Teks ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman di Muktmar Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis kali ke-34 di Dewan Amir Ramadhan HPA, 10 Mei 2009.
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), samada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Alhamdulillah, kita memanjatkan rasa syukur yang setinggi-tingginya ke hadrat Allah s.w.t kerana pada hari ini kita dapat berkumpul semula dalam sidang Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis kali yang ke-34
Salam dan selawat juga kita kirimkan buat Nabi Besar Muhammad SAW di atas jasa dan usahanya, nikmat iman dan Islam dapat kita hirup pada hari ini. Dan beradanya kita di sini pada hari ini semata-mata kerana kesanggupan kita menjadi mata rantai yang meneruskan gagasan yang dibawa oleh Baginda semenjak 15 abad yang lalu.
Kita juga merasa syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana kita berjaya menempuh setahun lagi dalam menempuh arus perjuangan bersama-sama di dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang semakin hari semakin mencabar dan meruntun kesabaran serta istiqamah kita semua.
Tak lupa juga saya ingin merakam ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamu utama kita, Ustaz Azman Shapawi yang datang dari jauh untuk merasmikan muktamar kita kali ini. Jazakallah Khairan kathira.
Sidang muktamirin sekalian,
Muktamar tahunan Dewan Pemuda PAS yang diadakan bukanlah diadakan semata-mata untuk kita memnuhi tuntutan pendaftar pertubuhan, sebaliknya perlu kita sama-sama insafi bahawa ianya adalah satu medan untuk kita bermuhasabah, melihat kembali apa yang telah kita buat dalam masa setahun dan sejauh manakah kita mampu untuk merealisasikan apa yang dituntut dalam kerja jemaah ini.
Lirik sebuah lagu nasyid ada menyebut:
Umat Islam harus cemerlang, hari ini mesti lebih baik dari semalam....
Jadi, saya mengajak seluruh pimpinan supaya berlapang dada dengan teguran-teguran dan kritikan yang akan bergema sepanjang muktamar ini, kerana saya penuh percaya tidak ada perwakilan yang menegur kerana cemburu atau dengki, melainkan kerana keikhlasan mereka ingin melihat gerakan Islam PAS ini bangun dan berdiri untuk memenuhi aspirasi mengejar keredhaan Allah SWT.
Ahli-ahli juga, dalam membuat teguran dan kritikan, gunakanlah cara yang paling berhikmah dan supaya pandangan saudara semua diterima tanpa ada yang terluka. Saya memperakui bahawa muktamar ini adalah medan terbaik untuk kita bermuhasabah dan menjadikan ia satu forum tarbiyah operasional dan pemikiran. Marilah sama-sama kita manfaatkan muktamar ini untuk membolehkan Dewan Pemuda PAS terus melangkah gagah ke arena jihad.
Sidang muktamirin sekalian,
Dalam menempuh cabaran perjuangan ini, Pemuda PAS perlulah bergerak ke hadapan khususnya dalam mendepani permasalahan semasa. Sebagai seorang Pemuda PAS, kita tidak boleh lagi dililihat semata-mata sebagai petugas pemasang poster atau pemanjat pokok untuk memasang bendera semasa pilihanraya. Paatah lagi bila kita duduk di saf pimpinan pemuda samada di peringkat cawangan, Dun, kawasan ataupun negeri.
Bukan niat saya untuk memperkecilkan kerja-kerja sedemikian yang tak kurang juga pentingnya, tetapi sebagai pimpinan pemuda kita haruslah ke hadapan dalam mengisi ruang-ruang yang ada dalam gerkerja parti.
Pemuda sebagai sayap kanan parti haruslah mampu menggalas cabaran ini dengan menjadi seorang yang “versatile” , yang mampu untuk memikul apa jua yang dikehendaki oleh jemaah kita.
Janganlah dijadikan kerja-kerja parti sebagai satu kerja sambilan yang dipandang secara acuh tak acuh. Begitu juga, janganlah kita jadikan sebarang program yang dianjurkan semata-mata untuk kita penuhi laporan aktiviti bagi mencantikkan dan memenuhkan lagi buku laporan mesyuarat agung atau muktamar tahunan.
Setiap gerakerja atau program yang disusun haruslah mempunyai matlamat yang tertentu khsusunya bagi kita Pemuda PAS menrik lebih banyak sokongan terutamanya di kalangan muda-mudi di luar sana.
Banyak program yang kita jalankan tidak berorientasikan sedemikian yakni untuk mendekatkan lagi Pemuda PAS dengan masyarakat khususnya golongan belia.
Acapkali program yang kita anjurkan lebih merupakan program “syok sendiri” di kalangan ahli-ahli Pemuda PAS atau penyokong-penyokongnya sahaja. Kita tidak pula meletkkan golongan sasar yang terdiri dari mereka yang langsung tidak pernah mendekati PAS malahan ramai pula yang telah lari jauh menyimpang dari landasan agama Islam itu sendiri.
Kerapkali juag kita terdengar sungutan dar pimpinan Pemuda PAS di peringkat bawahan yang menyatakan mereka ketandusan golongan pelapis dari kalangan pemuda. Kita juga sering menyalahkan golongan tua di dalam PAS dengan alasan anak-anak mereka tidak diajak bersama di dalam PAS, tetapi dalam masa yang sama apakah peranan kita untuk menambahkan keahlian Pemuda PAS?
Untuk itu saya mengajak sahabat-sahabat sekalian utnuk sama-sama bermuhasabah setakat manakah usaha kita ke arah itu. Untuk mengukuhkan lagi jentera Pemuda PAS kita harus serius dalam usaha untuk bersama-sama menarik sokongan golongan muda di luar sana untuk bersama PAS.
Saya percaya, sebahagian besar perwakilan yang hadir pada hari ini ada terdiri dari kalangan pimpinan pemuda di peringkat Kawasan, Dun dan cawangan. Jadi, kepada pimpinan di semua peringkat, jadikanlah ini sebagai agenda utama untuk gerakerja kita bermula dari sekarang. Susunlah aktiviti yang khusus untuk kita sasarkan kepada golongan muda di kawasan masing-masing supaya Pemuda PAS dapat dilihat sebagai Duta Penyelamat dan Kasih Sayang.
Sidang muktamirin sekalian,
Seperti ayat al-Quran yang saya bacakan tadi, antara pengajaran yang dapat diambil dari ayat-ayat tersebut iaitu
1. Allah Taala menyeru kita untuk keluar berjuang di jalan-Nya samada dalam keadaan senang ataupun susah DAN
2. Perjuangan ini bukanlah suatu yang mudah dan mampu meperolehi kemenangan dengan segera.
Untuk itu, saya menyeru sahabat-sahabat sekalian agar menginsafi bahawa perjuangan kita ini masih jauh. Kita terjua dengan kemenangan PAS/Pakatan Rakyat di 5 buah negeri. Ramai yang tertanya-tanya mengapakah di Perlis ini kita tidak lagi menang seperti di Kedah, Kelantan Penang, Perak dan Selangor.
Kita tak boleh menafikan juag peranan parti-parti sahabat kita, PKR dan DAP. Begitu juga sokongan dari pengundi bukan Melayu-Islam yang telah ditakdirkan Allah s.wt. untuk memangkah parti-parti Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum yang lalu. Namu di sebalik itu, kita juga perlu bermuhasabah sejauh manakah usaha kita di sini untuk memuahkan hasil sperti di negeri-negeri lain yang kita di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat?
Justeru, Pemuda PAS diseru agar tidak terlalu ghairah untuk meletakkan sasaran untuk menang dalam Pilihanraya semata-mata atau untuk memerintah. Perjuangan yang kita dokong ini, perlulah kita letakkan untuk mencari kerdhaan Allah s.w.t di hadapan. Kalah-menang bukan alasannya seperti lagu PAS yang kita nyanyikan tadi. Yang pentingnya kita meletakkan keikhlasan diri dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meletakkan Islam pada kedudukan yang tertinggi. Bukan kita tidak mahu menang dan memerintah, memang menjadi hasarat kita untuk menang sehingga mampu kita letakkan Islam itu sebagai Ad-din yang dapat menguasai semua segalanya. Apapun seperti yang disebutkan tadi, sejuah manakah usaha kita ke arah itu?
Untuk itu, Pemuda PAS di semua peringkat perlulah memperkukuhkan jentera dari pelbagai sudut. Salah satu elemen terpenting ialah tarbiyah. Pemuda PAS perlu mempersiapkan diri dengan tarbiyah dalaman yang jitu agar tidak lari dari landasan perjuangan dan juga terpesong dari jalan yang ditentukan oleh agama itu sendiri.
Saya melihat antara kurangnya daya juang di kalangan Pemuda PAS adalah berpunca dari kurangnya pentarbiyahan di kalangan kita. Bila elemen ini kurang, maka kita tidak menganggap kerja-kerja di dalam jemaah ini sebagai satu keutamaan, kita mengambil sikap sambil lewa dalam menjalankan kerja-kerja parti, kita tidak serius bila diminta untuk mengikuti program parti. Ini adalah satu penyakit yang tidak harus ada dan perlu dibanteras di peringkat awal yakni dari peringkat kepemudaan kita.
Justeru, saya menyeru agar usaha-usaha pentarbiayahan di kalangan ahli Pemuda PAS peerlulah diperkasakan. Usrah-usrah perlulah dihidupkan segera. Melalui usrah inilah dapat kita menanamkan fikrah perjuangan Islam yang kukuh selain mengujudkan suasana pertautan persahabatana yang jitu di kalangan ahli. Begitu juga, pemuda PAS juga perlu mengambil inisiatif untuk memperlengkap diri dengan ilmu agama melalui majlis-majlis ilmu yang banyak sekali diadakan di mana-manapun di dalam negeri ini.
Selain itu, Pemuda PAS juag haruslah mempersiapkan diri dengan pelbagai bentuk ilmu pengetahuan untuk menjadi pemimpin pelapis pada masa hadapan. Dalam dunia yang serba canggih ini, kita perlu berusaha untuk memperlengkap diri dengan ilmu ICT , ilmu pentadbiran parti dan sebagainya.
Saya yakin, dengan usaha kita yang bersungguh-sungguh akan membuahkan hasilnya kelak dengan syarat kita haruslah bekerja dengan penuh istiqamah, penuh dengan keikhlasan di samping meletakkan walaq yang penuh kepada pimpinan kita.
Sebagai akhirnya, marilah kita menjadikan muktamar kita ini sebagai medan muhasabah yang benar-benar bermanfaatkan untuk pembangunan Islam. Marilah kita bersama-sama memasang tekad dan azam untuk perjuangan PAS yang berdasarkan Islam terus relevan di pentas politik Malaysia.
Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada seluruh jentera kerja Dewan Pemuda PAS di semua peringkat dalam gerakerja yang telah kita buat sepanjang sesi 2008-2009 yang lalu, para perwakilan yang membawa gagasan idea untuk terus memacu perjuangan ini dan tak lupa juga kepada panitia muktamar yang telah bertungkus lumus menjayakan muktamar kita pada tahun ini.
Semoga Allah merestui perjuangan kita dan membawa kita kepada kemenangan di medan jihad ini.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
No comments:
Post a Comment