Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, November 08, 2006

Taksub pemimpin dasar perjuangan Umno - Ustaz Idris


Petikan Harakahdaily
BESERI , 3 Nov - Budaya taksub kepada pemimpin menjadi dasar dalam perjuangan Umno sehinggakan mereka sanggup mengetepikan kebenaran dalam sesuatu isu, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Ini terbukti apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikecam teruk oleh ahli dan pimpinan Umno apabila beliau mengkritik kepimpinan kerajaan yang diterajui Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kita bersetuju dengan isu yang dibangkitkan oleh Mahathir dan memang diakui oleh pelbagai pihak akan kebenarannya kerana ia bermula pada era pemerintahan beliau dan kini disambung oleh Abdullah," kata Idris.

Beliau menyatakan bahawa isu seperti Malaysia negara polis, politik wang dalam Umno serta kelemahan pentadbiran yang cuba dinafikan oleh sesetengah pihak adalah kenyataan.

"Yang jelas, sesetengah kenyataan khususnya daripada pimpinan Umno itu lebih bersifat mengampu dan boleh dipertikaikan. Mereka memang sukar untuk menerima kebenaran apabila sesuatu isu membabitkan pemimpin mereka," katanya lagi.

Mengulas isu terbaru berkaitan Adun Pelabuhan Klang, Dato' Zakaria Md Deros, beliau berkata ia menunjukkan bukti jelas budaya Umno yang tidak mahu berpihak kepada kebenaran apabila pimpinan Umno Klang bangkit mempertahankan ketua mereka itu.

"Walaupun terbukti dia melakukan kesalahan dengan melanggar undang-undang Majlis Perbandaran Klang (MPK), masih ada yang berdiri di belakangnya.

"Ini jelas mereka membelakangi kebenaran. Mereka amalkan politik hantu raya. Siapa yang boleh bagi makan orang itulah yang mereka jaga," katanya.

Katanya lagi, hal yang sama berlaku kepada Tun Mahathir dan apabila beliau sudah tidak berkuasa, orang sudah tidak pedulikannya walhal dahulunya dia disanjung tinggi.

"Abdullah juga harus beringat, nasib yang sama boleh menimpa beliau pada masa depan apabila sudah tidak berkuasa," jelasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Idris turut melihat kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib baru-baru ini sebagai membuka lagi pekung kelemahan Umno.

Muhamamad dipetik berkata bahawa pihak tertentu diminta agar tidak mengambil kesempatan dalam isu Dato' Zakaria Md Deros ini untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

Kata Muhammad lagi, terdapat 400 kilang haram, kebun haram, karaoke haram di dalam kawasan MPK tetapi isu itu tidak dibangkitkan.

Muhammad melihat kes Zakaria ini seolah-olah mahu menunjukkan kelemahan pemimpin Melayu. Kata Ustaz Idris, kenyataan Muhammad ini jelas membuktikan kelemahan kepimpinan Umno dalam pentadbiran kerajaan selama ini.

"Selama ini yang berkuasa bukanlah PAS ataupun DAP, tetapi Umno yang menerajui kerajaan di negara ini. Kalau sudah ada isu yang tidak diambil tindakan, ini jelas menunujukkan kelemahan mereka," tegasnya.

Ustaz Idris ditemui selepas menyampaikan kuliah maghribnya di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini baru-baru ini.

No comments: