Sama seperti mana manusia memusnah ekosistem alam ini, manusia juga dalam banyak hal memusnahkan sistem keadilan dalam kehidupan sesama manusia. Seperti rosaknya alam; sungai, ozon, laut, bukit-bukau dan pelbagai lagi sehingga dunia ini rosak lalu memberi mudarat kepada kehidupan manusia, demikian juga manusia memusnah keadilan, kedamaian hidup, simpati dan rahmat yang akhirnya memusnah ketenteraman hidup sesama manusia. Lalu manusia bertanya:
Allah Maha Adil Lagi Maha Bijaksana. Sekalipun Dia Maha Tahu tentang dosa-dosa manusia, tetapi di akhirat kelak manusia tetap akan dibicarakan di mahkamah agung Allah yang bertempat di Padang Mahsyar. Setiap manusia akan ditimbang dosa dan pahalanya sebelum dihukum.
Seperti firman Allah: (maksudnya) Maka Sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan Sesungguhnya Kami akan menyoal juga rasul-rasul itu. Kemudian Sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (para rasul dan umat mereka), dengan ilmu (berdasarkan pengetahuan yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami (Allah) tidak sekali-kali ghaib (maksudnya sentiasa mengetahui akan hal ehwal mereka).
Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya). (Surah al-‘Araf ayat 6-9).
Jelas, Allah Maha Mengetahui segala perbuatan manusia, pun begitu diwujudkan sistem yang menunjukkan keadilan-Nya dengan ditimbang amalan manusia; baik dan buruk barulah dijatuhkan hukuman syurga atau neraka. Padahal jika Allah tidak membuat timbangan sekalipun, keputusan Allah tidak mungkin akan silap, kerana Dia Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Ilmu Allah meliputi segalanya, namun demi menunjukkan keadilan, agar hamba-hamba-Nya tidak mempunyai sebarang alasan atau tidak puas hati apabila dihukum, diwujud sistem keadilan perbicaraan dan timbangan dosa.
Jika Allah tidak mewujudkan mahkamah perbicaraan di Hari Kiamat, adakah sesiapa yang boleh membantah Allah? Adakah sesiapa yang boleh menyatakan Allah tersilap dalam hukuman-Nya? Adakah sesiapa boleh menggugat kuasa Allah, seperti manusia menggugat kuasa pemerintah di dunia menerusi pemberontakan atau pilihan raya? Sama sekali tidak! Maha Suci Allah, tiada siapa yang dapat mencabar kebesaran kerajaan-Nya. Pun begitu diwujudkan sistem perbicaraan yang maha adil di mahkamah-Nya. Jika demikianlah Allah, apakah boleh di dunia ini manusia dihukum tanpa dibicara secara adil dan saksama?
Apakah wajar mana-mana peruntukan akta yang membenarkan seseorang dihukum dengan suatu hukuman tanpa diberi peluang membela diri? Mungkin seseorang boleh dikurung untuk sementara waktu siasatan, tetapi keadilan menyatakan dia wajib dibicarakan sebelum dihukum agar dia memahami apakah dosanya.
Jika manusia dihukum tanpa diberi peluang membela diri, maka jadilah macam peristiwa pembunuhan di Kuala Perlis baru-baru ini. Apabila mangsa dituduh mengintip seorang gadis, lalu diheret keluar dari rumahnya, dipukul beramai-ramai sehingga mati. Isterinya yang masih dalam pantang juga dipukul. Khabarnya, kemudian mereka sedar bahawa mereka tersilap orang.
Jika ada peruntukan undang-undang atau akta yang membolehkan manusia dihukum tanpa dibicara, maka ia adalah akta atau perundangan yang jelek. Sabda Nabi s.a.w “Bukti wajib (diberikan) oleh yang mendakwa, dan sumpah pula bagi yang membantah” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Justeru, jika ada akta dan undang-undang yang seperti ini, maka Majlis Fatwa patutlah bersidang dan membincangkan pandangan Islam mengenainya; secara adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Itulah peranan fatwa yang berkongsi dengan keperluan rakyat. Jika tidak, kita akan terpinggir dari arus masyarakat yang mahu kejujuran dan ketulusan dalam pandangan agama.
Dalam dunia terbuka pula, manusia akan dihukum disebabkan tuduhan yang tidak berasaskan bukti. Seseorang akan ditohmah, atau ditempelkan label yang buruk hanya kerana tuduhan tanpa perbicaraan atau alasan. Mungkin tidak dipenjara atau dibunuh, tetapi akan dihukum dalam masyarakat terbuka atas tuduhan yang dibuat oleh orang lain kepadanya.
Mungkin ada yang akan pandang sinis, atau menolaknya, atau mempertikaikannya. Kadang-kala kesan hukuman masyarakat itu lebih perit dari sebatan atau penjara. Dalam dunia Internet, ramai yang menjadi mangsa tuduhan tanpa bukti atau ruang membela diri. Dalam politik juga demikian. Pelbagai label akan dilekatkan. Dalam dunia agama pun lebih kurang sama, bahkan kadang kala ‘lebih kuat syaitan berperanan menghasut’.
Sejak dahulu, jika ada pihak yang cuba membuat pembaharuan dalam memajukan pemikiran golongan agama dan umat Islam, pelbagai tohmahan dilontarkan. Mereka dituduh ‘kaum muda’. Maka menjadi mangsa ketika itu Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Muhammad Tahir Jalaludin, Burhanudin al-Helmi, Za‘ba, Mustafa ‘Abdul Rahman dan lain-lain lagi. Sehingga tokoh besar seperti Buya Hamka dari Indonesia dilarang masuk ke Johor atas tuduhan yang sama. Hanya kerana ada kelompok yang hasad dan ingin menjaga kepentingan diri.
Hari ini jika anda berbicara tentang keterbukaan pemikiran, keluasan menerima pendapat, kembali kepada nas-nas Islam yang asal maka anda sekali lagi akan dituduh kaum muda, atau Wahabi atau liberal. Walaupun anda tidak tahu apa itu Wahabi atau liberal dan apa itu kaum muda. Tuduhan itu tidak memerlukan bukti atau alasan, cukuplah untuk dijadikan tuduhan kerana hanya pendapat anda berbeza. Tuduhan tanpa bukti atau peluang pembelaan diri adalah kezaliman. Ia selalu dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepentingan.
Juga boleh melunakkan hati golongan mualaf yang sudah menganut Islam dan keluarga mereka yang belum menganut Islam menerusi wang zakat. Mana perginya wang zakat yang ratusan juta dikutip saban tahun? Janganlah kita sempitkan konsep mualaf setakat yang baru menganut Islam sahaja. Luaskan kejumudan kita kepada nas-nas Islam yang lebih luas.





