BESERI, 24 Feb (Hrkh) - Di Parlimen Padang Besar, PAS membariskan empat orang calon manakala KeADILan membariskan dua orang calon pada hari penamaan calon untuk pilihan raya umum 8 Mac ini yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Beseri.
Di Parlimen P.001 Padang Besar, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin akan menentang penyandang, Dato' Azmi Khalid dalam pertandingan satu lawan satu.
Azmi bersama-sama calon BN terlebih dahulu memasuki kawasan MRSM sebaik sahaja pintu pagar dibuka. Manakala calon-calon dari Barisan Alternatif menyusul beberapa minit kemudian.
Dun N.01 Titi Tinggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN-MCA, KeADILan dan calon bebas. BN-MCA diwakili Yip Sun Onn, KeADILan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri, Keria Senawi dan calon bebas diwakili aktivis masyarakat, Mohd Razi Mustaffa.
KeADILan juga meletakkan calon di Dun N.02 Beseri iaitu Dzulkifli Mat De yang akan menentang muka baru BN, Mat Rawi Kassim.
Sementara itu, di Dun N.03 Chuping, Bendahari PAS Perlis, Mohd Ali Puteh sekali lagi akan mencabar penyandang, Mansor Jusoh. Mereka pernah bertemu dalam pilihan raya umum 2004.
Di Dun N.04 Mata Ayer, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Padang Besar, Wan Kharizal Wan Khazim akan bertanding menentang penyandang kerusi tersebut dari BN yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri, Khairi Hasan.
Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Abd Rashid Abd Rahman pula akan bertanding di Dun N.05 Santan menentang penyandang, Sabry Ahmad.
Pada jam 10.00 pagi, pegawai pilihan raya P.001, Azmi Salim mengumumkan masa semakan dan bantahan dibuka.
Sebanyak empat bantahan dikemukakan iaitu ke atas Azmi, Mat Rawi, Mansor dan Khairi, namun semuanya ditolak atas alasan teknikal dan tidak relevan.
Perarakan calon BA bermula dari rumah adik Dato' Dr Haron Din, Ustazah Rokiah menuju ke MRSM dengan diiringi kira-kira 1,500 orang penyokong.
Sementara itu, di Kangar PAS bertanding di empat kerusi iaitu Dun Bintong, Sena, Kuala Perlis dan Kayang, manakala KeADILan bertanding di Parliemn Kangar dan Dun Indera Kayangan.
Di Parlimen P.002 Kangar, Tunku Abdul Rahman Tunku Ismail dari KeADILan akan menentang penyandang yang juga Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Mohd Radzi Skeikh Ahmad.
Di N.03 Bintong, AJK PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir akan menentang Mat Isa Sabu dari BN yang membuat penampilan semula. Di N.07 Sena, AJK PAS Kangar, Ustaz Osman Abdullah akan menentang bekas Ketua Pemuda Umno Perlis, Jamil Saad.
Di N.08 Indera Kayangan, KeADILan meletakkan calon wanita tunggal di Perlis iaitu, Timbalan Ketua Wanita KeADILan Negeri Perlis Poziyah Hamzah yang akan menentang pendatang baru dari MCA, Poh Chu Chor.
Di N.09 Kuala Perlis, Pengerusi Badan Kebajikan PAS Perlis akan menentang muka baru BN iaitu Mat Hassan. Manakala Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman akan menentang seorang lagi bekas Ketua Pemuda Umno Perlis, Bakri Ali.
Lebih seribu orang mengiringi calon-calon dalam perarakan yang bermula dari Pejabat Perhubungan PAS Perlis di Jalan Sekolah Derma menuju ke Dewan Warisan.
Alamat Baru Kami
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment