Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Wednesday, February 28, 2007

Pemuda PAS jangan jadi macam bola - Pj

Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 28 Feb - Pemuda PAS jangan menjadi seperti bola yang boleh ditendang ke sana-ke mari mengikut pemainnya, demikian seru Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

"Golongan yang jadi macam "bola" inilah yang paling disukai oleh iblis dan paling ramai di atas muka bumi ini," katanya.

Ustaz Hashim berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya kepada para pemuda PAS dalam majlis makan malam meraikan para pemuda yang telah menyertai Himpunan 15 ribu Pemuda di Kelantan Disember lalu.

Katanya, bola tidak boleh disepak kuat tanpa diisi angin dan tidak boleh masuk ke dalam gol tanpa disepak oleh pemainnya.

"Jadi, masyarakat kini jadi pening bila golongan remaja dan belia sudah jadi "bola" yang boleh diarah kesana-kesini seperti yang iblis kehendaki.Bukan sekadar orang muda tetapi juga para pemimpin negara kini turut menjadi "bola","katanya lagi.

Justeru, beliau mengingatkan agar para pemuda PAS di semua peringkat tidak mudah terikut dengan arus semasa yang penuh dengan cabaran yang mampu menggugat pertimbangan akal dan akidah.

"Sudah banyak diperkatakan tentang gejala sosial, Mat Rempit, murtad dan sebagainya, Sebab itulah PAS tampil dalam masyarakat untuk memperbetulkan keadaan, agar orang tidak jadi seperti "bola" tadi," sambungnya.

Beliau turut memberikan contoh Nisa' Games yang diadakan di Kelantan baru-baru ini yang memberikan gambaran jelas bahawa PAS mahu menunjukkan kepada masyarakat contoh yang baik dalam sesuatu perkara.

"Kita beri peluang kepada wanita untuk bersukan dalam batas-batas yang dibolehkan syarak. Ini satu contoh bagaimana kita tidak mahu jadi seperti "bola" tadi," katanya.

Walaupun Perlis hanya menghantar kontinjen kecil seramai lebih kurang 240 orang ke himpunan 15 ribu Pemuda PAS di Kelantan tempohari, namun Dewan Pemuda PAS Perlis berjaya menghimpunkan semula hampir keseluruhan peserta dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini malam semalam.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Kedah, Aris Awang yang hadir memberikan ucapan motivasi kepada para hadirin.
Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 28 Feb - Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ali, 69, sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di sini kerana diserang angin ahmar.

Beliau dimasukkan ke hospital Sabtu lalu apabila diserang sakit berkenaan di rumahnya ketika sedang bersiap untuk menghadiri kuliah bulanan Dato' Dr Haron Din di Balai Islam MADI, Jejawi.

Ustaz Ahmad yang juga Yang DiPertua PAS Arau bagaimanapun pada masa ini berada dalam keadaan stabil selepas mendapat rawatan.

Pencegahan Penyakit: Kekeliruan kita kepada keutamaan

Oleh : Harumanis
Kategori : Surat Pembaca

Setelah membaca beberapa keratan akhbar arus perdana yang heboh dan sibuk dalam menyatakan perlunya kepada pengharaman iklan makanan segera kerana menurut mereka ianya adalah membahayakan kesihatan penduduk Malaysia,saya terasa bagaikan ada cuitan kepada hati saya.

RTM dilaporkan bersedia untuk menghapuskan segala bentuk iklan yang melibatkan makanan segera yang pada hemat pakar pemakanan adalah punca kemerosotan kesihatan rakyat Malaysia.Ini pada hemat mereka adalah satu langkah pencegahan yang baik.

Begitulah hebat dan bersungguhnya kerajaan kita dalam menangani masalah yang melibatkan rakyat jelata.Apa yang nampak sebagai tunas kepada keburukan,maka dengan pantas mereka akan menghapuskannya demi kebaikan sejagat.Nampak gayanya seperti itu.

Kesungguhan itu ada baiknya dan patut kita sanjungi kerana Islam menyuruh kita memakan makanan yang halal dan baik sahaja.Jika makanan segera itu dianggap sebagai sebab utama kemerosotan kesihatan rakyat teramai,maka tiada siapa yang patut membangkang saranan tersebut.

Tetapi adakah makanan sahaja yang kita perlu jaga dan kita perhatikan dengan bersungguh-sungguh?Makanan segera bagi saya masih halal walaupun pada pandangan pakar ianya boleh meyumbang kearah kemudaratan.Mungkin disitu masih ada percanggahannya dikalangan pakar.

Bagaimana pula dengan makanan jiwa yang haram?Sedarkah kerajaan bahawa apa yang cuba dibawakan oleh PAS adalah juga pencegahan yang terbesar dalam kehidupan dan amat dituntut oleh Allah?Ianya telah lama diketengahkan oleh PAS iaitu pencegahan mungkar.Penyakit ini adalah lebih merbahaya berbanding penyakit yang dibawa oleh makanan segera itu.

Amat kesal rasa dihati apabila bersegeranya manusia untuk melarikan diri dari penyakit zahir tetapi dalam masa yang sama masih bergelumang dengan penyakit batin.

Bagi saya apabila kita berbincang tentang pencegahan penyakit terutamanya penyakit batin iaitu mungkar ini,mahu tidak mahu,kita perlu mengaku bahawa kita semua sedang dijangkiti penyakit itu.Dan lebih menggerunkan lagi,penyakit itu sedang membarah didalam masyarakat kita.

Pencegahan mungkar ini adalah lebih fokus kepada objektif kita sebagai hamba Allah yang diciptakan untuk beribadat kepadanya.Lihat sahaja contoh kajian yang telah dibawakan oleh seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia,Dr Khaidzir Ismail yang mendedahkan daripada lebih dari 800 orang pelajar perempuan bermasalah yang beliau itemui hanya seorang yang tidak pernah melakukan hubungan seks diusia remaja mereka.Apakah itu masih belum boleh dipanggil sebagai penyakit?Dan apakah pencegahannya oleh kerajaan?

Adakah penyakit ini kerana makanan segera?Saya pasti jawapannya tidak.Inilah sebenarnya yang ditakuti oleh PAS iaitu kemusnahan institusi keluarga seperti yang telah dicontohkan oleh barat.Dan ini jugalah yang diusahakan oleh PAS iaitu menyelamatkan masyarakat dari kemusnahan ini.

Saya termenung dan hanya boleh terkenang ketika peristiwa tsunami dahulu bagaimana Pak Lah dengan kuasa yang beliau miliki hanya mengarahkan dalam akhbar dan televisyen sahaja agar tidak diadakan pesta menyambut tahun baru tetapi diadakan majlis tahlil sebagai tanda mengingati kepada kekuasaan Allah dalam peristiwa tsunami itu.Hasilnya,seluruh patuh dengan arahan itu.
Tercetus dalam benak saya bahawa begitu berkuasanya suara seorang Perdana Menteri.Seluruh negara mengikut katanya.Bilakah pula suara itu akan sekali lagi mengarahkan seluruh rakyat Malaysia ini bersama-sama untuk mencegah mungkar?Atau saya hanya akan menanam impian yang mustahil? Wallahua’lam.

Monday, February 26, 2007

Pak Mud mutiara PAS Perlis yang sukar diganti

Terbaik dari Harakah (Petikan dari Harakahdaily)
Oleh Bashir Ishak

(Seperti yang disiarkan dalam Harakah bil 1330)
Ibarat kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Namun bagi bekas Pesuruhjaya PAS Perlis, Haji Mahamood Mohd Noor beliau bukan sekadar meninggalkan nama yang harum malah jasanya kepada perjuangan Islam tidak terkira.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Mud kembali ke rahmatullah di rumahnya pada jam 11.50 malam 7 Februari lalu pada usia 90 tahun.

Pak Mud adalah seorang ikon, namanya sudah sinonim dan tidak asing lagi bagi PAS Perlis.
Walaupun kelihatan pendiam dan lemah lembut tetapi beliau berperwatakan tegas dan mudah diajak berbual.

Dilahirkan di Batu Sangkar, Sumatera, Indonesia pada 2 Februari 1917, Pak Mud mendapat pendidikan di Maahad Tarbiyatul Islamiyah di Pajakumboh, Sumatera Barat.

Beliau kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1936 mencari ilmu dan pengalaman dan sampai di negeri Perlis pada tahun 1938.

Berkahwin dengan Hajah Rogayah Mohd Zain pada tahun 1940, pasangan ini dikurniakan lapan cahaya mata. Tiga daripadanya sudah meninggal dunia.

Pak Mud mula terlibat dalam politik melalui Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy. Namun perjuangannya bersama PKMM tidaklah lama apabila parti itu diharamkan penjajah Inggeris pada 1948.

Namun pengharaman PKMM tidak mematahkan semangat perjuangannya, pak Mud kemudiannya menyertai PAS pada tahun 1958.

Sepanjang penglibatannya di dalam PAS, Pak Mud pernah diamanahkan dengan pelbagai jawatan. Beliau pernah menjadi Setiausaha Perhubungan PAS Perlis dari tahun 1959 hingga 1966.

Dari tahun 1966 hingga 1969 beliau memegang jawatan Ketua Penerangan. Manakala dari tahun 1970 hingga 1971 beliau memangku jawatan Pesuruhjaya PAS Perlis berikutan kematian Pesuruhjaya PAS Perlis ketika itu, Cikgu Taharim Ariffin yang mati dibunuh.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya sebanyak dua kali iaitu pada 1981-1983 dan 1985-1987 dan memangku jawatan tersebut sekali lagi dari tahun 1990 hingga 1991 berikutan kematian pesuruhjaya Ustaz Halim Omar.

Selain itu beliau juga pernah beberapa kali bertanding di dalam pilihan raya iaitu pada 1964 dan 1969 di DUN Sena, 1978 dan 1982 di Parlimen Arau, 1982 DUN Utan Aji; dan akhirnya 1986 di Dun Guar Sanji.

Selain itu, pada tahun 1999, Pak Mud meninggalkan satu khazanah yang berharga bila beliau menyusun dan menulis sejarah PAS Perlis yang boleh dijadikan rujukan untuk semua.

Dalam pertemuan dengan Harakah beberapa tahun lalu, beliau masih mampu menceritakan pelbagai sejarah silam PAS Perlis termasuk kisah awal penglibatannya dalam politik bersama PKMM di bawah Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Begitu juga dengan sejarah PAS Perlis, sama ada dari segi pimpinan, program-program besar PAS serta pilihan raya yang disertai.

PaK Mud juga sempat mengimbas kembali satu himpunan Hizbul Muslimin di Madrasah al-Ihya as-Syarif, Gunong Semanggol, Perak beberapa ketika dahulu.

"Dulu orang ramai pi sana. Tidur di sana tiga hari tiga malam, sembelih lembu juga," imbasnya apabila diceritakan kepadanya tentang himpunan orang ramai semasa Muktamar PAS di Kedah tahun lalu.

Selain itu, beliau menasihati ahli-ahli PAS agar mengikhlaskan diri dalam perjuangan.

"Jangan melihat adanya kepentingan duniawi atau kewangan. Semua yang dibuat kerana Allah dan inilah yang akan menguatkan kita," nasihatnya.

Reaksi pemimpin PAS negeri dan rakan-rakan seperjuangan

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyifatkan Allahyarham sebagai contoh seorang yang istiqamah dalam perjuangan. PAS Perlis, ujarnya telah kehilangan seorang tokoh yang hebat.

"Dalam apa keadaan sekalipun beliau tetap gigih menghadapi pelbagai liku-liku hidup dengan tabah. Walaupun enam kali bertanding dalam pilihan raya dan tak pernah menang, beliau tidak pernah putus asa. Dari sudut ketabahan, beliau sukar ditandingi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim menganggap Pak Mud sebagai mentor. Menurutnya, paling disukai tentang Pak Mud ialah cara beliau menyelesaikan sesuatu masalah dalam parti secara lenbut dan mempunyai sentuhan peribadi.

"Beliau juga adalah seorang yang banyak menyimpan maklumat dan sejarah PAS di negeri ini. Pemergiannya adalah suatu kehilangan besar bagi kita semua," ujarnya.

Setiausaha PAS Padang Besar, Ustaz Yahya Ahmad berkata, Pak Mud ialah contoh seorang yang istiqamah dan tidak pernah berganjak dengan prinsip perjuangan.

"Beliau pernah dilantik sebagai Pegawai Seranta Tabung Haji semasa PAS dalam BN dulu. Tetapi demi kepentingan jamaah, beliau meletakkan jawatan atas arahan PAS Pusat tanpa sempat menerima gajipun. Takziah buat keluarga beliau bagi pihak PAS kawasan Padang Besar," katanya.

Bekas Yang DiPertua PAS Kangar, Haji Rahmat Mohd Noor mengingati Pak Mud sebagai seorang yang warak dan berjuang semata-mata untuk Islam.

Menurutnya, Allahyarham adalah orang yang bertanggungjawab membawanya masuk sebagai Ahli Badan Perhubungan.

"Saya ingat dia datang sini sebelum perang Jepun dulu. Dialah yang mengajar kami di sini dengan ilmu agama. Melalui beliaulah ramai yang dapat mengaji agama di kampung ini dalam keadaan masyarakat yang masih tidak mahu kepada agama," ujarnya.

Bekas Bendahari PAS Perlis, Ustaz Ahmad Ibrahim, 80, mengingati Pak Mud sebagai seorang pemimpin PAS yang gigih, dihormati dan disegani kawan mahupun lawan.

"Dalam percakapan dia tak pernah sentuh hati orang, sampai Umno sendiri pujuk sertai mereka dan diberikan jawatan, tapi dia tak mahu. Di kalangan pemimpin PAS di Perlis susah nak cari yang sebanding macam dia," jelasnya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

Paksu Kamaruddin kembali ke Rahmatullah

Oleh Bashir Ishak
SANGLANG, 26 Feb - PAS Perlis kehilangan seorang lagi pejuang yang gigih apabila Bekas Setiausaha Dewan Ulama, Ustaz Kamaruddin Md Akib, 68, meninggal dunia Sabtu lalu.

Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 4.05 pagi di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Ustaz Kamaruddin yang lebih mesra dengan panggilan Paksu dimasukkan ke hospital Khamis lalu setelah terjatuh di bilik air di rumahnya.

Allahyarham yang bertugas sebagai guru agama di Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (MADI) di Jejawi juga merupakan imam di Masjid Padang Keria dekat sini.

Beliau pernah menjadi calon PAS di Dun Kayang pada pilihan raya umum tahun 1995.

Menurut menantunya, Noryusairi Mansor, sebelum pergi mengajar di MADI pagi Khamis lalu, Paksu sempat berkata kepada isterinya bahawa beliau mahu berjuang dan berdakwah hingga ke akhir hayat.

Jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Padang Keria selepas Zohor dan diimamkan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Adun Sanglang, Ustaz Hashim Jasin.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas beliau. Al-Fatihah.

Friday, February 23, 2007

Homestay Untuk disewa



(Seperti yang disiarkan dalam Harakah Bil 1330)

KANGAR - PAS Perlis maju setapak lagi dengan menguruskan sebuah rumah tetamu berkonsepkan "homestay" di pinggir bandar Kangar.


Rumah tetamu ini diserahkan kepada PAS Perlis untuk dijadikan "homestay" oleh seorang ahli yang kini bekerja di luar negara.

Penginapan ini sesuai bagi pengunjung atau pelancong yang datang secara berkumpulan atau dengan keluarga dan tidak perlu menyewa banyak bilik hotel untuk menginap.

Rumah yang terletak di No 5 Jalan Limau Kasturi, Taman Seri Guar ini mempunyai empat buah bilik dan berada hanya lima minit dari pusat bandar Kangar.

Lokasinya juga terletak berhampiran dengan masjid dan surau.

Rumah ini boleh disewa pada kadar RM150.00 untuk sehari bagi sebuah rumah dan hanya RM50.00 bagi sebuah bilik.

Untuk menyewa atau keterangan lanjut sila hubungi 012-5896676 atau 04-9761836.

Apa ada beza Mat Rempit dengan Dajal Rempit?



Oleh Wartawan Harakahdaily
KANGAR, 22 Feb - Cadangan menukarkan nama "Mat Rempit" kepada "Dajal Rempit" atau "Penyangak Rempit" mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.


Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil menganggap penukaran nama ini tidak memberikan implikasi besar kerana isu Mat Rempit ini harus diselidiki puncanya berlaku gejala tersebut.


"Ianya bukan masalah label atau nama. Kalau kita letak apa nama sekalipun, isu Mat Rempit ini tidak ada kesudahan sekiranya tidak dicari punca berlakunya masalah ini," katanya.


Dilaporkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak bersetuju dengan cadangan ini manakala Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula melihat tidak ada salahnya memberikan label "Dajal rempit".


Utusan Malaysia semalam menyiarkan kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato' Seri Dr Rais Yatim yang menyebut gelaran Mat adalah terlalu sopan untuk golongan ini.


Bagi Ustaz Ahmad Adnan, punca utama yang mendorong para remaja dan belia menjadi Mat Rempit ialah penerapan budaya hiburan yang tidak terkawal oleh pihak kerajaan.


Justeru katanya, golongan muda ini lebih cenderung untuk memilih hidup berseronok dengan hiburan yang tidak terkawal yang melekakan dan akan memberikan kesan yang buruk.


"Budaya hedonisme ini berpunca dari penganjuran pelbagai bentuk penayangan rancangan hiburan yang di televisyen serta penganjuran pelbagai bentuk acara hiburan yang tidak terkawal. Remaja mudah terpengaruh untuk meniru gaya hidup sedemikian," sambungnya lagi.

Ustaz Adnan menyarankan Jabatan Agama memberikan penekanan terhadap menyedarkan masyarakat tentang ancaman pelbagai gejala sosial yang ada.

"Jangan hanya duduk berbincang tentang masalah teknikal atau khilafiah dalam agama sedangkan masalah masyarakat yang berpunca dari polisi kerajaan yang longgar tentang agama dan pembentukan akhlak golongan muda tidak diperkatakan secara serius.


"Sepatutnya Jabatan Agama perlu mengadakan satu seminar khas membincangkan tentang bagaimana untuk memperbetulkan pelbagai permasalahan masyarakat," katanya

Nasib samar menanti peniaga di Padang Besar

PADANG BESAR- Walaupun diberikan tempoh "subsidi" oleh kerajaan sehingga akhir bulan ini, nasib para peniaga gerai di sekitar Arked Niaga Padang Besar masih samar.

Ini berikutan arahan supaya para peniaga yang terdiri dari penjual minuman dan makanan ringan serta cenderamata berpindah ke tapak baru yang letaknya hampir seratus meter dari Arked Niaga tersebut.

Arked Niaga ini memang popular dan menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pelancong yang berkunjung ke sana pada setiap hujung minggu atau musim cuti.

Menurut para peniaga yang terbabit, tapak baru itu tidak sesuai kerana lokasinya yang agak jauh dari Arked Niaga dan bukan kawasan tumpuan orang ramai dan ini akan menjejaskan pendapatan mereka.

"Bila musim cuti mungkin ramai yang ke sana. Itupun untuk "parking" kereta, tapi seterusnya mereka akan ke Arked juga untuk membeli-belah", demikian menurut salah seorang peniaga minuman, Ibrahim Saidin.

Justeru para peniga ini mengambil keputusan untuk terus berniaga di tempat lama berhampiran Arked Niaga.

Bagaimanapun semalam, keadaan hampir menggemparkan bila pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Kangar Kangar (MPK) telah datang bersama dua buah lori beserta sebuah trak polis untuk mengambil tindakan.

Namun, para peniaga mengambil jalan rundingan dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Azihani Ali telah datang berdialog dan memberikan penerangan dan tentang keputusan kerajaan untuk membenarkan para peniaga beroperasi hingga akhir bulan ini.

Menurut Ibrahim, selain isu tempat niaga, isu "Ali Baba" lesen niaga juga dibangkitkan memandangkan isu ini sudah lama berlarutan.

Katanya, isu Arked Niaga ini yang dimonopoli oleh peniaga dari negara jiran yang berniaga menggunakan lesen rakyat tempatan tetapi tidak ada tindakan yang diambil. Di kalangan peniaga gerai terbabit hanya 16 orang sahaja yang betul-betul rakyat tempatan dan berlesen.

Projek pada kaum lain,tiada amanah, jati diri sebagai punca

Petikan Harakahdaily
KANGAR- Malas berusaha sendiri dan mahu mencari keuntungan segera merupakan punca projek yang diberikan kepada kontraktor bumiputera mengalir kepada kaum lain.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Hairy Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedih melihat laporan bahawa 85 peratus kontrak bumiputera tiris.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa secara purata 85.37 peratus projek yang dilaksanakan kontraktor bumiputera pada tahun 2006 mengalir kepada kaum lain.

Kata Hairy, kontraktor bumiputera yang memberikan projek mereka kepada kaum yang lain merupakan golongan yang tidak mempunyai jati diri dan mengabaikan amanah yang diberikan kepada mereka.

"Hasrat kerajaan untuk memajukan ekonomi bumiputera terjejas dengan tindakan mereka yang tidak bertanggung jawab ini," katanya.

Menurutnya lagi, kontraktor yang terlibat kebanyakannya tidak berpengalaman, kekurangan modal dan tidak berkepakaran dalam bidang tertentu menyebabkan mereka memberikan projek kepada kaum lain.

"Benarlah jika dikatakan mereka ini malas berusaha sendiri dan tidak mahu belajar untuk memajukan diri sendiri dengan pengetahuan dan kepakaran yang baru," ujarnya.

Beliau mengesyorkan agar tindakan tegas seperti menyenarai hitamkan kontraktor yang meng"AliBaba"kan projek yang diberikan memandangkan ramai lagi kontraktor yang lebih berkeupayaan. "

Usah diberi lagi projek kepada golongan ini. Ramai lagi yang tidak pernah mendapat projek walaupun berkemampuan, tetapi disekat kerana pelbagai faktor termasuk perbezaan politik,"katanya lagi.

Thursday, February 08, 2007

Pak Mud, bekas Pj PAS Perlis kembali ke rahmatullah


Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 8 Feb - PAS Perlis kehilangan seorang lagi ikonnya apabila bekas Pesuruhjaya, Haji Mahamood Mohd Noor, 90 kembali ke rahmatullah di rumahnya pada jam 11.50 malam tadi.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Mud sudah agak lama terlantar di rumahnya akibat sakit tua berada di dalam keadaan tenat sejak malam semalam.

Pimpinan PAS Perlis termasuk Pesuruhjaya, Ustaz Hashim Jasin dan Timbalan-timbalan Pesuruhjaya sempat menziarahinya semalam apabila mendapat berita tentang keadaannya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hajjah Rogayah Zain, 89 serta tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.

Beliau yang dilahirkan di Batu Sangkar, Sumatera, Indonesia berhijrah ke Malaysia pada tahun 1936. Mula menceburi bidang politik sejak tahun 1940-an.

Jenazahnya akan disembahyangkan di rumahnya di Lorong Surau, Kampung Jejawi Dalam dekat sini pada jam 11.00 pagi hari ini.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham dan menempatkannya di sisi para anbia, orang-orang yang soleh dan syuhada. Al-Fatihah.

Monday, February 05, 2007

Pilihanraya kotor hasilkan "kerajaan setinggan"

Oleh Wartawan SEDAR
ARAU, 2 Feb - Hasil daripada sistem pilihanraya yang tidak adil dan bersih maka timbullah sebuah "kerajaan setinggan", kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar.

"Cuma bezanya kerajaan setinggan ini tiada majlis bandaran," katanya secara berseloroh dalam ceramahnya di Markas MTD Simpang Empat dekat sini malam tadi.

Namun katanya, rakyat sendiri perlu bertindak sebagai penguatkuasa majlis bandaran untuk merobohkan kerajaan setinggan ini di seuruh negara.

Mahfuz berkata, rakyat di negara ini harus membuka mata untuk melihat sistem pilihanraya yang diamalkan di negara ini adalah kotor dan tidak adil.

Baginya, rakyat juga harus tahu bahawa hasil daripada sistem pilihanraya yang tidak adil ini, maka kerajaan yang terbentuk tidak akan memberikan ruang untuk memberikan keadilan kepada seluruh rakyat.

"Dia dapat kuasa secara tidak jujur takkan dia nak berlaku jujur kepada kita. Bila pilihanraya dia dapat kuasa dengan cara menipu tiba-tiba rakyat harap mereka berlaku adil, ini tak mungkin berlaku," tegasnya.

Mahfuz berceramah bersama dengan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dalam siri "roadshow" penerangan tentang pemboikotan pilihanraya Kecil Batu Talam dan menuntut pilihannraya bersih.

Boikot berjaya: Najib berkampung 12 hari, hanya tambah 862 undi!

Petikan Harakahdaily
SIMPANG EMPAT, 2 Feb - Pemboikotan pilihan raya kecil (PRK) Dun Batu Talam di Pahang minggu lalu berjaya memberikan kesan terhadap sistem pilihan raya yang ditadbir oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata demikian di hadapan kira-kira 1000 orang dalam ceramahnya di di Markas MTD Simpang Empat, dekat sini malam tadi.

Menurut Ustaz Nasharudin, berdasarkan laporan yang dikeluarkan, kesan pemboikotan ini berjaya menurunkan peratus keluar mengundi kepada yang terendah dalam sejarah sesuatu PRK.

"Peratus keluar mengundi berjaya diturunkan kepada hampir 10 peratus. Ini membuktikan bahawa perjalanan demokrasi di negara ini telah tercalar," katanya.

Katanya lagi, walaupun jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) digerakkan dengan sepenuhnya sehinggakan Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri selaku Timbalan Presiden Umno berada di sana sepanjang tempoh berkempen, tetapi tidak dapat menambahkan majoriti dengan lebih banyak.

"Dia (Najib) berkampung selama 12 hari 12 malam tetapi mereka hanya berjaya menambahkan majoriti kepada 862 undi sahaja. Ini jelas rakyat menyokong pemboikotan ini," jelasnya.

Selain itu, menurutnya lagi, laporan yang diperolehi sehingga jam 1.00 tengahari pada hari mengundi mendapati peratus keluar mengundi hanya berada pada tahap 30 peratus sahaja.

"Najib sendiri telah menyalahgunakan media untuk mengeluarkan kenyataan mengarahkan rakyat supaya keluar mengundi pada petangnya agar sasaran BN untuk menang dengan lebih 3 ribu majoriti tercapai.

"Kita sangsi kerana pada hari itu, tidak ada "Polling Agent" yang bertugas. Ini bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati dalam bilik mengundi," katanya lagi.

Bukti pemboikotan PRK ini berkesan juga dapat dilihat melalui jumlah undi rosak yang meningkat, demikian menurut Ustaz Nasharudin.

"Saya yakin dengan 385 undi rosak inilah juga protes dari rakyat. Laporan yang kita terima bahawa paling ramai keluar mengundi ialah dari saluran satu. Ini maknanya juga golongan muda turut menyokong pemboikotan ini. Meraka sendiri tidak mahu ditipu oleh SPR dan BN," katanya.

Tambahnya lagi, dengan kedudukan Batu Talam yang berada di pedalaman, ini membuktikan bahawa penduduk di sana juga peka dengan sistem demokrasi yang pincang di negara ini.

"Mereka juga sudah berani memprotes sistem yang tidak betul. Ini maknanya kita berjaya memberikan satu mesej kepada SPR dan dunia dapat melihat demokrasi di Malaysia sudah dicalit dan dicalarkan," sambungnya lagi.

Ceramah anjuran Badan Perhubungan PAS Perlis ini adalah sebahagian daripada siri "roadshow" penerangan tentang pemboikotan pilihan raya Kecil Batu Talam dan menuntut pilihan raya bersih. Turut sama menyampaikan ceramah ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.