Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Thursday, November 08, 2007

Peluru Radzi kena tepat batang hidung Shahidan


KANGAR, 1 Nov (Hrkh) - "Perang mulut" antara Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim dan Menteri hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad berkaitan isu pengambilan pekerja asing di Perlis nampaknya semakin memuncak.

Semalam Radzi mendedahkan jumlah pekerja asing yang berdaftar di Perlis adalah seramai 5,480 orang termasuk lima orang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di rumah Shahidan sendiri.

Selain itu, ramai pekerja asing khususnya dari Thailand yang memonopoli Arked Niaga Padang Besar serta terdapat seramai 12 orang yang bekerja di ladang anggur milik kerajaan negeri.

Kata Radzi lagi, ramai pekerja dari Thailand juga bekerja di sektor perladangan di Perlis seperti di ladang tebu, Felcra Lubuk Sireh, Felda Rimba Mas dan Felda Mata Ayer.

Laporan Harian Metro hari ini yang bertajuk "Radzi Tempelak Shahidan" menyebut Shahidan perlu memecat lima orang pembantu rumahnya dan digantikan dengan rakyat tempatan sekiranya beliau bertegas tidak mahu menerima pekerja asing di Perlis.

Radzi turt mempertikaikan mengapa Shahidan menggunakan pekerja dari Indonesia berbanding pekerja rakyat tempatan.

"Ramai lagi ibu tunggal yang boleh bekerja, dia kena tunjuk contoh yang baik," kata Radzi seperti yang dilapor Harian Metro.

Laporan akhbar minggu lalu menyiarkan kenyataan Shahidan yang tidak mahu menggunakan tenaga pekerja asing di Perlis, sebaliknya akan menggunakan tenaga kerja tempatan termasuk untuk projek pembangunan Wilayah Pembangunan Ekonomi Utara (NCER).

Bagaimanapun, respons Radzi kemudiannya menyatakan bahawa negeri-negeri tidak ada hak untuk menolak kehadiran pekerja asing.

Utusan Malaysia Selasa lalu memetik kenyataan Shahidan yang tetap menolak penggunaan pekerja asing di semua sektor industri.

"Cikgu-cikgu pencen misalnya boleh terus bekerja selepas bersara daripada duduk melahu di rumah," kata Shahidan.

Mengulas isu ini, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melihat di sebalik "perang mulut" kedua-dua pemimpin Umno ini ada jurang perpecahan di antara mereka khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun mereka kata tidak ada apa kekeruahan, tapi melihat kepada apa yang sedang berlaku, kita jangkakan akan ada perubahan dalam pucuk pimpinan Umno di negeri ini. Nampak macam Shahidan ni ada potensi nak rebah," katanya.

Sementara itu, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin melihat kewajaran di sebalik apa yang disebut oleh Radzi.

Katanya, kenyataan yang diberikan oleh Radzi memang jelas dan Shahidan perlu bercakap berdasarkan fakta yang ada dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang merapu seperti yang selalu dibuatnya.

"Jangan hanya pandai bercakap, sebaliknya perlu berasaskan realiti. Ini dia sendiri pun pakai pekerja asing. Peluru Dato' Radzi memang kena tepat atas batang hidung Shahidan.

"Pemimpin Umno ni memang pandai cakap bab pekerja asing, tapi hakikatnya merekalah yang menguasai perniagaan membawa masuk pekerja asing," jelasnya. - mns

No comments: