Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Saturday, December 22, 2007

Haron Din kesal PM tiada rasa bersalah tahan rakyat bawah ISA

Petikan Harakahdaily
ARAU - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din membidas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyatakan tidak rasa bersalah atau sedih untuk menandatangani arahan penahanan terhadap seseorang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dr Haron terkejut dan hairan dengan kenyataan Perdana Menteri itu yang seolah-olah tidakpun rasa bersalah atau rasa berdosa untuk mengeluarkan arahan penahanan di bawah undang-undang kejam ISA.

"Bagaimana dia (Perdana Menteri) boleh berasa tidak bersalah mengeluarkan arahan sedemikian, seolah-olah tidak merasa berdosa berbuat demikian, sedangkan yang ditahan itu tidak diberikan hak untuk membela diri, tidak dibawa ke mahkamah untuk membela diri," katanya.

Sebagai perbandingan, Dr Haron memetik sebuah hadis Nabi tentang orang yang melakukan dosa.

"Bertolak daripada hadis Nabi SAW yang jelas menyebutkan, orang Mukmin yang melakukan dosa kecil maka dirasainya seolah-olah sebuah gunung yang akan menghempap ke atasnya sedangkan seorang faajir yang banyak melakukan dosa merasakan seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidung untuk segera terbang," jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr Haron mempersoalkan kewajaran menahan seseorang di bawah ISA sedangkan akibatnya membawa kepada kesusahan dan penderitaan.

"Di manakah keadilan yang dapat ditawarkan kepada mereka, tanpa sebarang pertuduhan dan pembelaan. Apakah Perdana Menteri sudah hilang langsung perasaan bahawa yang ditahan itu akan terseksa, seluruh keluarga menanggung penderitaan dan kesengsaraan," ujarnya.

Katanya lagi, di dalam Al-Quran Allah S.W.T memberi amaran tentang menyeksa atau menyakiti orang lain.

"Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yag tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata," jelasnya memetik ayat 58, Surah Al-Ahzab.

Jelasnya, ayat tersebut secara nyata merujuk kepada kes 'Aziyattun Nas' yang bermaksud tindakan menyakiti atau menyeksa sesiapa sahaja khususnya orang-orang beriman dan dikira berdosa besar di samping Allah mengecap orang-orang ini sebagai pembohong.

"Jadi, di mana wajarnya Perdana Menteri membuat kenyataan sebegini kepada umum sedangkan Al-Quran menyebut tentang pembohongan dan dosa besar. Ini membuktikan suatu kezaliman yang nyata dilakukan," sambungnya lagi.

Dr Haron ditemui selepas meyampaikan amanat sempena pilihanraya umum akan datang kepada jentera pilihanraya PAS di semua peringkat dari seluruh negeri Perlis. Majlis tersebut berlangsung di Balai Islam MADI, Markas Tarbiyah PAS Perlis di Jejawi Dalam dekat sini.

Friday, December 21, 2007

Dr Haron Din mahu jentera pilihanraya PAS masuk 'gear lima'

ARAU, 18 Dis - Jentera pilihanraya PAS di semua peringkat kini harus berada pada tahap persediaan yang paling maksimum kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Menurutnya, apabila gendang pilihanraya sudah mula dipalu maka tahap persediaan dan cara bekerja di dalam jemaah perlu berubah dan dipertingkatkan segera.

"Dalam keadaan sekarang di setiap peringkat sepatutnya sudah bersiap siaga, 'alert' dan dipacu pada tahap gear lima," katanya.

Katanya lagi, jentera pilinhanraya mengandungi dua elemen iaitu jentera atau "machinery" dan sistem yang mana kedua-duanya perlu berjalan selaras.

Jelasnya, jentera parti adalah mekanisme yang digerakkan oleh petugas-petugas yang harus berada dalam keadaan terbaik sama ada dari segi persediaan mental atau fizikal.

Manakala sistem pula katanya adalah elemen yang menentukan pergerakan jentera yang diatur oleh pimpinan parti.

"Ibarat sebuah kereta, ada skru, ada kipas, ada ekzos, semua perlu berfungsi berpandukan sistem yang diatur. Kalau jadi ekzos tu kenalah besedia untuk kena panas.

"Begitulah kita dalam jemaah ini, kita ada ketua dan ada pengikut. Jangan pula nanti pengikur nak buat kerja ketua dan sebaliknya ketua buat kerja orang bawah, jadi celaru dan haru-biru," ujarnya.

Selain itu katanya, setiap petugas pilihanraya juga perlu memahami undang-undang pilihanraya khususnya bagi mereka yang akan bertugas di bilik-bilik pembuangan undi sebagai Polling Agent dan Counting Agent (PACA).

"Pengalaman piliharaya 2004 memerlukan persediaan yang lebih rapi. Ada masanya kita peru bertegas dengan sebarang perkara yang tidak betul," sarannya.

Jelasnya lagi, PAS sentiasa membuat persediaan awal menjelang pilihanraya umum termasuk mengenalpati calon-calon yang layak bertanding.

"Kita tidak ada lobi-melobi untuk jadi calon, yang pentingnya calon dipilih berdasar pelbagai kriteria tertentu. Bukan macam parti lawan kita yang masih celaru," katanya.

Dr Haron berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena pilihanraya umum akan datang kepada jentera pilihanraya PAS dari seluruh negeri Perlis Sabtu lalu. Majlis berlangsung di Balai Islam MADI, Markas Tarbiyah PAS Perlis di Jejawi dalam dekat sini yang dihadiri petugas pilihanraya di peringkat negeri, kawasan, Dun dan cawangan-cawangan.

Pengumuman

MAJLIS SOLAT HAJAT & CERAMAH PERDANA
BERSAMA :
HAJI MOHAMAD SABU
(NAIB PRESIDEN PAS)
TIAN CHUA
(KETUA PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT)
TARIKH:
23 DISEMBER 2007
HARI :
AHAD
MASA:
SOLAT HAJAT (SELEPAS SOLAT ISYAK)
CERAMAH: 9.30 malam
TEMPAT:
MARKAS TARBIYAH PAS PERLIS
MADI, KG JEJAWI DALAM, ARAU PERLIS
SEMUA LAPISAN MASYARAKAT DIJEMPUT HADIR

Sunday, November 18, 2007

Polis rampas baju Bersih, sekat tujuh buah bas dari Perlis

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Polis mula bertindak memprovokasi peserta himpunan yang menaiki bas dari Perlis ke Kuala Lumpur sejak malam tadi.

Laporan dari peserta di Perlis menyatakan tiga buah bas pertama ditahan di sempadan Kedah dekat Ulu Pauh, sementara dua buah bas dari Dun Sanglang pula ditahan di Jelempok.
Bas-bas tersebut memulakan perjalanan malam tadi.

Hanya enam buah bas yang bertolak awal pagi tadi sahaja yang berjaya melepasi sekatan.
Dalam sekatan itu tiga helai kemeja-t warna kuning yang mempunyai lambang Bersih dirampas.
Sementara itu empat buah bas ditahan permitnya mengakibatkan kira-kira 160 orang peserta tersadai di sempadan Kedah/Perlis.

Beberapa peserta himpunan terpaksa mengambil inisiatif pulang mendapatkan kereta persendirian untuk memulakan semula perjalanan ke Kuala Lumpur.

Harakahdaily juga difahamkan sekatan juga dibuat di Tol Sungai Buloh dan Tol Juru bagi menyekat bas-bas yang memuatkan peserta himpunan.

Thursday, November 08, 2007

Melayu tidak bodoh, tetapi Umno yang sering memperbodohkan mereka!

KANGAR, 7 Nov (Hrkh) - Orang Melayu memang tidak "bodoh atau lemah" seperti kata Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi sering diperbodohkan oleh pemimpin parti yang mengaku memperjuangkan nasib mereka.

"Sudah lebih 50 tahun negara kita merdeka tetapi orang-orang Melayu terus diperbodohkan oleh pemimpin Umno," kata Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim.

Beliau mengulas kenyataan Abdullah yang disiarkan baru-baru ini oleh beberapa laman web berita asing termasuk oleh Agensi Berita Peranchis (AFP) yang bertajuk "Malays 'not stupid or weak' and must become competitive".

Begitu juga, Bernama melaporkan Abdullah mahu orang Melayu menjadi lebih yakin kepada diri sendiri dan menghapuskan perasaan bimbang yang menguasai pemikiran mereka selama ini.

Menurut Hairy, sepanjang Umno menjadi tunjang pemerintahan negara, banyak keistimewaan orang Melayu seperti bahasa, tanah rizab dan biasisiwa semakin terhakis.

"Apa yang tinggal kepada orang Melayu sekarang? Umno dah buang satu-persatu, daripada bahasa, biasiswa sampailah kepada agama, semuanya semakin hancur.

"Umno jugalah yang memesongkan sejarah kemerdekaan negara dengan menafikan peranan pejuang kemerdekaan tulen dan para ulama.

"Tapi tengoklah esok bila Umno bersidang, merekalah yang paling lantang menyatakan mereka memperjuangkan nasib orang Melayu," katanya.

Mengulas lanjut, Hairy melihat orang-orang Melayu sentiasa diajar dengan budaya mengharap oleh pemimpin Umno sehingga menjadikan mereka terpinggir dan kurangnya daya saing dengan bangsa lain.

"Orang Melayu sering diberikan pengharapan tinggi melalui pelbagai projek RMK-9, koridor-koridor pembangunan dan sebagainya. Jadi orang Melayu akan kata kita kekalkan Umno/BN memerintah walhal tidak ada apa sangatlah yang mereka perolehi.

Kata Hairy, orang Melayu diperbodohkan dengan lebih teruk ialah semasa musim pilihan raya.

"Bila tiba musim nak mengundi, mereka sering diumpan dengan pelbagai janji pembangunan, sogokan kebendaan hatta janji memberikan geran tanah. Tapi akhirnya, yang dapat hanyalah duit RM50.00 dan kain pelikat," jelasnya.

Baginya, beliau bersetuju dengan kenyataan Abdullah yang mahu orang Melayu lebih yakin dan menghapuskan rasa bimbang.

Namun soalnya, siapakah yang membangkit rasa bimbang dan takut khususnya untuk orang Melayu lebih berubah selain daripada Umno yang menjadi parti pemerintah di negara ini.

"Bukan kepada orang Melayu sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia diajar dengan budaya takut. Tambahan lagi, penyebaran maklumat kepada rakyat dibuat secara berat sebelah melalui media arus perdana.

"Rakyat di negara ini hanya disogok dengan maklumat yang lebih memihak kepada parti pemerintah sedangkan pemimpin negara menyatakan negara in mengamalkan demokrasi," tempelaknya.

Katanya, dengan maklumat yang berat sebelah ini dan ruang demokrasi yang sempit khususnya untuk parti pembangkang, maka rakyat tidak berpeluang untuk membuat penilaian secara bijak.

"Sebab itu rakyat khususnya orang Melayu mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin negara. Buatlah apa saja,naik harga minyak, harga barang,naikkan tol dengan sedikit penjelasan di media, rakyat percaya," sambungnya.

Bagaimanapun kata Hairy, orang Melayu sudah semakin cerdik dan mula celik maklumat, maka pemimpin Umno tidak selamanya akan terus memperbodohkan mereka.

"Kini orang dah mula sedar bahawa Umno adalah parti yang gagal untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Akan sampai masanya nanti mereka akan ditolak oleh bangsa mereka sendiri," ujarnya. - mr

Peluru Radzi kena tepat batang hidung Shahidan


KANGAR, 1 Nov (Hrkh) - "Perang mulut" antara Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim dan Menteri hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad berkaitan isu pengambilan pekerja asing di Perlis nampaknya semakin memuncak.

Semalam Radzi mendedahkan jumlah pekerja asing yang berdaftar di Perlis adalah seramai 5,480 orang termasuk lima orang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di rumah Shahidan sendiri.

Selain itu, ramai pekerja asing khususnya dari Thailand yang memonopoli Arked Niaga Padang Besar serta terdapat seramai 12 orang yang bekerja di ladang anggur milik kerajaan negeri.

Kata Radzi lagi, ramai pekerja dari Thailand juga bekerja di sektor perladangan di Perlis seperti di ladang tebu, Felcra Lubuk Sireh, Felda Rimba Mas dan Felda Mata Ayer.

Laporan Harian Metro hari ini yang bertajuk "Radzi Tempelak Shahidan" menyebut Shahidan perlu memecat lima orang pembantu rumahnya dan digantikan dengan rakyat tempatan sekiranya beliau bertegas tidak mahu menerima pekerja asing di Perlis.

Radzi turt mempertikaikan mengapa Shahidan menggunakan pekerja dari Indonesia berbanding pekerja rakyat tempatan.

"Ramai lagi ibu tunggal yang boleh bekerja, dia kena tunjuk contoh yang baik," kata Radzi seperti yang dilapor Harian Metro.

Laporan akhbar minggu lalu menyiarkan kenyataan Shahidan yang tidak mahu menggunakan tenaga pekerja asing di Perlis, sebaliknya akan menggunakan tenaga kerja tempatan termasuk untuk projek pembangunan Wilayah Pembangunan Ekonomi Utara (NCER).

Bagaimanapun, respons Radzi kemudiannya menyatakan bahawa negeri-negeri tidak ada hak untuk menolak kehadiran pekerja asing.

Utusan Malaysia Selasa lalu memetik kenyataan Shahidan yang tetap menolak penggunaan pekerja asing di semua sektor industri.

"Cikgu-cikgu pencen misalnya boleh terus bekerja selepas bersara daripada duduk melahu di rumah," kata Shahidan.

Mengulas isu ini, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melihat di sebalik "perang mulut" kedua-dua pemimpin Umno ini ada jurang perpecahan di antara mereka khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun mereka kata tidak ada apa kekeruahan, tapi melihat kepada apa yang sedang berlaku, kita jangkakan akan ada perubahan dalam pucuk pimpinan Umno di negeri ini. Nampak macam Shahidan ni ada potensi nak rebah," katanya.

Sementara itu, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin melihat kewajaran di sebalik apa yang disebut oleh Radzi.

Katanya, kenyataan yang diberikan oleh Radzi memang jelas dan Shahidan perlu bercakap berdasarkan fakta yang ada dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang merapu seperti yang selalu dibuatnya.

"Jangan hanya pandai bercakap, sebaliknya perlu berasaskan realiti. Ini dia sendiri pun pakai pekerja asing. Peluru Dato' Radzi memang kena tepat atas batang hidung Shahidan.

"Pemimpin Umno ni memang pandai cakap bab pekerja asing, tapi hakikatnya merekalah yang menguasai perniagaan membawa masuk pekerja asing," jelasnya. - mns

Tuesday, November 06, 2007

Jawatan Menteri Besar mula meresahkan Shahidan

KANGAR, 31 Okt - Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim kini seakan-akan takut kepada bayang-bayangnya sendiri.

Beliau yang diuar-uarkan sebagai salah seorang daripada Menteri Besar yang bakal digantikan selepas pilihan raya umum akan datang kini tidak senang duduk apabila mendapati adanya calon-calon yang disebut-sebut menggantikannya.

Cakap-cakap politik di Perlis mengambarkan bahawa ketiga-tiga orang ahli parlimen dari Perlis merupakan calon utama yang disebut-sebut untuk menggantikan Shahidan.

Mereka ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kangar; Menteri Sumber Asli, Dato' Azmi Khalid (Padang Besar) dan Dato' Seri Utama Syed Razlan Jamalullail (Arau).

Ternyata dari pemerhatian orang ramai, sejak gendang pilihan raya mula dipalu beberapa bulan yang lalu, Shahidan sudah mula gelabah dan cuba untuk menonjolkan dirinya sedaya upaya mungkin di hadapan pimpinan tertinggi Umno dan kepada rakyat Perlis sendiri.

Terkini berlakunya perang mulut antara Shahidan dan Radzi berkaitan kemasukan pekerja asing khususnya untuk projek pembangunan Wilayah Ekonomi Utara.

Shahidan menyatakan bahawa Perlis tidak akan menerima sebarang kemasukan pekerja asing sedangkan Radzi pula menyatakan bahawa negeri-negeri tidak ada hak untuk menolak pekerja asing.

Percanggahan ini dilihat lebih bersifat peribadi meskipun isunya melibatkan perkara yang lebih besar membabitkan kepentingan negara.

Seorang veteran Umno memberitahu, Shahidan sendiri duduk tak senang semasa bulan sambutan kemerdekaan yang baru lalu.

"Dia suruh perbanyakkan kain rentang yang mempunyai gambarnya apabila mendapati adanya beberapa helai kain rentang Radzi yang dipasang sekitar Kangar," jelasnya.

Selain itu, beberapa faktor lain juga dilihat menyebelahi Radzi.

Antaranya, Radzi adalah Setiusaha Auung Umno dan beliau juga adalah lebih rapat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, menurut seorang sahabat Radzi, ada juga beberapa faktor yang tidak menyebelahi Radzi.

"Radzi dilihat sudah masuk ke tahap veteran Umno dan dia sendiri katanya tak mampu buat macam Shahidan kalau jadi MB. Tabur duit rata negeri," katanya.

Sementara itu, bagi Azmi Khalid pula, beliau pun turut dikategorikan sebagai calon "favourite" juga untuk menduduki kerusi Menteri Besar Perlis.

Namun kata beberapa orang kuat Umno Padang Besar, Azmi tidaklah sepopular Radzi walaupun beliau juga dikatakan "berhajat" dengan jawatan tersebut.

Seorang lagi calon yang disebut merupakan calon "DiRaja" dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Selain beliau merupakan adinda kepada Tuanku Raja Perlis, Syed Razlan dilihat seorang yang dihormati dan mempunyai ramai pengikut khususnya di Parlimen Arau.


Beberapa bulan lalu, Shahidan dikatakan pernah mengeluarkan arahan agar para pegawai kerajaan tidak menghadiri majlis yang dihadiri oleh Syed Razlan.


Kegelisahan Shahidan juga dapat digambarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Dalam rancangan wawancara agama bersama Menteri Besar di Perlis FM sehari sebelum hari raya, Shahidan meminta satu puak yang suka menurunkan banner hari raya beliau agar meminta maaf.


Tapi katanya, puak-puak tu bukannya orang PAS. Seminggu kemudian timbul pula kisah kain rentang Shahidan disaotaj lagi. Kali ini bukan setakat diturunkan tetapi juga dicarikkan pada muka beliau.

Keputusan kes rayuan peneroka Felcra diumum Januari 2008

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 29 Okt (Hrkh) - Keputusan kes rayuan kes peneroka Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar yang didengar di Palace of Justice, Putrajaya yang dijangka diumumkan 25 Oktober lalu ditunda ke 31 Januari tahun hadapan.

Kes ini yang dibicarakan sejak tahun 2000 lalu melibatkan sekumpulan 60 orang yang telah mencabar keputusan Kerajaan Negeri Perlis yang tidak mengiktiraf mereka sebagai peserta Felcra.

Rayuan dibuat setelah Hakim mahkamah Tinggi Kangar memutuskan kes ini ditolak pada Oktober tahun 2005.

Justeru peguam yang mewakili kumpulan ini, Thayalan Muniandy telah memfailkan rayuan berdasarkan fakta-fakta kes yang amat kukuh.

Pada 20 dan 21 Ogos lalu, rayuan kes ini telah didengar di Mahkamah Rayuan di hadapan hakim Dato' Zaleha Zahari, Dato' Abdul Malek Hj Ishak dan Dato' Md Raus Shaari.

Thayalan , Penasihat Undang-undang Negeri Perlis dan peguam Felcra telah menyampaikan hujah masing-masing. Bagaimanapun,pihak kerajaan Negeri Perlis telah memohon untuk memgemukakan hujah tambahan apabila mahkamah bersidang semula Khamis lalu.

Kesemua pihak yang terlibat juga telah dimaklumkan pada awalnya bahawa keputusan kes ini tidak akan dibuat semalam dan akan hanya diumumkan pada 29 November depan.

Namun, selepas sidang semalam, pihak kerajaan Perlis dan Felcra telah diarahkan untuk mengemukakan segala maklumat yang jelas tentang kes ini kepada para hakim sebelum keputusan dibuat Januari depan.

Pihak plaintif juga akan mengemukakan maklumat kes kepada para hakim walaupun tidak diminta untuk berbuat demikian bagu mengelakkan percanggahan fakta dengan pihak defendan. - mks.

Kalau Shahidan bukan Menteri Besar Perlis

Oleh Zolkharnain Abidin
Membaca wawancara dengan Menteri Besar Perlis di dalam Mingguan Malaysia 28 Oktober 2007 terasa seperti membaca wawancara dengan seorang 'ahli agama' tersohor, ditambah dengan penampilan fotonya yang sedikit berjanggut dan bermisai nipis yang mungkin bertujuan supaya kelihatan lebih serasi dengan penampilan seorang 'ahli agama'.


Penampilannya sebelum ini tidak begitu. Dia bermisai tebal dan tidak berjanggut dan kelihatan agak cengih. Ini adalah gaya baru Shahidan supaya dia kelihatan lebih Islamik.


Shahidan juga acap kali tampil dengan jubah terutamanya ketika berdamping dengan mufti mudanya. Penampilan berjubah ketika dia menghadapi Dato' Dr Haron Din dalam kempen pilihanraya 2004 yang lalu adalah perkara biasa.


Jubahnya mengalahkan jubah bekas calon PAS untuk Parlimen Arau itu. Namun, sehingga kini saya belum pernah nampak Shahidan menggayakan serban, menyampaikan kuliah pagi Jumaat di mana-mana masjid di Perlis atau mengimamkan solat sunat Tarawikh seperti bosnya PM Abdullah Ahmad Badawi.


Kalau dia melakukan begitu, pemimpin Umno Perlis yang lain akan terus menggigit jari untuk memanaskan kerusi MB Perlis kerana mereka semua dilihat tidak sinonim dengan penampilan 'orang agama' seperti Shahidan.


Shahidan lulus Bahasa Arab PMR


Wawancara ini menarik perhatian saya kerana Shahidan adalah pemimpin Umno yang diketahui umum bukan berlatar belakang pendidikan agama formal.


Saya tidak menafikan bahawa dia membaca buku-buku agama dan mendapat penjelasan mengenai perkara-perakara agama daripada mufti mudanya itu. Paling penting, dia adalah Ahli Majlis Tertinggi parti sekular Umno, Ketua Perhubungan Umno juga Pengerusi Barisan Nasional Perlis.


Saya sedikit pun tidak tertarik untuk memberi respon sekiranya individu yang diwawancarai itu adalah Dato' Dr Abdullah Mat Zin atau Dato' Dr Masyitah Ibrahim.


Namun, Shahidan yang lulus Bahasa Arab PMR, dilihat lebih terkehadapan bercakap topik agama berbanding kedua-dua pemimpin Umno tadi.


Saya percaya Shahidan akan lebih lantang bercakap mengenai agama kalau dia memegang potfolio Biro Agama Umno dan saya yakin usahanya untuk meng"Ahlus Sunnah"kan pemimpin Umno akan menjadi lebih berkesan.


Malah dia lebih lantang bersuara isu-isu agama berbanding PM Abdullah sendiri walau pun PM berdarah ulama.


Atas nama kembali kepada ajaran Rasulullah saw dan para sahabat, Shahidan pun dengan beraninya menghunus keris dengan satu misi besar, 'memerangi bidaah'. Keberanian Shahidan ini tentulah berasas kerana dia kini diapit oleh seorang mufti muda yang menyokong kuat Islam Hadhari.


Mufti muda ini kelihatan lebih gemar membangkitkan persoalan-persoalan kecil yang menjadi perselisihan para ulama mujtahidin yang pada pandangannya bercanggah dengan amalan Rasulullah saw.


Amalan membaca Yasin malam Jumaat, ber'usolli', tahlil arwah, berdoa beramai-ramai selepas solat diserang bertubi-tubi, seolah-olah itulah amalan yang meruntuhkan aqidah umat Islam hari ini.


Mereka yang mengamalkan itu semua pernah dilabel sebagai pendokong bidaah yang mewajarkan mereka di azab di akhirat.


Keberanian Shahidan sampai ketahap memperlekehkan para mufti negeri lain. Dia sanggup membawa mereka semua melawat Iran untuk membuktikan bahawa amalan agama di negeri mufti-mufti itu adalah sama dengan Syiah di sana.


Mereka juga digesa supaya tidak mengguna pakai mana-mana hadis tanpa merujuk mengenai statusnya. Wah, hebat. Mafhumnya, amalan para pembesar, Mufti, Kadhi dan rakyat negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Melaka bahkan Singapura juga seandainya republik itu masih di dalam Malaysia, bagi Shahidan adalah sama dengan Syiah di Iran.


Beliau juga mahu memastikan selepas ini semua AJK Bahagian Umno di Perlis juga adalah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Adakah mereka sekarang ini ada yang bukan begitu?

Semua tahu Umno parti sekular


Rakyat Perlis terutamanya pemimpin dan ahli Umno kenal benar dengan Shahidan. Mereka bukan sekadar mengenalinya sebagai orang nombor satu parti sekular Umno Perlis, malah lebih daripada itu. Mereka tahu latar belakangnya bahkan mereka saling berbisik sesama sendiri mengenai wataknya yang sebenar di belakangnya.


Mungkin ada mencium tangannya ketika menyalaminya, tetapi di belakangnya mereka siap mengasap keris untuk menjatuhkannya. Kalau Shahidan pakai serban sekali pun, mereka boleh membaca apa isi kepala Shahidan yang dibalut serban itu.


Kalau dia pakai jubah pun, mereka tahu irama degup jantung di dalam tubuhnya yang dibalut jubah itu.


Semua orang tahu juga, Umno pimpinan PM Abdullah Ahmad Badawi adalah parti sekular. Pemimpin parti sekular itu bukan sekadar menggadai maruah bangsa dan negara, tetapi maruah agama.


Pemimpin nombor satu parti sekular Umnolah yang memperkenalkan Islam Hadhari dan memaksa rakyat menerimanya, sehingga diterima oleh Samy Vellu dan Karam Singh Walia walau pun ditolak oleh Tun Dr Mahathir dan Allahyarham Tun Ghafar Baba.


Shahidan pula bermatian-matian untuk kembali kepada al-Quran dan hadith, jalan nabi dan jalan para sahabat.


Adakah Shahidan lupa, Islam Hadhari yang didokong bersama mufti mudanya itu, adakah bersumber daripada al-Quran dan sunnah? Adakah ia jalan para nabi dan sahabat? Bukankah Islam Hadhari adalah bidaah?


Umat Islam Malaysia hari ini berhadapan dengan pelbagai ancaman. Rasuah menjadi musuh nombor satu negara di samping penyalahgunaan dadah.


Gerakan memurtadkan atau merenggangkan umat daripada pegangan agama bergerak dengan tersusun. Jenayah semakin membimbangkan. Pelajar sekolah yang tidak tahu solat bahkan mengucap adalah kritikal. Sensitiviti umat terhadap agama makin menipis.


Bara konflik antara agama menanti hari untuk menyala. Sentimen perkauman semakin meruncing. Sistem pendidikan makin celaru. Alam sekitar makin punah.


Demokrasi dicabul. Para penguasa pula bingkas memperkemas langkah memenuhkan tembolok masing-masing.


Dalam situasi genting sebegini, Shahidan mengambil kesempatan melonjakkan populariti dirinya menjadi penentang apa yang dianggapnya sebagai bidaah, dengan alasan membawa masyarakat kembali kepada al-Quran dan sunnah. Yang rosak adalah enjin, tetapi yang dibaiki adalah tayar.
Besar sangatkah bahaya ber'usolli' berbanding bahaya rasuah? Keji benarkah tahlil arwah berbanding menolak hukum Allah?


Arak dan judi dijual secara terbuka di Kangar


Ramai bersuara mengenai salah guna kuasa pemimpin dalam pengurusan wang Baitul Mal Perlis, adakah berdoa beramai-ramai selepas solat lebih buruk daripada itu?


Shahidan seperti lupa, dalam keghairahannya itu, dia sepatutnya membetulkan dulu pemimpin nombor satu parti sekular Umno dengan memastikan PM Abdullah Badawi menyuruh isterinya menutup aurat.


Bukankah itu ajaran al-Quran? Shahidan juga perlu memastikan para perenang negara memakai pakaian mengikut landasan al-Quran kerana dia adalah Presiden Persatuan Renang Malaysia. Shahidan juga Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, atlit naungan persatuan itu macam mana?


Agaknya semua sudah bertudung seperti Siti Ruqaiya yang menjadi ratu pecut Sukan Aisa di Doha 2006 yang lalu? Apakah Shahidan tidak nampak, di Kangar masih bersepah dengan kedai empat nombor ekor dan judi toto? Adakah itu menepati al-Quran?


Arak dijual secara terbuka di berbagai premis perniagaan di bandar Kangar, adakah Shahidan perasan? Kalau Shahidan benar-benar serius untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah, mengapa tidak dibentangkan dan diluluskan di dalam Dewan Undangan Negeri Perlis undang-undang hudud dan qisas, selepas tiga penggal dia berkuasa? Bukankah kedua-duanya adalah undang-undang al-Quran dan menepati sunnah? Poooraahhhh!


Perkara-perkara yang menjadi perselisihan di kalangan para ulama mujtahidin semenjak ratusan tahun itu sengaja digembar-gemburkan di tengah-tengah masyarakat untuk melekakan dan mengalih perhatian mereka daripada realiti kehidupan.


Masyarakat sedang sakit tetapi mereka disuntik dengan ubat pelali oleh pemimpin parti sekular Umno. Mereka sakit dengan kenaikan harga barangan yang melampau, kos hidup yang semakin mencekik dan hak mereka yang dirampas.


Dalam masa yang sama pemimpin parti sekular Umno hidup maha mewah. Tol, tarif eletrik dan minyak sudah menyeringai siungnya untuk membaham rakyat Malaysia lagi pada tahun hadapan. Apakah Shahidan kisah dengan semua itu?


Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2006 yang mendedahkan mengenai penduduk Kampong Air Timbul, Kubang Tiga yang masih menggunakan air perigi dan hanya bergantung kepada paip tepi jalan untuk air minuman selepas 50 tahun merdeka dan selepas tiga penggal Shahidan jadi Menteri Besar, hanya dipandang dengan sebelah mata sahaja.


Bagi Shahidan mudah saja, panggil mereka semua ke rumahnya dan hulurkan RM100, selesai. Apa nak jadi dengan kehidupan mereka selepas itu, bukan lagi keutamaan. Yang penting selepas solat jangan baca doa beramai-ramai dan kalau ada kematian jangan adakan tahlil arwah.


Pemimpin Umno adalah pemimpin politik serba boleh, kerana parti sekular itu memang berkiblatkan faham Machiavelli.


Di mana ada peluang di situ mereka mencelah. Mereka selicin daripada belut, tetapi seganas singa.


Shahidan adalah jenis manusia sebegitu. Saya percaya, Shahidan tidak akan menjadikan apa yang dilakukannya sekarang sebagai keutamaan kalau dia menjadi Menteri Besar Selangor atau Melaka.


Dia akan menjadi orang yang paling kuat mempertahankan sekolah agama rakyat kalau dia menjadi MB Kelantan. Persoalan "khilafiah" ini tentu tidak dibangkitkan kalau dia jadi MB Kedah.


Tapi, dia adalah MB Perlis, dan kebetulan semenjak sekian lama Perlis dilihat dominan dengan persoalan itu. Shahidan perlu menjadi juara untuk memastikan survival politiknya terus bernafas.


Kalau Shahidan boleh melambung Tun Dr Mahathir setinggi gunung ketika orang itu berkuasa, dia juga boleh menjulang PM Abdullah Badawi sebegitu hari ini. Kalau Shahidan boleh menyepak meja atau menendang kerusi untuk memastikan dirinya terus terpilih sebagai Menteri Besar Perlis, adakah dia merasa bersalah untuk melakukan apa yang sedang dilakukannya pada hari ini?


Saya juga percaya Khir Toyo akan jadi seperti Shahidan kalau dia jadi Menteri Besar Perlis. Begitu juga Mohamad Hasan dari Negeri Sembilan.


Mereka semua sama seperti PM Abdullah Ahmad Badawi, pada awalnya berikrar memerangi rasuah habis-habisan tapi menikus apabila berhadapan dengan Musa Aman, Abdul Taib Mahmud dan Mohd Johari Baharom.

Pemimpin Umno seperti sesumpah, berkulit hijau bila berada dipohon berdaun hijau dan berkulit merah apabila berada dirimbunan daun merah. Jelas, kumpulan sesumpah inilah yang memperalatkan agama untuk kepentingan politik mereka.

Mereka bukan berpolitik kerana Islam dan demi Islam, tetapi berpolitik kerana kocek dan demi perut.
Penulis adalah Exco Dewan Pemuda PAS Pusat

Majlis rumah terbuka PAS Perlis meriah

KANGAR, 25 Okt - Majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS Perlis semalam mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Ribuan pengunjung yang terdiri daripada ahli dan penyokong PAS membanjiri tapak Kompleks PAS Perlis di Kampung Pondok untuk sama-sama memeriahkan majlis tersebut.
Walaupun cuaca agak mendung dan diselangi dengan gerimis, majlis yang bermula jam 2.00 petang itu tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.

Pimpinan PAS Perlis diketuai Pesuruhjaya, Ustaz Hashim Jasin mengambil peluang beramah mesra denga para pengunjung di samping menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.
Orang ramai dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti Sate, Nasi Impit, Ketupat, Tapai, Laksa dan Aiskrim dan selain Mee dan Koey Tiaw goreng yang dihidangkan panas.
Majlis rumah terbuka ini juga mendapat kunjungan tetamu istimewa apabila Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din turut meluangkan masa untuk hadir.

Pada tahun ini, PAS Perlis memilih untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di tapak kompleks PAS Perlis yang sedang dibangunkan.

Ini memandangkan kawasan Pejabat Perhubungan PAS Perlis yang sempit dan setiap kali diadakan majlis sedemikian keadaannya terlalu sesak dan mengganggu lalulintas. Bagaimanapun perpindahan ke lokasi baru ini memberikan lebih keselesaan kepada semua. - mks.

Monday, October 22, 2007

Pengumuman

Orang ramai adalah dijemput ke majlis rumah terbuka Aidilfitri PAS Perlis yang akan di adakan seperti berikut:

Tarikh : 24 Oktober 2007 / 12 Syawal 1428
Hari : Rabu
Masa : Mulai jam 2.30 petang
Tempat : Tapak Kompleks PAS Perlis, Jalan Kampung Pondok, Kangar (berhampiran Stadium Utama Negeri)

Sunday, October 21, 2007

Banyak masalah timbul kerana kerajaan 'mesra' pekerja asing - Anuar Tahir

Petikan Harakahdaily
BESERI,19 Okt (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, perlaksanaan sistem gaji minima kepada para pekerja peringkat bawahan boleh membantu mengurangkan penggunaan pekerja asing di negara ini.

Katanya, masalah lambakan pekerja asing yang hangat diperkatakan kebelakangan ini berpunca dari sikap kerajaan yang tidak "mesra rakyat" terhadap pekerja tempatan.

"Sebab itu sehingga kini kesatuan sekerja yang sudah lama memperjuangkan gaji minima masih pada tahap lama. Perdana Menteri pun belum bersedia berjumpa mereka untuk menyelesaikan isu tuntutan gaji minima ini," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Buruh dan Peneroka Bandar PAS Pusat melihat perlaksanaan sistem gaji minima akan membolehkan para pekerja tempatan mengisi peluang-peluang pekerjaan yang kini diidi oleh pekerja asing.

Menurutnya, pekerja asing datang dari negara yang miskin dan mereka akan sanggup melakukan apa saja pekerjaan di negara ini dengan gaji yang rendah yang pada mereka adalah tinggi jika dibandingkan di negara mereka.

"Bagi rakyat tempatan, tahap gaji yang diberikan oleh majikan di sesetengah sektor adalah terlalu rendah. Mereka tidak sanggup menerimanya memandangkan kos sara hidup yang tinggi," ujarnya.

Selain itu menurut Anuar lagi, faktor yang menyebabkan lambakan pekerja asing di negara ini ialah rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin negara.

"Kemasukan pekerja asing ini dikuasai oleh nereka yabf berotoriti, Ianya melibatkan syarikat atau agensi yang dimiliki kroni mahupun proksi kepada Pak Menteri. Mereka juga yang dapat permit yang lebih," katanya.

Selain itu katanya, kesan kemasukan terlalu ramai tenaga buruh asing ke negara ini sudah mulai dirasi dan kesanjangka panjangnya akan menjadi kebih teruk.

Baginya, pada masa ini kesan terhadap masyarakat sudah mulai dirasai dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah yang ditimbulkan oleh para pekerja asing di negara ini.

Begitu juga katanya, lambakan para pekerja asing juga merugikan negara dari segi pengaliran wang negara ke negara-negara luar dalam jumlah yang banyak.

"Namun kesan jangka panjangnya ialah rakyat negara in akan menjadi terpinngir dan kadar pengangguran rakyat tempatan akan meningkat. begitu juga dengan masalah keselamatan negara.

"Ambil contoh WPI di Johor. Kalau dah ramai rakyat asing seperti Singapura boleh bebas masu, ini akan memberi kesan kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Apa ertinya negara mewah dan maju kalau keselamatam terancam?," ujarnya.

Menurut Anuar lagi, untuk menyelesaikan masalah ini kerajaan perlu melihat balik perlaksanaan undang-undang dan penguatkuasaan dengan lebih mendalam dan serius.

Namun baginya, langkah untuk cuba mengurangkan jumlah pekerja asing dan menyelesaian isu ini tidak akan berjaya selagi mana rasuah dan penyelewengan terus berleluasa.

"Selagi duk tangkap-lepas, ada suapan sampai bila pun tak selesai. Nak kurangkan jumlah pun tak nampak jalan," katanya.

Anuar turut menyarankan pihak berkuasa yang terlibat dengan penangkapan dan pengusiran pendatang asing ke negara ini agar tidak menjalan operasi mereka sehingga melanggar lunas-lunas undang-undang.
"Kita perlu tangani dengan baik pengusiran pendatang ini. Imej negara perlu dijaga. Jangan ada sampai melanggar hak asasi dan menimbulkan masalah dengan negara jiran seperti Indonesia dan lain-lain," ujarnya.

Lebih 2 ribu solat Aidilfitri berama Dr Haron Din

JEJAWI, 1 Syawal 1428- Lebih dua ribu orang membanjiri Balai Islam MADI di Markas Tarbiyah PAS Perlis, Jejawi Dalam dekat sini untuk bersolat sunat Aidilfitri bersama-sama pimpinan PAS.

Seperti tahun-tahun yang lalu, solat sunat Aidilfitri pada tahun ini diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin, Timbalan-timbalan Pesuruhjaya dan pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri serta PAS kawasan-kawasan.
Solat sunat Aidilfitri telah diimamkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil ,manakala Dr Haron kemudiannya menyampaikan khutbah hari raya.






Selepas solat, orang ramai mengambil kesempatan berasalaman dan bermaaf-maafan dengan Dr Haron dan pimpinan PAS Perlis.


Dr Haron dan Ustaz Hashim kemudiannya menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Tuesday, October 09, 2007

500 fakir miskin dan anak yatim di Perlis terima bantuan PAS

Petikan Harakahdaily

KANGAR, 8 Okt (Hrkh) - Dalam keghairahan umat Islam membuat persediaan menyambut kedatangan Aidilfitri tahun ini, golongan yang kurang bernasib baik tidak dilupakan.

Justeru, PAS Perlis turut mengambil kesempatan meraikan golongan tersebut dengan menyampaikan sumbangan sempena menyambut Aidilfitri bagi meringankan serba-sedikit bebanan yang mereka tanggung.

Seramai lebih 500 orang fakir miskin dan anak-anak yatim di seluruh Perlis menerima sumbangan dalam tiga majlis yang diadakan serentak oleh PAS Kawasan Arau, Kangar dan Padang Besar.

Di Arau, majlis sumbangan Aidilfitri telah diadakan di kediaman Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang, Ustaz Hashim Jasin di di Batu 8 3/4 Jalan Sanglang dekat sini.

Seramai 200 orang fakir miskin dan 40 orang anak yatim dari seluruh kawasan Arau menerima sumbangan hamper dan duit raya.

Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yang turut hadir untuk menyampaikan sumbangan.

Sementara itu, di Markas PAS Kawasan Kangar seramai 85 orang fakir miskin dan 25 orang anak yatim telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh pimpinan PAS kawasan yang diketuai Yang DiPertuanya, Hairy Hashim.
Manakala di Padang Besar, seramai 200 orang fakir miskin dan 50 orang anak yatim diberikan sumbangan yang serupa dalam majlis yang diadakan di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Padang Besar di Santan.

Monday, October 01, 2007

PAS Perlis sedia bubur lambuk sepanjang Ramadan

KANGAR– Tradisi penyediaan bubur lambuk untuk orang ramai sempena bulan Ramadan diteruskan pada tahun ini oleh Badan Perhubungan PAS Perlis.

Sebuah hadis yang bermaksud, "Barangsiapa yang memberi makanan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka pahalanya seumpama orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikitpun" dijadikan iktibar untuk menjayakan program ini.

Justeru, Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) PAS Perlis dengan kerjasama kakitangan pejabat Perhubungan PAS Perlis menyediakan bubur lambuk untuk orang ramai sebagai juadah berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menurut Pengarah JKM PAS Perlis, Haji Abdul Karim Md Rejab, program tahunan ini telah berlangsung selama enam tahun dan kira-kira 800 bungkus bubur lambuk diedarkan setiap hari.

"Kita mengambil fadhilat Ramadan untuk sama-sama menyediakan makanan untuk umat Islam berbuka puasa," katanya.
Bubur lambuk dengan resepi "Kampung Baru" ini dimasak setiap hari bermula jam 10.30 pagi di perkarangan pejabat perhubungan negeri menggunakan dua buah periuk besar.

Ianya mula diedarkan kepada orang ramai mulai jam 3.00 petang.

"Sambutan orang ramai terutamanya kakitangan kerajaan dan swasta amat memberangsangkan. Setiap hari bubur yang disediakan habis dalam masa yang singkat," kata Abdul Karim lagi.

Dalam pada itu, selepas menganjurkan kursus pemyediaan bubur lambuk menjelang Ramadan ninggu lalu, kini hampir semua Dun di Perlis mengadakan program bubur lambuk.
Respon yang diterima menyatakan Bubur Lambuk PAS Perlis kini menjadi sebutan ramai dan rata-rata orang ramai memujinya apatah lagi apabila ada keselarasan resepi di seluruh negeri

Kerajaan perlu tutup ruang ke arah berlakunya jenayah - Ir Amiruddin

PADANG BESAR, 24 Sept (Hrkh) - Kes tragis lagi menyayat hati seumpama yang berlaku ke atas adik Nurin Jazlin Jazimin berlaku akibat kegagalan kerajaan untuk mengawal keadaan yang boleh membuka ruang berlakunya jenayah di dalam negara ini.

Antaranya ialah merebaknya budaya hedonisme atau hiburan melampau di kalangan masyarakat, demikian jelas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ir Amiruddin Hamzah.

Katanya, akibat budaya hedonisme inilah yang melahirkan pelbagai penyakit di dalam masyarakat seperti peningkatan kes jenayah, seks bebas, gangsterisme di sekolah, buang bayi, anak luar nikah dan murtad.

"Kerajaan sepatutnya kena tutup ruang-ruang yang boleh berputik dan berbuahnya jenayah di dalam negara ini. Islam pun mengajar begitu," katanya.

Mengulas tentang kes Nurin Jazlin, Amiruddin melihat kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara yang menuduh ibu bapa Nurin sebagai cuai tidak sepatutnya dibuat tatkala mereka masih meratap kehilangan anak yang disayangi.

"Kita mahu tahu apakah apakah tanggung jawab Polis DiRaja Malaysia (PDRM), untuk mewujudkan keadaan aman dan tenteram dalam kehidupan rakyat di negara ini?" soalnya.

Katanya lagi, kes Nurin ini sudah cukup untuk menggambarkan bahawa keadaan yang ada di dalam negara ini amat teruk.

"Sudah ada manusia yang cukup sakit dan tak tahu apa jenis orang atau binatang mereka ini," katanya.

Justeru katanya, pihak PDRM perlu melihat balik bagaimana mereka gagal menangani masalah jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

"Bagaimana dengan janji Pak Lah ketika mula menjadi Perdana Menteri 45 bulan dulu? Beliau berjanji untuk mengurangkan kadar jenayah lima peratus setahun sedangkan yang berlaku kini kadar itu meningkat 12 peratus," jelasnya.

Sebaliknya, menurut Amiruddin, polis telah digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya seperti mengganggu ceramah politik dan himpunan aman yang dianjurkan.

Katanya lagi, kes yang berlaku kepada Nurin bukannya berpunca dari satu budaya yang berlaku dalam sekelip mata sebaliknya lahir dari satu bentuk budaya yang sudah bercambah dalam masyarakat.

"Ini adalah kesannya apabila kita berpaling dari peringatan Allah. Kita akan tempuhi kesempitan dalam hidup.

"Mahukah kita esok berada dalam keadaan anak-anak kita tidak boleh keluar dan asyik berkurung di rumah kerana keadaan yang teruk di sekeliling kita?" katanya.

Amiruddin berucap dalam majlis ceramah sempena program Jelajah Ramadan yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat. Majlis tersebut di adakan di Markas PAS Kawasan Padang Besar, di Santan dekat sini malam tadi.

Laporan Audit: MB Perlis punyai tunggakan bil air lebih RM200 ribu


KANGAR- Menteri Besar Perlis telah tersenarai di antara 10 pengguna yang mempunyai tunggakan bil air paling tinggi di negeri Perlis, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara ke atas Pengurusan Bekalan Air oleh Jabatan Kerja Raya.

Laporan tersebut terkandung dalam Aktiviti dan Kajian Khas Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Perlis 2006 yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini.


Dalam Jadual 27 laporan tersebut, setakat awal Mei 2007 Menteri Besar Perlis masih mempunyai tunggakan sebanyak RM223,045.00 dan menduduki tempat kedua selepas Persatuan Bolasepak Perlis yang mempunyai tunggakan sebanyak RM614,189.00.


Antara pengguna lain yang tersenarai ialah Majlis Perbandaran Kangar (RM250,281.00), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (RM236,370.00), Universiti Institut Teknologi MARA (RM197,674.00) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis (RM117,162.00).


Turut tersenarai ialah sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Umno Perlis, Konsortium Bintong Sdn. Bhd dengan jumlah tunggakan RM123,115.00 dan dua orang individu yang jumlah tunggakan mereka sebanyak RM232,647.00.


Jumlah tunggakan melibatkan 10 pengguna tersebut berjumlah RM2.11 juta.


Menurut laporan tersebut, jumlah tunggakan juga telah meningkat berbanding tahun lalu dari jumlah RM1.03 juta kepada RM3.31 juta.


Laporan Audit juga mendapati hasil perolehan dari jualan air merupakan penyumbang utama kepada hasil kerajaan Negeri Perlis iaitu sebanyak 18 peratus bagi tahun 2004, 15 peratus (2005) dan 16 peratus (2006).


Jabatan Audit menyimpulkan bahawa tindakan serta operasi penguatkuasaan yang lebih berkesan dan sistematik perlu diambil untuk mengurangkan tunggakan hasil yang kian meningkat pada setiap tahun.

Monday, September 03, 2007

Wajib menentang pemerintah jika mereka zalim - Mohamad Sabu

SIMPANG EMPAT, 31 Ogos - Konsep merdeka yang sebenarnya ialah mengubah amalan manusia menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah bukan sekadar menentang penjajah, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Begitu juga katanya, sekiranya dulu orang putih datang ke negara ini dan membawa Islam rakyat tidak perlu melawan tetapi apabila mereka memperhambakan rakyat tempatan maka sebab itu mereka ditentang.

Katanya lagi, Islam dikembangkan dengan memerdekakan sesebuah negeri melalui konsep membawa manusia dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah.

"Tentera Islam dulu masuk untuk membebaskan sesebuah negeri dari pemerintah yang zalim dan mengajak manusia menyembah Allah.

"Kalau yang memerintah itu zalim wajib ditentang".

"Macam tulah juga Umno yang memperhambakan kita dengan menutup demokrasi dan menekan kita, wajib kita melawan mereka?" katanya ketika berceramah di Kampung Sungai Padang dekat sini 29 Ogos lalu.

Menurutnya, konsep kemerdekaan sebegini lah yang tidak diajar kepada rakyat di negara ini sebaliknya sejarah kemerdekaan amat diselewengkan.

"Bila nak sambut merdeka hanya ditunjukkan pemimpin Umno sahaja sedangkan perjuangan untuk kemerdekaan sudah bermula sebelum adanya Umno mahupun PAS,"jelasnya.

Jelasnya, pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tok Janggut, Mat Kilau atau Dato' Bahaman dan kemudiannya Dr Burhanuddin AL-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan Ahmad Boestamam yang keluar masuk penjara tidak langsung ditonjolkan.

"Sambutan kemerdekaan seolah-olah sambutan ulang tahun Umno. Kalau diletakkan tokoh-tokoh seperti disebut tadi baru terpanggil untuk kita sambut bersama.

"Mereka inilah yang meniupkan semangat dan laungan merdeka bukannya Umno. Umno masa tu hanya sebut 'Hidup Melayu'," katanya.

Turut berceramah ialah Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin, Koordinator Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi, Anuar Tahir dan Ketua Penerangan Keadilan Perlis, Keria Senawi.
CERAMAH
DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN
(Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat)


Tarikh:
5 September 2007 (Rabu)

Tempat:
Markas PAS Bintong Barat
Jalan Wang Ulu, Bintong, Kangar, Perlis


Masa: 9.30 malam

SEMUA LAPISAN MASYARAKAT DIJEMPUT HADIR

Tuesday, August 28, 2007


CERAMAH PERDANA


TUAN HAJI MOHAMAD ABU

(NAIB PRESIDEN PAS)


bersama


YB USTAZ HAJI HASHIM JASIN

Pesuruhjaya PAS Perlis


&


TUAN HAJI MOHD ANUAR TAHIR

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat


Tarikh: 29 Ogos 2007 (RABU)

Tempat: Kg Sungai Padang, Simpang Empat, Perlis

Jam: 9.30 malam


SEMUA LAPISAN MASYARAKAT DIJEMPUT HADIR

Sunday, August 19, 2007

IKLAN CERAMAH IJTIMAK PAS PERLIS KE 11


Shahidan bakal hilang jawatan selepas Pilihan Raya Umum?

KANGAR, 14 Ogos - Pengaruh Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim sudah mula berkurangan khususnya dari golongan pertengahan yang termasuk di kalangan ahli dan kepimpinan Umno sendiri.

Baru-baru ini dilaporkan, Shahidan telah tersenarai sebagai antara Menteri Besar yang bakal digantikan pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam ruangan undian online di lamanweb AnakPerlis.com pula, Shahidan ternyata ditolak sebahagian besar para responden yang telah mengundi.

Dalam undian yang bertajuk "Setujukah anda jika Shahidan terus menjadi MB Perlis" itu lebih 70 peratus daripada 214 orang responden mengatakan tidak bersetuju dan hanya lebih 29 peratus yang bersetuju.

Dalam ruangan forum di web yang sama, beberapa topik berkaitan dibincangkan oleh para pengunjung seperti "Siapa Yang Layak Ganti Shahidan?", "Berapa lama lagi Shahidan boleh bertahan?" dan "Perubahan politik di Perlis".

Turut dibincangkan ialah beberapa nama tokoh politik yang disebut-sebut bakal menggantikan Shahidan sebagai Menteri besar.

Ternyata forum ini memberi ruang yang luas untuk orang ramai menyuarakan pendapat masing-masing tanpa mengira fahaman politik.

Komen-komen yang diberikan pula berdasarkan senario yang berkisar sekitar perkembangan politik semasa di negeri ini khususnya dan di seluruh negara amnya.

Mengulas perkara ini, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil berkata, senario ini sebagai satu gelombang perubahan yang bakal melanda dalam perkembangan politik di Perlis.

Katanya, bukan pihak pembangkang sahaja yag menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Shahidan malahan di kalangan orang Umno sendiri pun begitu.

"Dia (Shahidan) nampak macam dah hilang fokus terhadap pentadbiran di negeri ini. Kadang-kadang dia suka bangkitkan benda kecil seperti perkara remeh-temeh tentang agama sedangkan banyak lagi benda besar yang perlu diambil perhatian,"katanya.

Tambahnya, sikap Shahidan yang hanya suka menunjuk-nunjuk atau mengungkit-ungkit tentang kebaikan atau sumbangan yang diberinya menjadikan orang ramai semakin jelik dengannya.

"Rakyat juga melihat bagaimana banyak projek di negeri ini yang terbengkalai dan membazir, kilang-kilang sudah banyak yang menutup operasi dan banyak projek hanya diberikan kepada kroni beliau.Orang ramai sudah mula hilang keyakinan kepadanya," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim melihat hasil undian yang dijalankan oleh lawan web AnakPerlis.com ini sebagai satu penolakan oleh golongan pertengahan.

Katanya, golongan ini yang terdiri dari mereka yang berpendidikan dan terdedah kepada maklumat dari pelbagai sumber mampu melakukan perubahan politik di negeri ini.

"Mereka sudah sedar akan pelagai kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran negeri ini. Meskipun sebahagian daripadanya adalah orang Umno sendiri tapi mereka boleh berfikir dan boleh membuat perubahan,"katanya

PAS Perlis anjur Ijtimak 23-26 Ogos

KANGAR, 11 Ogos - Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis akan menganjurkan Ijtimak PAS Perlis Kali ke-11 dari 23 Ogos hingga 26 Ogos 2007 ini bertempat di Markas Tarbiyah PAS Perlis, Jejawi Dalam dekat sini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim, ijtimak ini adalah program tahunan PAS Perlis yang dilangsungkan setiap tahun sejak tahun 1997.

Program bermula dengan majlis pra-ijtimak pada bermula pada 22 Ogos dengan dengan program bacaan Yaasin dan solat hajat yang bakal diadakan di Balai Islam MADI.

Seterusnya, persembahan dikir barat dari Kelantan akan diadakan bertempat di Dataran MADI.
Majlis perasmian Ijtimak akan disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa pada 23 Ogos. Beliau dijadualkan berceramah bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir.

Pada 24 Ogos, slot ceramah akan diisi oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Manakala pada 25 ogos, Exco Kerajaan Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Abdullah akan berceramah bersama dengan Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Saifuddin Nasution.

Majlis perasmian penutupan Ijtimak akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa pada 26 Ogos.

Beliau akan berceramah bersama dengan Dr Mariah Mahmud sempena program "Kembara Kemerdekaan".

Antara aktiviti yang bakal memeriahkan ijtimak pada tahun ini ialah Sukan Pemuda, pelajar sekolah dan PASTI; aktiviti Muslimat, gerai dan expo, khidmat masyarakat, pemerikasaan kesihatan percuma serta pertandingan pidato kemerdekaan.

Bagi mereka yang ingin berniaga pula boleh membuat tempahan gerai dengan menghubungi Ustaz Yusuf Dak di talian 013-5938274. Untuk keterangan lanjut atau sebarang sumbangan sila hubungi talian 04-9761836.

Sunday, July 22, 2007

CERAMAH


PENGUMUMAN PROGRAM


KULIAH PERBANDINGAN AGAMA
OLEH DATO' DR HARON DIN
(TIMBALAN MURSYIDUL AM PAS)
28 JULAI 2007 (SABTU)

SELEPAS SOLAT MAGHRIB

DI BALAI ISLAM MADI, JEJAWI DALAM


SELEPAS ITU ADA


PROGRAM MAKAN PULUT DURIAN
Bersama Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
( Presiden PAS )
&
Dato' Dr Haron Din

ANJURAN

Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah (MADI)

DERMA RM3.00 UNTUK DANA MADI
(Durian Special dari Batu Kurau)



Kemudiannya ada Ceramah:
TUAN GURU DATO' SERI HAJI ABDUL HADI AWANG
(PRESIDEN PAS)
DI DATARAN MADI
JAM 9.30 MALAM









Orang cerdik tidak mudah dipengaruhi media arus perdana - Anwar


Petikan Harakahdaily

BESERI, 21 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato' Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat untuk memilih menjadi orang cerdik dan tidak mudah terpengaruh dengan media yang digunakan untuk menipu rakyat.

Katanya, orang yang cerdik tidak akan percaya seluruhnya dengan sebarang dakyah yang disebarkan oleh media arus perdana yang cuba memperbodohkan rakyat.

"Orang yang cerdik akan menang, tapi yang kurang cerdik akan kalah dengan penipuan," ujarnya.

Anwar juga mengingatkan para kakitangan kerajaan yang bakal menerima kenaikan gaji pada bulan ini agar turut menjadi golongan yang cerdik.

"Kalau naik gaji, harga barang tak naik baru kita seronok. Tapi kalau gaji naik, barang pun naik, minyak pun naik kita seronok, itu tidak cerdik namanya," ujarnya.

Menurut Anwar, akhbar dan media cetak milik kerjaan Umno/BN hanya menghebahkan perkara yang baik tentang kerajaan dan perkara yang buruk tentang parti pembangkang.

"Membaca Utusan atau menonton RTM tidak akan membuatkan orang cerdik. Tidak ada yang lain yang disiarkan melainkan apa yang ada mengikut kerangka pemikiran Umno/BN.

"Mereka tidak memberikan gambaran yang betul. Kalau TV3 tunjuk benda yang betul tentang penyelwengan atau rasuah sudah tentu kalau bulan depan berlaku pilihan raya Umno akan kalah," jelasnya.

Anwar mengingatkan bahawa menjelang pilihan raya akan datang, kisah orang-orang PAS atau PKR yang keluar parti akan diulang-ulang oleh media.

Beliau menyingkap sejarah semasa pilihan raya umum tahun 1969 di kawasan Parit, Perka di mna wakil pAS, Cikgu Hashim Gera menentang Tan Sri Hussin Nordin dari Umno.

"Semasa itu, Tan Sri Hussin adalah Pengerusi Utusan Melayu dan tempoh berkempen adalah sebulan. Akhbar digunakan untuk menyebar dakyah orang keluar PAS dan masuk Umno.

"Setiap hari diberitakan ratusan orang keluar PAS masuk Umno. Sampai dekat hari mengundi bila dikira hampir 10 ribu sudah keluar PAS sedangkan ahli di situ ada 600 orang sahaja. Akhirnya Umno kalah dalam piliha raya tersebut," jelasnya.

Untuk itu katanya, kisah ini perlu diambil sebagai satu pengajaran agar PKR dan PAS dapat mengajar Umno/BN dalam pilihan raya akan datang untuk mengulangi balik pengalaman ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di program Sepetang Bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini.

Program anjuran Badan Perhubungan PKR Perlis itu dihadiri lebih 500 orang yang terdiri dari ahli dan penyokong PAS, PKR, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga ahli Umno.

Tuesday, July 17, 2007

Realisasikan tema "Merakyatkan Perjuangan" : PJ Perlis

Simbolik! Ustaz Hashim menyarungkan "vest" kepada seorang petugas PKU

KANGAR, 16 Jul - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menggesa para pemuda PAS agar menggiatkan usaha mendampingi orang ramai dalam usaha merealisasikan tema "Merakyatkan Perjuangan".


Katanya, pemuda PAS harus merubah strategi yang ada dengan menjadi lebih mesra rakyat dan berupaya menarik lebih banyak sokongan orang ramai kepada PAS khususnya di dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.


"Kita perlu jadi macam besi berani yang mampu menarik besi-besi yang lain, tapi jangan jadi besi buruk yang boleh ditarik oleh besi berani," katanya.


Selain itu, Ustaz Hashim menasihatkan para amilin pemuda agar tidak mudah termakan umpan yang dipasang oleh kerjaan Umno/Barisan Nasional (BN).


"Kerajaan yang ada sekarang ialah kerajaan yang suka menabur kebendaan kepada rakyat, jangan kita terpengaruh atau termakan umpan ini.


"Tapi jadilah seperti apa yang Tok Guru Nik Aziz sebut, bagi beras tanak, bagi kopi bancuh, bagi gula kacau, tapi prinsip perjuanga tidak digadai dengan semudahnya," ujarnya.


Beliau juga mengingatkan para pemuda bahawa golongan sasar perlu didekati, contohnya orang-orang tua di kampung yang kurang mendapat maklumat selain daripada radio dan tv.


"Mereka ni surat khabar pun tak baca, apatah lagi nak baca Harakah. Jadi mereka perlu didampingi dengan baik dan diberikan maklumat. Kita tak risau sangat dengan golongan pertengahan yang sudah celik ilmu dan celik maklumat," katanya lagi.


Ustaz Hashim berucap kepada para petugas pemuda dalam majlis pentauliahan Pasukan Kerja Utama (PKU) Pemuda PAS Perlis di Dewan Dato' Fadzil Noor, Balai Islam MADi dekat sini malam tadi.


PKU adalah istilah yang digunakan di Perlis sama seperti di tempat lain bagi Unit Kerja Jemaah (UKJ). Dalam majlis tersebut, 10 orang pemuda dari setiap Dun dalam negeri Perlis ditauliahkan sebagai anggota PKU yang bakal menjadi petugas utama dalam PRU akan datang.

RESPON ANGKATAN MUDA KEADILAN PERLIS BERKAITAN KENYATAAN MEDIA KHAIRY JAMALUDDIN ("KUBURKAN PKR")

Kenyataan Media
15 Julai 2007

Angkatan Muda KeADILan Rakyat Negeri Perlis (AMK) memandang serius tentang kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin yang disiarkan dalam Utusan Malaysia Sabtu, 14 Julai 2007 sebagai suatu kenyataan dangkal yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

AMK Negeri Perlis ingin menyatakan bahawa persoalan sesiapa sahaja ahli Parti keADILan Rakyat (PKR) yang masuk atau keluar parti itu adalah suatu perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana parti politik. Walaubagaimanapun, kita semua sedia maklum bahawa media arus perdana memang diarahkan oleh pihak tertentu untuk menyiarkan berita "sebahagian kecil" ahli PKR keluar parti, sedangkan ramai lagi ahli baru yang menyertai PKR langsung tidak akan disiarkan sama sekali. Dalam Umno sekalipun, ramai ahli parti berkenaan yang mengisytiharkan diri keluar dari Umno, namun ianya tidak didedahkan oleh media berkenaan.

Kami berpandangan bahawa Khairy tidak perlu bersusah payah untuk menguburkan PKR dalam pilihanraya umum yang akan datang, sebaliknya beliau harus memastikan supaya karier politik beliau sendiri tidak terkubur di dalam Umno terutama sekali dalam pemilihan Umno yang khabarnya akan diadakan pada tahun hadapan.

Awal-awal lagi kita semua sedia maklum terdapat beberapa cawangan Pemuda Umno di bahagian Rembau yang beliau sendiri menjadi ketuanya telah membuat usul undi tidak percaya kepada kepimpinan beliau tempohari sehinggakan mereka juga turut mencabar beliau untuk terus kekal bertanding sebagai ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau pada tahun hadapan.

AMK Negeri Perlis ingin menegaskan bahawa Khairy sepatutnya menghitung karier politik beliau sendiri di dalam Umno daripada bertungkus lumus untuk menguburkan PKR, samada kariernya akan kekal ataupun terkubur sama sekali setelah berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan negara pada suatu masa nanti.

Sejarah telah membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memegang jawatan selama 22 tahun yang diketahui mempunyai jasa yang besar dalam Umno pun boleh tewas dalam pemilihan G7 (perwakilan bahagian ke Perhimpunan Agung) Umno Bahagian Kubang Pasu pada tahun lepas setelah beliau tidak lagi mempunyai ‘kuasa’.

Apa sangatlah jika nak dibandingkan dengan Khairy yang baru setahun jagung berkecimpung sebagai menantu perdana menteri seterusnya dianugerahkan jawatan dalam Pemuda Umno setelah "kuasa" itu tiada suatu hari nanti.


Zamri Bin Sapar
Ketua AMK Negeri Perlis

Sunday, July 15, 2007

CERAMAH


SEPETANG BERSAMA ANWAR IBRAHIM DI PERLIS



Orang ramai dijemput ke program tersebut yang akan diadakan seperti berikut:

Tempat: Sekolah Rendah Islam Al-Taqwa, Beseri, Perlis.
Jam: 4.00 petang - 6.00 petang
Tarikh: 19 Julai 2007


Tetamu Khas: Dato' Seri Anwar Ibrahim

Untuk sebarang pertanyaan/maklum balas, sila hubungi:
017-471 4095 / 012-407 3996 / 019-434 2244

Thursday, July 12, 2007

Tambah anggota polis tidak jamin kadar jenayah turun

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 12 Julai (Hrkh) - Penambahan anggota pasukan polis di negara ini untuk menampung keperluan tidak menjamin penurunan kadar jenayah tanpa pelaksanaan syariat Islam, demikian kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hashim Jasin.

Beliau mengulas cadangan kerajaan menambah dua lagi pusat latihan polis bagi menampung pertambahan anggota seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin.

Ustaz Hashim yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis melihat cadangan sedemikian tidak perlu jika undang-undang yang berlandaskan syariat Islam dilaksanakan di negara ini.

"Sebagai contoh, jika undang-undang jenayah Islam dapat dilaksanakan, dengan sendirinya hampir keseluruhan daripada masalah jenayah dan gejala sosial dapat diselesaikan," katanya.

Menurutnya lagi, apabila tiada pelaksanaan syariat Islam, kadar jenayah di negara ini berada pada tahap yang begitu membimbangkan.

"Kita menerima padahnya apabila syariat Islam ditolak," ujarnya.

Beliau berpandangan bahawa penambahan anggota polis dengan dibina pusat latihan tambahan ini tidak menjamin akan menurunkan kadar jenayah mahupun gejala sosial di negara ini.

"Ubatnya hanya satu jalan sahaja iaitu laksanakan undang-undang berasaskan syariat Islam," tegasnya.

Ditanya sama ada pelaksanaan syariat Islam ini akan mendatangkan kekeliruan bagi negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, Ustaz Hashim tidak melihat ini sebagai satu masalah.

Baginya, jika pelaksanaannya dibuat dengan penjelasan secara menyeluruh kepada rakyat, lama-kelamaan ianya akan dapat diterima umum.

"Saya yakin jika kita buat undang-undang Islam dan rakyat diberi penjelasan terlebih dahulu, mereka akan dapat menerimanya. Kita ambil contoh hukum bunuh untuk pengedar dadah, kini semua orang sudah faham dan dapat terima. Buat dulu baru tahu, selain dari itu, pahala pun dapat," jelasnya.

Sikap masyarakat perlekehkan SAR dikesali

Petikan Harakahdaily
KANGAR, 6 Julai (Hrkh) - Masih ramai di kalangan masyarakat yang prejudis dan memandang rendah sistem pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Ini termasuk di kalangan mereka yang bergelar profesional di bidang pendidikan iaitu guru yang mengajar di sekolah-sekolah kerajaan.

Baru-baru ini berlaku insiden di mana pelajar SAR telah dipersendakan dan diperlekehkan oleh guru sekolah kerajaan ketika mereka menghadiri ujian Lisan Bahasa Inggeris untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pelajar-pelajar terbabit adalah dari Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiyah (MADI) yang telah menerima sidiran sinis dari guru yang mengendalikan ujian tersebut yang diadakan di Sekolah Rendah Stella Maris dekat sini.

Antara kata-kata yang dikeluarkan ialah, 'Buat apa mengaji di sekolah ni, bukan ada apa di sekolah tu', 'Mengaji di sekolah ni buka ada masa depan, esok nak kerja apa?'.

Menurut pelajar-pelajar yang terbabit, mereka juga diperlekehkan dengan keupayaan Bahasa Inggeris dengan kata, 'esok nak pi mengaji di Mesir macamana tak tahu Bahasa Inggeris, esok naik kapalterbang nak cakap apa?'.

Lebih menyedihkan terdapat juga kata-kata yang turut menghina dan memperlekehkan pelajar puteri yang memakai tudung labuh.

Menurut mudir MADI, Ustaz Zolkharnain Abidin, kejadian seumpama ini amatlah dikesali dan ini menunjukkan sikap prejudis mereka terhadap SAR.

"Ini berpunca dari sikap mereka sendiri yang memang anti kepada kewujudan sistem pendidikan di SAR," katanya.

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat melihat penarikan balik wang perkapita kepada SAR oleh kerajaan lima tahun lalu adalah penyumbang besar kepada sikap masyarakat terhadap SAR.

"Akibatnya masih ramai yang mempunyai tanggapan negatif terhadap SAR," ujarnya.

Selain itu, beliau juga berpendapat ramai lagi di kalangan masyarakat yang masih tidak mendapat maklumat tentang perjalanan sistem pendidikan SAR.

"Ini juga berpunca dari sikap kerjaan sendiri yang terus memomokkan SAR. Akibatnya institusi pendidikan yang dulunya diasaskan oleh para ulama terus dipinggirkan dan dilupakan masyarakat," jelasnya.

Gambar separa lucah: DPP Perlis buat laporan Polis

Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 3 Julai - Keghairahan akhbar-akhbar arus perdana menyiarkan gambar berunsur lucah melanggar tatasusila dan adat kesopanan masyarakat di negara ini.

Selain ruangan hiburan, ruangan sukan juga tidak kurangnya khusunya yang menyiarkan gambar menggiurkan para gadis litar dalam perlumbaan kenderaan bermotor.

Merujuk kepada ruangan sisipan akhbar Berita Harian, 30 Jun lalu yang memaparkan gambar aksi berunsur lucah gadis litar, Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) mewakili rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya tampil membuat laporan polis.

Rombongan DPPPs membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kangar tengahari tadi.

Menurut Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman, laporan tersebut dibuat kerana ianya telah melanggar tatasusila dan adat kesopanan masyarakat bertamadun dan bercanggah dengan dasar agama Islam yang menjadi agama rasmi negara.

"Penyiaran gambar sebegini tidak menghormati sensitiviti umat Islam yang merupakan masyarakat majoriti di negara ini,"katanya.

Menurutnya, gambar sedemikian sebelum ini telah banyak kali ditegur oleh pelbagai pihak yang prihatin termasuk telah dibangkitkan di sidang parlimen.

"Namun pihak-pihak yang terbabit terutamanya kementerian yang terbabit, penganjur dan media seolah-olah tidak menghiraukan teguran tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, DPPPs bimbang dalam isu-isu sebegini pihak kerajaan telah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang hanya memikirkan keuntungan atau mempunyai niat jahat untuk merosakkan tatasusila rakyat dan kaum muslimin.

Justeru, DPPPs tampil membuat laporan polis memandangkan gambar sedemikian mengganggu sensitivi rakyat dan masyarakat Islam selain ianya jelas mengeksploitasi wanita dan jika dibiarkan akan mengundang gejala sosial yang lebih parah di kalangan muda-mudi khususnya.

"DPPPs berharap pihak polis akan membuat siasatan terhadap kementerian yang terbabit, pihak penganjur dan media yang bertanggungjawab menyiarkan gambar tersebut".

"Kita mahu penyiaran seperti itu diarahkan agar dihentikan demi menjaga kehormatan rakyat khususnya yang beragama Islam," kata Ustaz Ya'akub lagi.