Petikan Harakahdaily
KANGAR, 27 Feb (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din hairan mengapa para menteri kabinet memberikan respons negatif hampir saban hari terhadap janji PAS/Barisan ALternatif (BA) untuk menurunkan harga minyak sebanyak 30 sen sekiranya diberi mandat oleh rakyat memerintah negara ini.
Katanya, setiap hari media menyiarkan kenyataan mereka yan menyebut negara akan muflis sekiranya harga minyak diturunkan sedangkan selama ini rakyat dicurahkan pelbagai maklumat yang hebat berkaitan ekonomi negara.
"Kita dihujani maklumat tentang ekonomi negara yang kukuh, rizab negara di luar yang meningkat, fundemental yang kukuh, ekspot bertambah tapi bila PAS/BA mahu turunkan harga minyak negara boleh bankrap.
"Penurunan 30 sen harga minyak itu hanyalah sekitar 15 peratus daripada harga semasa, adakah dengan susutnya pendapatan dari hasil minyak akan menjadikan negara bankrap sedangkan pendapatan daripada hasil minyak adalah sekitar 30 peratus pendapatan negara.
"Kalau kering minyak di Malaysia sekalipun, tanpa hasil minyak kita masih mempunyai 70 peratus sumber lain," katanya.
Dr Haron melihat kenyataan yang dibuat itu sama ada dakwaan mereka adalah tepat dan menunjukkan keadaan ekonomi negara yang teruk atau sebaliknya hanyalah satu pembohongan untuk mengabui mata rakyat tentang kebenaran manifesti PAS/BA.
"Jika benar apa yang mereka kata, memang jelas ekonomi negara dalam keadaan teruk hasil pemerintahan Umno/BN dan kelemahan pemimpin negara.
"Ataupun sebaliknya, kalau tak benar dakwaan mereka dan saya yakin ini merupakan satu pembohongan pemimpin Umno/BN. Ini kerana mereka suka mengikut jejak pemimpin tertinggi mereka yang suka berbohong. Contoh paling jelas baru-baru ini beliau berbohong mengatakan parlimen tak akan dibubar tapi besoknya beliau mengumumkan parlimen dibubar," ujarnya.
Dalam pilihan raya umum 8 Mac ini Dr Haron akan bertanding di Parlimen P.003 Arau menentang Dato' Ismail Kassim yang juga adik Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim.
No comments:
Post a Comment