Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, March 01, 2008

Mufti Perlis ingatkan pengundi pilih pemimpin yang beriman

KANGAR, 28 Feb (Hrkh) - Sempena pilihan raya umum 8 Mac ini, Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru umat Islam memilih pemimpin yang mempunyai kewibawaan, kemampuan untuk melaksanakan tanggung jawab kepimpinan dan seorang yang menunaikan solat.

Dalam khutbahnya di Masjid Alwi Jumaat lalu, beliau mengingatkan dalam pemilihan menentukan kepimpinan, seseorang hendaklah tahu bahawasanya, pemilihan yang akan dilakukan olehnya mempunyai kaitan dengan nilai perasaan roh dan jiwa.

Kerana seorang insan yang soleh akan mencari rakan yang soleh, dan seorang yang tidak soleh akan mencari orang yang tidak soleh.

Jika wajahnya tidak kelihatan di masjid, bukan orang yang menghadiri solat berjemaah bersama makmum, tidak ruku’ bersama orang-orang yang ruku’, tidak dikenali sebagai ahli solat, orang yang mendekatkan diri dengan Allah, maka dia tidak layak menjadi kepimpinan Umat Islam. Hendaklah pemimpin umat Islam, pemimpin yang mendirikan solat, katanya.

"Allah s.w.t memerintah kamu supaya kamu menunaikan amanah, kamu memberikan amanah kepada ahlinya yakni kepada sesiapa yang layak dan memerintahkan kamu agar apabila kamu berhukum, menjatuhkan hukuman di kalangan manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil. Allah memberi kurniaNya dengan Dia menasihatkan kamu sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mendengar lagi mengetahui," katanya memetik ayat AlQuran dari Surah AN-Nisa' ayat 58.

Memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim katanya, "sesungguhnya roh, roh insan, roh kita ini, berbagai-bagai jenis. Apa yang dia kenal di antara satu sama lain, maka dia akan cenderung kepadanya. Apa yang dia tidak kenal, maka dia akan berselisih pendapat. Roh orang-orang yang beriman akan cenderung kepada orang-orang beriman. Roh orang-orang yang fasik akan cenderung kepada orang-orang yang fasik. Roh orang-orang yang ingin kebaikan akan cenderung kepada orang yang inginkan kebaikan. Roh orang-orang yang inginkan kejahatan, akan cenderung kepada orang-orang yg inginkan kejahatan.

Justeru beliau mengingatkan seorang yang ingin dipilih sebagai pemimpin itu haruslah seorang yang sentiasa dilihat bersama-sama mendirikan solat berjemaah.

"Sesungguhnya yang menjadi pemimpin kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang menunaikan solat, yang mengeluarkan zakat, dan mereka itu rukuk bersama dengan orang-orang yang rukuk," ujarnya memetik sepotong ayat al-Quran dalam surah Al Maidah.

Tambahnya, tidak boleh seorang pemimpin itu hanya hadir ke masjid untuk tujuan tertentu sahaja.

"Apabila pemimpin tidak kelihatan wajahnya di masjid, hanya wajahnya menjelang apabila ditampal posternya atau menjelang penamaan pemilihan namanya, maka dia bukan pemimpin orang-orang yang beriman. Mestilah rukuk bersama orang-orang yang rukuk. Kelihatan pada solat fajar bersama jemaah, kelihatan pada solat isyak bersama jemaah, mempunyai kaitan perasaan dengan masjid, bukan hanya hadir ke masjid apabila ada program rasmi sahaja, menunaikan zakat, membelanjakan harta untuk perjuangan pada jalan Allah, membelanjakan harta untuk kebaikan umat Islam.

"Ramai orang boleh membelanjakan ribuan, ratusan ribu hartanya untuk politiknya. Tak ramai yang boleh membelanjakan hartanya semata-mata kerana Allah Azza Wajalla, untuk kepentingan agama, tanpa dicampur-adukkan dengan kepentingan diri. Jika ciri itu dimiliki dia adalah pemimpin orang beriman," ujarnya.

Beliau turut memberikan peringatan bahawa seorang pemimpin juga perlu terdiri dari kalangan orang yang berilmu.

"Hendaklah kamu faqih mempelajari agama, mempelajari hukum-hakam, mempelajari ilmu sebelum kamu dilantik menjadi pemerintah. Tidak boleh orang jahil menjadi pemerintah, tidak boleh orang jahil menjadi pemimpin. Mestilah kita umat Islam pandai dalam membuat pemilihan.

"Sesiapa yang selalu menghadirkan diri dalam pengajian di masjid dan mendengar pengajian yang benar, mendekatkan diri kepada Allah, dia layak menjadi pemimpin kita kerana dia telah menjadikan dirinya memahami agama. Bukan sekadar menganjurkan majlis agama tetapi dia mesti memahami agama, mesti memahami syariat Allah, mesti memahami hukum-hakam syarak, hadir memahami agama. Jangan akhirnya dia bercakap sesuatu yang bercanggah dengan agama.

"Maka jika dia tahu agama, zahir pada dirinya ciri-ciri kesolehan dan dari segi penampilannya, tanda-tanda orang yang tunduk dan ruku’ kepada Allah, pakaiannya, pakaiannya anak isterinya melambangkan dia faham hukum-hakam Allah. Maka jika itu berlaku, itulah yang disebut oleh Allah s.w.t, yang disebut Rasulullah s.a.w yang ditegaskan oleh Khulafa Ar-Rasyidin," serunya sambil memetik hadis dar Umar Ibnu Al Khattab r.a yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Dr Mohd Asri sekali lagi mengingatkan pemilihan pemimpin harus berlandaskan akal dan iman.

"Mimbar ini tidak berkempen untuk sesiapa, bukan kepentingan kita untuk berkempen, kita menyeru umat Islam menggunakan akal dan imannya, apabila mereka menentukan kepimpinan untuk dirinya. Janganlah ketaksuban kepada puak golongan parti menyebabkan kita membutakan mata dalam menentukan keputusan yang diredhai oleh Allah dan Rasulullah s.a.w.

"Allah s.w.t menyebut dalam al-Quran, Jadilah orang-orang yang menegakkan kebenaran, saksi yang adil kerana Allah, janganlah kamu jadikan kebencianmu kepada sesuatu puak menyebabkan kamu tidak adil. Adillah, sesungguhnya adil itu dekat kepada taqwa. Takutlah kamu akan Allah, sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui apa yang kamu lakukan.

"Marilah kita bertaqwa, beristikharah kepada Allah di dalam memilih sesiapa sahaja di kalangan kita supaya pemilihan itu mendapat keredhaan dari Allah," serunya lagi.

No comments: