KANGAR, 18 Mac (Hrkh) - PAS Perlis berharap kepimpinan baru negeri yang diterajui oleh Dato' Dr Md Isa Sabu dapat mengeratkan semula hubungan antara institusi istana, pemimipin dan rakyat.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin membuat gesaan demikian kepada Md Isa yang dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baru semalam.
"Sebelum ini mungkin berlaku sedikit keretakan antara tiga elemen penting ini dan diharap hubungan dapat dieratkan semula agar dapat kita bina negeri Perlis ini dengan lebih baik dan teratur," katanya.
Ustaz Hashim juga menggesa kepimpinan baru yang bakal dibentuk Md Isa melayan rakyat tanpa sebarang diskriminasi.
"Rakyat negeri terdiri dari pelbagai fahaman politik dan mereka harus diberikan layanan sama rata sama ada dari segi pembangunan atau pemberian projek. Tumpukan kepada kepentingan umum bukannya golongan tertentu sahaja," gesanya.
Mengulas tentang pembentukan kabinet negeri yang bakal dibuat dalam masa terdekat ini, Ustaz Hashim menyeru agar Md Isa memberi lebih ruang kepada barisan Exco dan wakil rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
"Kita dah ada Exco dan wakil rakyat, jadi agihkan tugas mengikut portfolio masing-masing, jangan macam dulu walaupun ada Exco dan wakil rakyat tapi nampak jelas dibolot segalanya oleh seorang sahaja.
"Kepimpinan baru juga diminta untuk memberikan penumpuan dalam memperbaiki segala kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan agensi berkaitan. Kepincangan dalam kewangan negeri, Majlis Perbandaran Kangar dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis antara yang perlu dberikan perhatian," serunya.
Dalam pada itu, Ustaz Hashim menasihatkan Md Isa agar tidak terikut dengan cara Menteri Besar dulu yang banyak menaburkan sumbangan kepada rakyat sekiranya tidak mampu.
Sebaliknya kata beliau, Md Isa perlu beralih kepada memberikan sesuatu yang lebih bernilai daripada pemberian yang sedia ada.
"Mungkin YAB Menteri Besar tak mampu nak ikut bagi sumbangan macam MB dulu, tapi ini bukannya satu perkara yang perlu dirisaukan. Rakyat akan lebih faham dan menghendaki sesuatu yang lebih bernilai daripada yang dulu. Ada perkara lain yang lebih utama untuk beliau beri perhatian," katanya lagi.
Semalam Md Isa dipilih secara rasmi sebagai Menteri Besar Perlis keenam menggantikan Dato' Seri Shahidan Kassim.
Majlis angkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru diadakan di Istana Arau petang semalam di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
No comments:
Post a Comment