Oleh : Mat Teropong
Kategori : Berita
Jejawi : Sikap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK ) yang mengenakan komisyen terhadap kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan kampung boleh disifatkan sebagai guru kencing berdiri murid kencing berlari .
Laporan akhbar baru – baru ini menyiarkan larangan Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim JKKK di Perlis mengenakan komisyen terhadap kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan kampung .
Shahidan juga dipetik sebagai berkata jika kontraktor itu ikhlas menghulurkan sumbangan , ianya sepatutnya diumumkan kepada seluruh penduduk kampung dan bukannya dilakukan secara tersembunyi .
“JKKK kutip pasal yang atas juga kutip . Jadi kalau nak suruh JKKK berhenti , orang atas kena berhenti dulu,” ulas ustaz Zolkharnain Abidin Exco Dewan Pemuda PAS Pusat ketika ditemui .
Menurutnya ini menunjukkan rasuah sudah diperingkat yang teruk dan ianya wajib dihapuskan dari golongan atasan hingga kepada akar umbi supaya negara selamat dari kerosakan akibat rasuah ini .
Pimpinan juga bagi beliau mesti dilihat bersih oleh orang bawahan dari semua segi baik dari penampilan zahir mahupun yang lebih utama batin iaitu hati .
“Kalau tidak semua orang akan ambil kesempatan nak bolot komisyen projek kerajaan . Atas sapu bawahpun sapu ,” katanya .
Sementara itu ketika diminta mengulas tentang Majlis Perbandaran Kangar ( MPK ) yang disita kerana melanggar kontrak baru – baru ini beliau secara spontan menjawab “bodoh” .
“Selama ini Shahidan tuduh Kelantan tak ada pembangunan dan tak pandai perintah . Tapi tak satupun pejabat Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ) di Kelantan yang kena sita . Siapa yang tak pandai perintah sekarang ? soal beliau .