia. Namun baginda meletakkan Islam adalah syarat kejayaan paling atas atau paling utama. Kemajuan material atau kebendaan jika tidak bertunjangkan Islam, nescaya kemajuan tersebut akan mendatangkan lebih banyak mudarat kepada manusia dari mendatangkan manfaat.

Mungkin di kalangan kita akan berkata; bagaimana dikatakan Islam merupakan syarat kejayaan paling utama, sedangkan negara-negara maju hari ini (Amerika, Jepun, Britain dan sebagainya) tidak pun menganut agama Islam dan mereka telah mencapai kejayaan?.

Memang benar negara-negara yang dikatakan maju itu telah berjaya dari sudut ekonomi dan material, namun adakah mereka benar-benar mengecapi kejayaan hidup yang sebenarnya? Kejayaan dalam erti-kata yang sebenarnya bukanlah hanya kejayaan dari satu sudut (iaitu ekonomi atau material), tetapi kejayaan dari pelbagai sudut kehidupan manusia merangkumi rohani, kejiwaan (saikologi), akhlak/etika, hubungan social, kekeluargaan dan sebagainya. Tidak guna harta kita banyak dan ekonomi kita kukuh tetapi masyarakat kita porak-peranda lantaran dari berlakunya keruntuhan rohani dan akhlak, musnahnya institusi keluarga dan berleluasanya gejala jenayah dalam negara. Namun inilah yang telah terjadi dalam masyarakat dunia hari ini terutamanya di negara-negara maju.

Menurut seorang ulama’ dan ahli fakir Islam terkenal Dr. Yusof al-Qardawi dalam satu bukunya “Islam dan Tamadun hari esok”; “Tamadun moden hari ini telah melahirkan beberapa akibat negative –hasil sikapnya yang meminggirkan agama- di mana kecelakaan dan kepahitan darinya tidak putus-putus dirasai oleh manusia zaman ini. Kesan-kesan negative tersebut ialah berlakunya;

1. Keruntuhan akhlak
2. Krisis rumah-tangga (keluarga)
3. Keresahan jiwa (saikologi)
4. Kecelaruan akal fikiran
5. Jenayah yang berleluasa.

Kesan-kesan negative di atas tidak perlu kita buktikan lagi kerana ia juga sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Jika kita renung dan kita tilik sedalam-dalamnya, semua kesan negative itu berpunca dari sikap manusia hari ini yang meminggirkan agama dan memandang mudah kewajipan-kewajipan dalam agama. Mereka merasakan cukuplah dengan duit yang banyak dan ekonomi yang kukuh untuk mencapai kebahagiaan. Namun jangkaan mereka itu meleset sama sekali. Kebahagiaan yang sebenar adalah mustahil untuk dicapai tanpa agama/Islam.


Inilah yang diperingatkan Allah kepada kita;

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (Thaha:124).

“Peringatan Allah” yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah perintah Allah iaitu apa yang terkandung di dalam ajaran Islam itu sendiri kerana Islam adalah satu-satunya agama dari Allah yang diutuskan para Rasul membawanya.

Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya “Tafsir al-Quran al-‘Aziem” ketika mentafsirkan ayat di atas; “Ma’isyatan Dhanka (Penghidupan yang sempit)” itu ialah merasai kesempitan di dunia di mana orang yang berpaling dari peringatan Allah itu ia tidak akan mencapai ketenangan jiwa dan tidak akan merasai kelapangan dada. Bahkan dadanya akan sentiasa merasa sempit dan resah walaupun zahir hidupnya mewah; walaupun ia dapat memakai pakaian yang disukainya, memakan makanan yang disukainya dan tinggal di rumah-rumah yang disukainya. Akan tetapi oleh kerana di dalam hatinya tidak ada keyakinan kepada Allah dan tidak ada hidayah/petunjuk maka ia akan terus berada di dalam jiwa yang resah, fikiran yang bercelaru dan sentiasa terumbang-ambing. Inilah yang dimaksudkan kehidupan yang sempit oleh ayat tadi”.

Sekian, wassalam.

(Ustaz Adnan Fadzil ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis)