Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Perlis digesa untuk diperkasakan agar dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan lebih berkesan.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perlis baru-baru ini, Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat) membuat gesaan demikian dalam ucapannya membahaskan bajet negeri Perlis 2009.
Katanya, hasil daripada Laporan Ketua Audit Negara, beliau melihat PAC tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan sempurna.
"Saya lihat tiada tindakan drastik atau penyelesaaian terutamanya bagi kerajaan terdahulu bilamana PAC tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya. Semoga Pengerusi baru PAC iaitu Adun Mata Ayer dapat melaksanakan amanah dengan lebih baik. Beliau pun sudah tidak ada kepentingan politik lagi.
"Ini penting khususnya bagi PAC untuk memantau projek-projek di bawah agensi kerajaan yang dilaksanakan dan sesetengahnya tak mengikut peraturan serta tidak melihat kesan masa depan agar tidak membazirkan wang rakyat," serunya.
Selain itu, Rus'sele juga melihat kerajaan masih gagal mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang baru khusunya kepada golongan muda walaupun wujudnya pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan latihan kemahiran di Perlis.
"Dari sudut pembangunan tenaga insan, kerajaan telah berjaya menghasilkan tenaga mahir dan separuh mahir melalui IPT dan institusi seperti Institut Latihan Perindustrian, Giat MARA dan Institut Kemahiran Belia Negara. Cumanya kerajaan tidak menyebut atau gagal menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang baru di negeri ini," katanya.
No comments:
Post a Comment