Alamat Baru Kami

Alamat Baru Kami

Klik di FOTO

Tuesday, August 29, 2006

Respon kritikan Abu Bakar Bashir terhadap PAS
Oleh : Ustaz Ahmad Adnan Fadhil (Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis)


Assalamualaikum kepada semua pembaca sekelian.

Apabila membaca temubual antara Abu Bakar Bashir dan Farish A.Nor yang disiarkan dalam beberapa laman web baru-baru ini saya rasa terpanggil untuk memberikan komen peribadi saya terhadap beberapa kenyataan Abu Bakar Bashir yang secara langsung menyentuh tentang perjuangan PAS di Malaysia.

Suka saya mengingatkan para pembaca sekelian bahawa bunga-bunga bahasa yang digunakan oleh Abu Bakar tidak jauh lari maksudnya dengan sebuah pertubuhan keagamaan di Malaysia yang amat-amat mementingkan sistem khilafiah yang juga menganggap bahawa pilihanraya adalah haram dalam Islam.

Bagi saya Abu Bakar tidak mendapat gambaran yang tepat mengenai suasana perjuangan Islam di Malaysia.Oleh sebab itu dia merasakan bahawa Malaysia sama seperti Indonesia.Tentunya agak kurang bijak jika seseorang terus membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara sedang dia dalam keadaan tidak mengetahuinya dengan mendalam.

PAS pada pandangan saya tidak pernah menafikan bahawa jihad Qital adalah sebagai salah satu cara yang amat penting untuk menegakkan Islam.Tetapi bukan semua keadaan kita akan berjihad melalui peperangan secara fizikal.Ianya boleh dilakukan melalui politik,pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Rasulullah telah memberikan kita contoh selama 13 tahun baginda di Mekah, tiada satupun peperangan yang berlaku antara umat Islam dan musyrikin Mekah walaupun umat Islam ketika itu disiksa kerana penumpuan utama pada waktu itu ialah pembinaan saf.

Akan tetapi ada beberapa kes terpencil yang rasulullah membenarkan sahabat seperti Umar bertindak balas kerana Umar mempunyai kekuatan.

PAS juga berpendapat bahawa di Malaysia masih ada lagi ruang kebebasan bersuara untuk berdakwah walaupun tidak seluas mana.Keadaan masih terkawal dengan kita walaupun disekat, tetapi masih berupaya memberikan kefahaman Islam kepada rakyat terbanyak dan dengan kefahaman itu rakyat dapat membina saf pejuang-pejuang Islam.

Dalam masa yang sama PAS mengiktiraf perjuangan saudara kita di Palestin, Lubnan, Afghanistan, Chechnya dan di lain-lain tempat.Contoh yang boleh saya bawakan ialah ketika krisis di Palestin, PAS adalah antara pihak yang terawal yang mengambil tindakan membantu HAMAS.

Antaranya lagi apabila krisis di Lubnan mengikut laporan dari Dr.Hatta Ramli, PAS adalah gerakan Islam pertama sampai ke Beirut untuk berjumpa dengan Hizbullah bagi membincangkan soal bantuan yang ingin disalurkan.Bukan di luar Lubnan tetapi di dalam Lubnan yang ketika itu sedang dihujani dengan peluru.

Dr.Hatta juga melaporkan bahawa sumbangan PAS itu ialah sumbangan tunai pertama yang diterima oleh Hizbullah dari luar Lubnan.Hizabullah juga dilaporkan sedang menunggu kedatangan pejuang dari Indonesia tetapi sehingga kini belum kedapatan berita yang menyatakan bahawa pejuang-pejuang itu sampai.Sedangkan setahu saya perang sudahpun tamat.

Bukanlah ini untuk bermegah-megah tetapi sesekali sesuatu yang sukar terpaksa dilakukan demi untuk membetulkan salah faham.Abu Bakar juga mengatakan bahawa PAS mengabaikan jihad Qital tetapi inilah buktinya PAS amat menyanjung jihad Qital.

Kekurangan pengetahuan Abu Bakar tentang politik di Malaysia juga terserlah apabila dia tidak segan silu memuji Mahathir hanya kerana cadangan dinar emas Mahathir yang kelihatan bagaikan telah menjatuhkan kedudukan Amerika sehina-hinanya.

Mungkin benar cadangan Mahathir itu bagus tetapi itu baru diperingkat cadangan.Sedangkan Kelantan sudah hampir berjaya melakukannya jika tidak kerana halangan dari Pak Lah yang takut Kelantan disanjung diatas usaha itu.

Untuk pengetahuan Abu Bakar juga Mahathir pernah memenjarakan pejuang-pejuang Islam yang pergi berjuang di Afghanistan.Mereka semua ditangkap atas nama pengganas.

Dari Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) nama mereka ditukar kepada Kumpulan Militan Malaysia.Mungkin sekiranya Abu Bakar menjadi salah seorang dari ahli KMM dia juga akan dipenjara.

Mungkinkah Abu Bakar berbangga dengan penangkapan itu kerana masuk tahun ini sudah enam tahun mereka dinafikan hak untuk hidup sebagai seorang makhluk Allah yang bebas.Ditangkap tanpa bicara.Itulah yang telah dilakukan oleh Mahathir, pemimpin Islam yang disanjung oleh Abu Bakar.

Akhirnya saya dengan besar hati menjemput Abu Bakar untuk datang ke Kelantan dan melihat sendiri keadaan pemerintahan negeri dibawah PAS serta berdiskusi dengan alim ulamak PAS di Kelantan.Semoga Abu Bakar akan mendapat gambaran yang jelas tentang PAS di Malaysia.

Wallahua’lam

No comments: