Apa pun keputusan perundangan yang akan di buat di Perak – moral BN dan UMNO terus tercalar. Mungkin perlu digariskan kepada UMNO apa erti menang sorak. Sungguhpun kita tidak boleh menyalahkan UMNO dalam isu lompat parti dan mengambil alih kerajaan Perak kerana Pakatan rakyat juga akan membuat yang sama sekiranya ada peluang tetapi dalam keadaan dan senario yang ada UMNO sering tertinggal dalam menerangkan dan sekiranya ada justifikasi ia sentiasa di tolak dan tidak di terima. Yang lebih mengharukan lagi – apa sahaja di beritakan dan di khabarkan oleh UMNO, sering di tolak biar ia betul dan berjustifikasi. Ini adalah satu keadaan yang agak membimbangkan.
Penerimaan rakyat semakin terkikis dan walaupun berat untuk kita berkata – kita terpaksa menyatakan yang sebenarnya - bahawa sehingga ke hari ini – kepimpinan UMNO di lapisan pelaksana masih tidak mengerti apa masalah yang sebenarnya dan sekiranya tahu – cara untuk mengambil tindakan masih kabur dan tidak menentu.
Kesimpulan yang dibuat untuk mengatakan bahawa – mereka, pegawai dalam UMNO masih kabur dalam melihat keadaan sebenar – atau masih teraba-raba cara untuk mengatasinya bukan satu kesimpulan yang di buat secara melulu. Ini adalah berdasarkan pengamatan dan setelah menghadiri beberapa pertemuan dalam membincangkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan media khususnya Internet. Kita gagal melihat secara spesifik cara dan bagaimana pihak lawan dapat memanipulasi media ini untuk menjayakan agenda mereka. Keadaan yang ada hari ini amat merunsingkan. Usaha reformasi dalam UMNO masih di pandang remeh dan keadaan ini semakin kritikal. UMNO perlu sedar bahawa peralihan untuk perubahan perlu dibuat secara serius – melihat pada mereka yang benar-benar tahu dan tidak hanya berbincang dengan pakar-pakar politik yang bersandarkan buku-buku kajian tanpa mahu turun padang dan mengetahui senario semasa. Suara-suara kecil rakyat akan bergabung menjadi suara besar. Desas desus dan khabar angin akan dijadikan gelombang kebenaran dan akhirnya menjadi buah mulut yang semakin di percayai orang. Ahli UMNO perlu disedarkan – bahawa masa untuk mereka semakin singkat sekiranya mereka masih berdiri di situ dan tidak berganjak untuk bertindak mengubah langkah agar dapat di terima semula.
UMNO tidak mampu bersandar kepada kekuatan silam – legasi lama dan angan-angan harapan untuk mengabung sokongan Melayu tanpa ada usaha kolektif ke arah itu. UMNO kena bertindak terlebih dahulu – membuktikan mereka sudah sedia untuk berubah. Kepimpinan Bahagian perlu bertindak secara proaktif dan tidak pasif dalam berdepan dengan rakyat. Langkah menyelami masalah dan mendengar suara rakyat perlu dilunaskan dengan pelaksanaan dan bukan retorik janji. UMNO akhirnya perlu tahu – mendengar dan melaksanakan dengan kadar segera – kerana masa bukan mencemburui UMNO – kerana masa terlampau jauh meninggalkan UMNO
No comments:
Post a Comment