Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Friday, November 17, 2006

Isu rasuah dalam Umno - Ezam selar Najib

Petikan Harakahdaily
PADANG BESAR, 14 Nov - Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa rasuah politik di dalam Umno adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Disiplin dan Umno sendiri adalah membelakangi prinsip undang-undang negara.

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (GERAK), Ezam Mohd Noor berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Najib baru-baru ini. Dalam kenyataannya, Najib turut menyebut jika ada rasuah dan salah guna kuasa yang membabitkan pelanggaran undang-undang negara maka Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh masuk masuk menyiasat.

Ezam menegaskan bahawa dalam undang-undang negara, BPR seharusnya diberikan kuasa penuh untuk menyiasat sebarang perlakuan rasuah.

"Apatah lagi, kes-kes yang membabitkan penjawat awam. Ramai di kalangan pemimpin Umno juga adalah penjawat awam. Contohnya dulu Tan Sri Isa Samad, beliau juga pemimpin Umno yang menjadi penjawat awam," katanya.

Menurut Ezam lagi, dalam kes Isa Samad dulu, beliau telah dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Umno tetapi belum dikenakan sebarang tindakan undang-undang mengikut undang-undang negara.

"Seharusnya kes ini telah dibawa oleh BPR ke muka pengadilan kerana jelas beliau terlibat dalam politik wang atau rasuah," jelasnya.

Kata Ezam, kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Najib ini memang jelas tidak menurut prinsip asas undang-undang negara dan pemimpin Umno yang mengeluarkan kenyataan sedemikian perlu didakwa.

"Peguam Negara perlu menyediakan kertas pendakwaan untuk mendakwa siapa sahaja termasuk pemimpin Umno dan pemimpin kerajaan yang mengeluarkan kenyataan yang melanggari prinsip undang-undang negara," katanya lagi.
Ezam ditemui selepas menyampaikan ceramah anjuran Keadilan Perlis di Markas PAS Guar Jentik dekat sini malam tadi

No comments: