Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyeru agar sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis berlangsung dalam suasana yang kondusif selaras dengan pertukaran pucuk pimpinan negeri.
Berucap membahaskan bajet 2009, beliau menegaskan PAS menerima semua keputusan pilihanraya umum (PRU) yang lalu dan juga kerajaan yang memerintah.
"Kita menerima semua keputusan dalam pilihanraya umum yang lalu. Apa yang saya harap dalam dewan ini, dengan pertukaran pimpinan kerajaan sekarang, kita wujudkankan suasana yang lebih kondusif untuk mewujudkan keadan yang boleh kita bincangkan masalah rakyat.
"Jangan jadikan satu suasana yang tegang dalam mesyuarat dewan ini," katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut melahirkan rasa kekesalannya kerana dibiarkan tergantung selama enam bulan berikutan kesilapan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tersilap mengumumkan keputusan PRU ke 12 lalu bagi Dun Sanglang.
Katanya kesilapan tersebut tidak sepatutnya berlaku dan SPR sendiri selaku sebuah badan yang bebas tidak pula mengaku kesilapan tersebut.
"Perlis ni negeri kecil dengan pengundi tujuh-lapan ribu pengundi, tapi keputusan diumum pukul 1.00 pagi. Sepatutnya pukul 9.00 dah boleh umum. Kita dah ada bukti di borang 14 dan orang Umno sendiri pun akui kemenangan saya.
"Saya tergantung selama enam bulan tak kisah sangat, tapi bagaimana kita nak meletakkan kepercayaan kepada satu badan yang kita anggap bebas tapi tidak sanggup mengaku kesilapan.
"Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa pergi sampai tiga buah mahkamah. Mahkamah Tinggi Kangar, Mahkamah Pilihanraya dan Mahkamah Persekutuan barulah diumumkan sebagai pemenang," jelasnya.
No comments:
Post a Comment