PADANG BESAR, 24 Sept (Hrkh) - Kes tragis lagi menyayat hati seumpama yang berlaku ke atas adik Nurin Jazlin Jazimin berlaku akibat kegagalan kerajaan untuk mengawal keadaan yang boleh membuka ruang berlakunya jenayah di dalam negara ini.
Antaranya ialah merebaknya budaya hedonisme atau hiburan melampau di kalangan masyarakat, demikian jelas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ir Amiruddin Hamzah.
Katanya, akibat budaya hedonisme inilah yang melahirkan pelbagai penyakit di dalam masyarakat seperti peningkatan kes jenayah, seks bebas, gangsterisme di sekolah, buang bayi, anak luar nikah dan murtad.
"Kerajaan sepatutnya kena tutup ruang-ruang yang boleh berputik dan berbuahnya jenayah di dalam negara ini. Islam pun mengajar begitu," katanya.
Mengulas tentang kes Nurin Jazlin, Amiruddin melihat kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara yang menuduh ibu bapa Nurin sebagai cuai tidak sepatutnya dibuat tatkala mereka masih meratap kehilangan anak yang disayangi.
"Kita mahu tahu apakah apakah tanggung jawab Polis DiRaja Malaysia (PDRM), untuk mewujudkan keadaan aman dan tenteram dalam kehidupan rakyat di negara ini?" soalnya.
Katanya lagi, kes Nurin ini sudah cukup untuk menggambarkan bahawa keadaan yang ada di dalam negara ini amat teruk.
"Sudah ada manusia yang cukup sakit dan tak tahu apa jenis orang atau binatang mereka ini," katanya.
Justeru katanya, pihak PDRM perlu melihat balik bagaimana mereka gagal menangani masalah jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
"Bagaimana dengan janji Pak Lah ketika mula menjadi Perdana Menteri 45 bulan dulu? Beliau berjanji untuk mengurangkan kadar jenayah lima peratus setahun sedangkan yang berlaku kini kadar itu meningkat 12 peratus," jelasnya.
Sebaliknya, menurut Amiruddin, polis telah digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya seperti mengganggu ceramah politik dan himpunan aman yang dianjurkan.
Katanya lagi, kes yang berlaku kepada Nurin bukannya berpunca dari satu budaya yang berlaku dalam sekelip mata sebaliknya lahir dari satu bentuk budaya yang sudah bercambah dalam masyarakat.
"Ini adalah kesannya apabila kita berpaling dari peringatan Allah. Kita akan tempuhi kesempitan dalam hidup.
"Mahukah kita esok berada dalam keadaan anak-anak kita tidak boleh keluar dan asyik berkurung di rumah kerana keadaan yang teruk di sekeliling kita?" katanya.
Amiruddin berucap dalam majlis ceramah sempena program Jelajah Ramadan yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat. Majlis tersebut di adakan di Markas PAS Kawasan Padang Besar, di Santan dekat sini malam tadi.
No comments:
Post a Comment