PADANG BESAR, 4 Mac (Hrkh) - Sambutan masyarakat khususnya bukan Melayu kepada PAS dan Barisan Alternatif (BA) semakin meningkat menjelang pilihan raya umum (PRU) 8 Mac ini.
Calon Parlimen (P003) Padang Besar, Ustaz Zolkharnain Abidin menyatakan sepanjang beliau berkempen, golongan bukan Melayu mula menunujukkan reaksi yang positif kepada calon PAS/BA.
Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat memberikan contoh di mana orang-orang Cina di Pekan Padang Besar memberikan respon bila beliau menemui mereka, menyerahkan profil calon, risalah dan merayu undi.
"Ada yang menarik saya masuk ke rumah mereka, dia panggil saya Encik Ustaz dan menerangkan masalah mereka berkaitan masalah tanah. Ini bulan punya orang kita mesti pangkah punya," jelasnya.
Katanya, permasalahan utama masyarakat yang ditemuinya di Parlimen Padang Besar ialah isu permohonan tanah yang belum selesai.
Katanya, ramai yang mengadu sudah berpuluh tahun memohon geran tanah tapi belum selesai.
"Umpamanya lelaki Cina yang saya sebutkan tadi sudah memohon tanah sejak tahun 1974 tetapi tidak dilayan pihak kerajaan. Dia kata pada saya ini kerajaan bukan mahu bela rakyat tapi mahu bunuh rakyat.
"Di Dun Chuping sendiri terdapat ratusan kes berkaitan permohonan tanah yang belum selesai. Ada yang sampai 60 tahun menduduki tanah tapi belum mendapat geran," jelasnya.
Selain itu katanya, masalah permohonan tanah ini sering dijadikan modal oleh BN setiap kali menjelang PRU.
"Bila mai pilihan raya depa mula isi serah borang permohonan tanah. Mai PRU sekali lagi ada orang ukur tanah, pengundi memangkah BN, lepas PRU depa hilang, datang PRU sekali lagi ulang balik janji yang sama," ujarnya.
Dari pengamatan beliau, rakyat kini tidak kira kaum sama ada Melayu, Cina atau India sudah mula mahu melakukan perubahan.
"Orang Cina sudah tak percaya pada MCA dan India pula sudah hilang kepercayaan kepada MIC untuk menjaga bangsa masing-masing kerana tidak boleh menjamin masa depan mereka," katanya.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment