KANGAR - Pelantikan bekas Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dilihat sebagai usaha untuk menyatupadukan Umno Perlis yang berpecah kepada beberapa kem sejak Pilihanraya Umum ke 12 (PRU 12) lalu.
Menurut Pengarah Perhubungan Awam PAS Perlis, Hairy Hashim, pelantikan Shahidan sebagai gandingan dengan Menteri Besar, Dato' Seri Md Isa Sabu sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dilihat tidak akan menyelesaikan kemelut kepimpinan yang dihadapi Umno Perlis.
"Secara umumnya, pelantikan Shahidan ini tidak akan berjaya mengembalikan kestabilan di dalam Umno Perlis memandangkan kesan luka akibat perebutan jawatan Menteri Besar Perlis selepas PRU 12 itu sendiri masih dirasai khususnya di kem Shahidan sendiri," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar.
Mengulas lanjut, beliau menganggap komen yang dibuat Shahidan baru-baru ini tentang gandingannya dengan Md Isa adalah suatu tuduhan yang berat dan jelas membuktikan ketidakserasian di antara kedua-dua orang pemimpin tersebut.
"Manakan tidak, Shahidan menuduh Md Isa tidak menepati Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis. Tidak cukup dengan itu, beliau juga menganggap Md Isa sebagai 'perampas' jawatannya sebelum ini.
"Umum mengetahui, Shahidan terus menjadikan Md Isa dan konco-konconya sebagai sasaran serangan beliau terutamanya ketika sidang Dewan Undangan Negeri Perlis. Ini sudah jelas membuktikan Umno Perlis memang berpuak-puak dan berusaha untuk saling menjatuhkan sesama sendiri," jelasnya
Untuk itu, Hairy meminta rakyat Perlis membuat penilaian tentang Umno yang dilihat sebagai parti yang hanya meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan rakyat.
"Kita tak mahu campur urusan dalaman Umno Perlis, tapi biarlah rakyat sendiri yang membuat penilaian bagaimana Umno sebagai parti peneraju kerajaan yang boleh diibaratkan sebuah kapal yang menunggu masa untuk karam,"ujarnya lagi.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment