Mahkamah gempar pensyarah mengamuk
Petikan Berita Harian
Petikan Berita Harian
KANGAR: Mahkamah Syariah di sini kecoh semalam apabila seorang pensyarah wanita tiba-tiba ‘mengamuk’ dengan membaling kasut terhadap seorang lelaki dipercayai suaminya yang menghadapi tuduhan berkhalwat dengan pelajarnya.
Wanita berusia 30-an yang mengikuti perbicaraan kes itu, turut mengeluarkan kata kesat terhadap suaminya, juga pensyarah maktab perguruan di sini selepas mahkamah menjatuh hukuman ke atas pasangan berkenaan.
Selain membaling kasut, wanita itu juga bertindak membuka tudung dan membaling ke muka suaminya.
Anggota polis dan pegawai mahkamah terpaksa campur tangan untuk mententeramkan keadaan.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Zulhairi Abdul Aziz, menjatuhkan hukuman denda RM2,200 atau tiga bulan penjara ke atas pensyarah itu, Ahmad Razali Abdul Malik, 46, selepas didapati bersalah berkurung dengan seorang wanita bukan muhrim.
Pasangannya, Azira Saironi, 25, seorang pelajar maktab pula dikenakan hukuman denda RM1,800 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 9 (2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991.
Azira berasal dari Banting, Selangor, manakala Ahmad Razali pula dari Alor Star, Kedah dan menetap di kuarters kakitangan maktab berkenaan.
"Perbuatan kamu ini (tertuduh) menjejaskan kredibiliti seorang pensyarah dan memalukan majikan kamu," kata Zulhairi ketika menjatuhkan hukuman ke atas pensyarah muzik itu.
Pegawai Pendakwa Syariah, Shamsul Akmar ketika membentang fakta kes berkata, pasangan itu dijumpai berkurung dalam bilik amali muzik di maktab berkenaan ketika ditahan kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.
Beliau berkata, tiga pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) yang menjalankan siasatan di maktab mendapati ada satu pasangan berkurung dalam bilik muzik yang berkunci.
"Selepas memberi salam, seorang lelaki berpakaian lengkap mengambil masa beberapa minit untuk membuka pintu bilik muzik dan seorang wanita berpakaian lengkap didapati sedang bersembunyi di bawah piano.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, anggota penguat kuasa menjumpai dua seluar dalam dipercayai milik pasangan terbabit terselit di atas peralatan muzik," katanya.
Ahmad Razali dalam rayuannya meminta hukuman ringan.
"Saya amat menyesal atas perbuatan ini dan tidak pasti kedudukan kerjaya saya sebagai pensyarah selepas keputusan kes khalwat ini," katanya.
Hukuman denda ke atas pensyarah dan anak muridnya itu dibayar oleh seorang lelaki dipercayai kenalan mereka berdua.